Apple Perkenal iMac M6 Baharu Di Pasaran Malaysia, Harga Bermula RM6,499
iMac 2026 hadir dalam tujuh warna menarik iaitu biru, hijau, merah jambu, kuning, ungu, oren dan perak.
- Apple melancarkan iMac M6 24-inci di Malaysia dengan harga bermula RM6,499, dengan pra-tempahan dibuka pada 29 Oktober.
- Cip M6 menawarkan prestasi AI lima kali lebih pantas, storan SSD dua kali lebih laju, serta sambungan Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apple baru sahaja melancarkan iMac 24-inci (2026) yang dikuasakan oleh cip M6 baharu mengemas kini semula siri komputer all-in-one sejak model M4 diperkenalkan pada Oktober 2024.
Model ini masih mengekalkan reka bentuk 24-inci ikonik dan tampil dengan prestasi pemprosesan lebih pantas, keupayaan storan laju serta teknologi sambungan dinaik taraf.
iMac M6 ditawarkan pada harga bermula daripada RM6,4999 dan pra-tempahan untuk pengguna di Malaysia sudah mula dibuka hari ini (29 Oktober).
iMac M6 Ditawarkan Dalam Dua Pilihan Spesifikasi

Bagi pengguna yang berminat, iMac M6 hadir dalam dua pilihan spesifikasi dan kedua-duanya bermula dengan memori 16GB bersama storan 256GB.
Harga untuk kedua-dua spesifikasi dalam pasaran Malaysia adalah seperti berikut:
- iMac M6 (10-core CPU, 10-core GPU, 16GB RAM, 256 SSD): RM6,4999
- iMac M6 (12-core CPU, 12-core GPU, 16GB RAM, 256 SSD): RM7,4999
Dalam masa sama, pelajar dan tenaga pengajar boleh menerima harga rendah menerusi Apple’s Education Pricing yang bermula dari RM6,299.
Apa Yang Menarik Tentang Cip M6?
Perubahan paling besar pada iMac 2026 ialah cip Apple M6 yang menggantikan generasi sebelumnya iaitu M4.
Model asas kini dilengkapi dengan 10-core CPU dan GPU yang meningkat daripada 8-core pada model M4 sebelum ini.
Manakala, model premium pula menerima 12-core CPU dan GPU, meningkat daripada 10-core sebelum ini.
Peningkatan CPU dan GPU core bermaksud iMac 2026 mampu mengendalikan banyak tugas dalam satu masa dengan kadar lebih efisien.
Prestasi Kecerdasan Buatan (AI) Meningkat Lima Kali Lebih Pantas
Menurut Malay Mail, cip M6 dibina menggunakan teknologi proses 2nm, dengan tambahan komponen khas dikenali sebagai Neural Accelerators bagi mempercepat kerja berkaitan AI.
iMac 2026 menawarkan prestasi 1.5 kali lebih pantas untuk kegunaan harian, dengan lonjakan keupayaan grafik berbanding model M4 lama.
Malah, tugasan berkaitan AI, Apple menyatakan bahawa ia mampu berfungsi lima kali lebih pantas berbanding iMac sebelum ini.
Storan SSD Dan Sambungan Internet Turut Dinaik Taraf

iMac M6 turut dilengkapkan dengan storan SSD lebih laju, dengan Apple mendakwa kelajuan membaca dan menyimpan fail dipertingkatkan sehingga dua kali ganda.
Tambahan pula, sambungan tanpa wayar (wireless connection) turut dinaik taraf kepada Wi-Fi 7 dan Bluetooth 6 menerusi Apple N1.
Model premium 12-cores turut menawarkan empat port Thunderbolt 4 dan mampu bersambung dengan dua paparan monitor resolusi 6K dalam satu masa.
Namun begitu, Apple telah mengekalkan skrin Retina 4.5K 24-inci yang menawarkan tahap cerah sehingga 500 nit, sokongan P3 dan lebih satu bilion warna.
Pengguna turut boleh memilih tekstur kaca nano bagi mengurangkan silau dan pantulan.
iMac juga mengekalkan kamera Center Stage 12MP untuk kegunaan video call yang memastikan pengguna sentiasa berada dalam frame secara automatik.
Terdapat juga ciri Desk View, paparan dari atas membolehkan pengguna menunjukkan permukaan meja mereka ketika dalam video call.
Tujuh Pilihan Warna Boleh Dipilih

iMac 2026 masih mengekalkan reka bentuk warna-warni yang kini hadir dalam tujuh pilihan menarik iaitu biru, hijau, merah jambu, kuning, ungu, oren dan perak.
Selain itu, iMac masih mengekalkan sistem enam speaker yang menyokong Spatial Audio dengan Dolby Atmos untuk pengalaman lebih menyeluruh.
Ia juga dilengkapi dengan tiga mikrofon gred studio bagi memudahkan panggilan dan rakaman suara.
Sistem operasi macOS terkini, 27 Golden Gate yang membawa pelbagai penambahbaikan pada paparan Liquid Glass bakal dilengkapi dalam iMac 2026.
Untuk info, kedua-dua model iMac 2026 turut disertakan Magic Mouse dan Magic Keyboard mengikut warna sama.
Namun, model 12-core menerima sedikit tambahan dengan kehadiran Magic Keyboard bersama Touch ID.
Jika anda memilih semua ciri yang ditawarkan oleh Apple iaitu, 12-core, 32GB RAM, 2TB SSD, tekstur kaca-nano, jumlah harganya boleh mencecah sehingga RM14,699.
iPad Mini Turut Menerima Upgrade Tahun Ini

Menurut Soya Cincau, Apple turut memberikan upgrade kepada iPad Mini, dua tahun selepas model A17 Pro diperkenalkan pada tahun 2024.
iPad Mini 2026 kini hadir dengan skrin OLED 8.5 inci lebih besar, cip baharu A20 Pro dengan reka bentuk nipis dan ringan.
Pengguna dapat menikmati paparan warna lebih jelas dan tajam, manakala cip A20 Pro memberikan prestasi lebih pantas untuk melakukan pelbagai tugasan.
Selain itu, iPad Mini 2026 menjadi model pertama mendapat pengiktirafan IP-67 kalis habuk dan air.
iPad Mini 2026 ditawarkan dalam dua warna, iaitu Midnight dan Starlight dengan tiga pilihan storan bermula dari 128GB sehingga 512 GB.
Berikut ialah harga rasmi iPad Mini A20 Pro di Malaysia:
iPad Mini A20 Pro Wifi
- 128GB: RM2,999
- 256GB: RM3,399
- 512GB: RM4,299
iPad Mini A20 Pro WiFi + 5G
- 128GB: RM3,699
- 256GB: RM4,099
- 512GB: RM4,999
Apple’s Education Pricing turut boleh dimanfaatkan untuk pembelian iPad Mini 2026 dengan harga bermula dari RM2,779.
Pra-tempahan bagi iPad Mini 2026 turut dibuka hari ini dan bakal dijual bersama iMac 2026 secara umum pada 6 November 2026.
Baca Artikel Berkaitan: Apple Naikkan Harga MacBook, iPad Di Malaysia Akibat Harga Cip Memori Melonjak | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.