Now Reading
Instagram Uji Format Video Panjang 90 Minit, Boleh Tonton Di Apple TV

Instagram Uji Format Video Panjang 90 Minit, Boleh Tonton Di Apple TV

Ciri baharu ini membolehkan pengguna muat naik video lebih panjang sehingga 90 minit sesuai untuk kandungan seperti podcast, vlog dan lain-lain.

In Brief
  • Instagram sedang menguji format video berdurasi sehingga 90 minit, bermula di Brazil sebelum diperluaskan ke Amerika Syarikat.
  • Pengguna kini boleh menonton Reels dan video panjang di Apple TV, dengan sokongan siaran langsung dijangka menyusul kemudian.
  • Instagram masih belum menawarkan program perkongsian pendapatan iklan seperti YouTube, namun sedang meneroka pelbagai cara untuk pencipta kandungan memperoleh pendapatan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Instagram merupakan salah satu di antara platform media sosial digemari ramai untuk berkongsi gambar, video pendek seperti Reels.

Semalam (27 Oktober), platform dimiliki oleh Meta itu kini sedang menguji keupayaan untuk muat naik video lebih panjang berdurasi 90 minit.

Menurut Variety, usaha tersebut dilihat sebagai langkah Instagram untuk bersaing dengan YouTube dalam platform video berdurasi panjang.

Selain itu, ia turut dilaporkan bahawa pengguna boleh menikmati Reels dan kandungan lain pada skrin televisyen menerusi Apple TV.

Instagram Sedang Menguji Video Berdurasi 90 Minit

Reels merupakan antara ciri popular di Instagram. (Foto: Instagram)

Ciri baharu ini membenarkan pengguna muat naik video yang lebih panjang daripada Reels, iaitu sehingga 90 minit dalam keadaan tertentu.

Format ini sesuai untuk kandungan seperti podcast, vlog, temu bual dan siri.

Tempoh pengujian sedang dilakukan dengan segelintir pencipta kandungan di Brazil sebelum diperluaskan ke Amerika Syarikat sekitar 26 Oktober.

Seterusnya, pencipta kandungan turut boleh berkongsi sehingga lapan klip ringkas sebagai Reels untuk menarik perhatian penonton bagi menonton video panjang mereka.

Pencipta Kandungan Kini Lebih Bebas

Menurut Naib Presiden Produk Instagram, Tessa Lyons, platform itu mahu membuka ruang kepada pencipta kandungan untuk bercerita dalam pelbagai bentuk.

“Instagram dicipta untuk menghubungkan orang ramai menerusi kreativiti. Dan kreativiti jauh lebih luas daripada sekadar video pendek atau muat naik carousel,” katanya menerusi video pengumuman.

Malah, Instagram turut mendapati segelintir pencipta kandungan berkongsi cebisan klip daripada video panjang bagi membantu orang ramai menjumpai karya mereka.

“Pencipta kandungan boleh membina karya yang lebih lengkap di Instagram, manakala peminat mempunyai lebih banyak cara untuk menemui dan mengikuti perkara mereka suka.”

Instagram Pernah Reject Idea Video Format Panjang

Ketua Instagram, Adam Mosseri. (Foto: Meta)

Menariknya, Adam Mosseri selaku Ketua Instagram sendiri pernah membantah idea video berdurasi panjang dalam platform tersebut.

“Saya telah lama menentang idea video panjang dalam platform ini.”

Ini kerana, Mosseri bimbang Instagram akan terlalu tertumpu kepada hiburan sehingga mengabaikan fungsi asalnya, iaitu menghubungkan pengguna dengan rakan-rakan.

“Jika anda menonton sesebuah video selama 10, 20 atau 30 minit, itu bermakna banyak Reels, gambar dan carousel yang mungkin tidak anda kongsikan kepada rakan,” jelasnya.

Keadaan itu akhirnya membawa kepada kurangnya jumlah suka serta perkongsian antara pengguna.

Walaupun begitu, Mosseri kini akur dengan keperluan Instagram untuk menerima video panjang, termasuk pada skrin televisyen.

Tambahan pula, ciri Instagram for TV sebenarnya sudah diperkenalkan sejak tahun lalu.

Namun, ia hanya boleh digunakan pada televisyen Samsung, Fire TV dan Google TV di Amerika Syarikat sahaja.

Bermula 26 Oktober, Instagram turut boleh diakses menerusi Apple TV di negara tersebut, manakala sokongan siaran langsung dijangka bakal menyusul tidak lama lagi.

Ini membolehkan pengguna untuk menonton Reels, video panjang, siri saluran dan tab Friends untuk mengikuti Stories serta hantaran dari kawan.

Dalam masa sama, Instagram turut merancang satu ciri baharu yang membolehkan telefon pintar berfungsi sebagai alat kawalan jauh ketika menonton video pada televisyen.

Ciri Series Menyediakan Ruang Khas Untuk Kandungan Berepisod

Antara tambahan menarik lain ialah Series, iaitu ruang khusus bagi menempatkan Reels berepisod pada profil seseorang pencipta kandungan.

Memetik semula Variety, ciri itu sudah diuji sejak musim bunga 2026 bersama pencipta kandungan terpilih di Amerika Syarikat, India dan Mexico.

Seterusnya, ia dirancang untuk diperluaskan ke lebih banyak negara menjelang hujung 2026.

Instagram Masih Belum Menawarkan Perkongsian Duit (Ad-Revenue Sharing) Seperti YouTube

Instagram. (Foto: Malay Mail)

Buat masa ini, Instagram masih dalam perancangan untuk menghasilkan program Ad-Revenue Sharing seperti YouTube yang membayar pencipta kandungan mereka.

Platform itu kini hanya menyalurkan dana secara langsung kepada segelintir pencipta kandungan sambil menyifatkan ia terlalu awal untuk berkongsi model pendapatan jangka panjang.

Namun, mereka menegaskan bahawa Instagram sedang meneroka pelbagai cara untuk membolehkan pencipta kandungannya memperolehi pendapatan.

“Kami sedang meneroka cara untuk pencipta kandungan memperoleh pendapatan daripada jenama, peminat dan Instagram, termasuk insentif berasaskan prestasi.”

Langkah baharu ini dilihat akan membuka peluang lebih luas kepada pencipta kandungan untuk berkarya dan pengguna untuk menikmati pelbagai bentuk video.

Namun begitu, kebanyakan ciri ini masih berada dalam fasa testing di negara terpilih seperti Brazil. Amerika Syarikat, India dan Mexico.

Tiada tarikh khusus dinyatakan untuk ketersediaannya sepenuhnya di Malaysia.

Baca Artikel Berkaitan: Ciri Baru Instagram Boleh Kongsi Lokasi Dengan Kenalan Undang Pelbagai Reaksi | TRP

Baca Artikel Berkaitan: Pengguna Instagram Bawah 16 Tahun Perlu Izin Ibu Bapa Untuk Buat ‘Live’ – Meta | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd