Bekas Wartawan Alami Kemurungan Selepas Bersalin, Kini Bangunkan Aplikasi Sokongan Untuk Ibu
Bagi Sofea, proses pemulihan selepas bersalin bukan sekadar tentang kesihatan fizikal, tetapi turut melibatkan keadaan emosi, sokongan orang sekeliling dan kesedaran bahawa ibu juga berhak menerima penjagaan.
- Sofea Mastan, bekas wartawan, menubuhkan Grow & Glow Mama pada 2022 selepas sendiri mengalami kemurungan selepas bersalin.
- Aplikasi Grow & Glow Mama menawarkan lima fungsi utama, termasuk semakan emosi harian, jurnal suara dan akses kepada sokongan profesional.
- Aplikasi ini akan dilancarkan secara percuma pada Januari 2027, dengan 500 pendaftar terawal menerima keahlian percuma bernilai RM396 selama setahun.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Menjadi seorang ibu bukan sekadar tentang menjaga bayi, tetapi turut melibatkan perubahan emosi, identiti diri dan tanggungjawab yang kadangkala sukar diluahkan.
Pengasas komuniti kesihatan mental ibu dari Malaysia, Sofea Mastan, memahami realiti itu berdasarkan pengalamannya sendiri berdepan kemurungan selepas bersalin atau postpartum depression.
Pengalaman tersebut mendorongnya menubuhkan Grow & Glow Mama pada 2022, sebuah komuniti yang menyediakan ruang untuk ibu berkongsi pengalaman tentang kesihatan emosi, beban mental dan cabaran menyesuaikan diri dengan kehidupan selepas bergelar ibu.
Kini, bekas wartawan penyiaran yang mempunyai pengalaman lebih 15 tahun itu memperkenalkan aplikasi Grow & Glow Mama, yang dibangunkan bagi memudahkan ibu mendapatkan sokongan emosi, berhubung dengan ibu lain dan mencari bantuan profesional dalam satu platform.
Aplikasi itu dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada Januari 2027 dan boleh digunakan secara percuma oleh semua ibu.
Bermula Daripada Pengalaman Sendiri
Menurut Sofea, ketika melalui fasa kemurungan selepas bersalin, perhatian orang sekeliling lebih tertumpu kepada bayinya, sedangkan keadaan emosinya sendiri kurang diberi perhatian.
Pengalaman itu mendorongnya untuk mewujudkan ruang sokongan yang pernah diperlukan olehnya ketika melalui fasa tersebut.
Sejak ditubuhkan pada 2022, komuniti Grow & Glow Mama telah berkembang kepada lebih 2,700 ahli.
Ibu-ibu dalam komuniti itu berkongsi pengalaman berkaitan perubahan identiti, beban mental, kesejahteraan emosi dan cabaran kembali bekerja selepas melahirkan anak.
Sofea juga merupakan individu yang mempunyai sijil Certified Mental Health First Aider dan menerima pengiktirafan di Malaysia Top 30 Women of Excellence Awards 2025 atas usaha advokasinya.
Bagi Sofea, aplikasi ini merupakan langkah seterusnya untuk membawa sokongan yang ditawarkan komuniti itu ke dalam rutin harian ibu.
“Sewaktu saya bergelut selepas bersalin, semua orang bertanya tentang bayi. Tidak ramai yang bertanya tentang keadaan saya.
“Menjaga bayi tidak sepatutnya membuatkan ibu dilupakan.
“Saya membina aplikasi ini untuk diri saya yang dahulu dan setiap ibu yang merasakan mereka perlu memikul semuanya seorang diri,” katanya.
5 Fungsi Dalam Aplikasi Grow & Glow Mama

1. My Day – Kenali Emosi Sendiri
My Day membolehkan ibu membuat semakan emosi harian dengan memilih perasaan yang sedang dialami tanpa perlu menjelaskan semuanya secara terperinci.
Berdasarkan emosi dan fasa keibuan mereka, pengguna turut boleh mendapatkan kata-kata positif harian serta kandungan seperti artikel, video dan episod podcast yang bersesuaian.
2. My Pause – Luangkan Masa Untuk Diri Sendiri
Ruang My Pause menawarkan aktiviti penjagaan diri ringkas yang dikenali sebagai Glow Rituals.
Ia turut menyediakan Voice Journal untuk ibu merakamkan perasaan melalui suara apabila menulis terasa membebankan.
Satu lagi fungsi ialah Pantang Mode, ruang khusus untuk tempoh berpantang selepas bersalin.
3. Mama Letters – Kongsi Kata-Kata Semangat
Menerusi Mama Letters, ibu boleh menghantar dan menerima surat berisi kata-kata semangat daripada ibu lain.
Pendekatan ini memberi peluang kepada pengguna untuk saling menyokong tanpa tekanan untuk sentiasa mengikuti perkembangan di media sosial.
4. My Companion – Bantu Pasangan Fahami Keperluan Ibu

Menerusi My Companion, mereka boleh menghubungkan akaun masing-masing untuk mendapatkan panduan serta petunjuk ringkas tentang cara membantu ibu berdasarkan keadaannya.
Pendekatan ini diharapkan dapat memudahkan orang sekeliling memahami keperluan ibu, tanpa membiarkan mereka memikul beban untuk meminta bantuan dan menerangkan semuanya sendiri.
5. More Support – Akses Kepada Bantuan Profesional

Bagi ibu yang memerlukan sokongan lanjut, ruang More Support menyediakan cadangan sumber bantuan profesional, termasuk akses kepada ahli terapi maternal dan perinatal.
Bagaimanapun, Grow & Glow Mama menegaskan bahawa aplikasi ini berfungsi sebagai saluran sokongan dan tidak menggantikan penjagaan atau rawatan profesional.
Bukan Ibu Sahaja Perlukan Sokongan
Menurut Sofea, kebanyakan aplikasi kesejahteraan memberi tumpuan kepada bayi atau ibu secara individu, sedangkan orang di sekeliling ibu juga memainkan peranan penting dalam perjalanan keibuan.
Ada kalanya pasangan dan ahli keluarga mahu membantu, tetapi tidak pasti apa yang diperlukan atau bagaimana ingin memulakannya.
Melalui akaun pendamping dalam aplikasi itu, mereka boleh mendapatkan panduan untuk memahami keadaan ibu dan memberikan sokongan yang lebih bersesuaian.
Fungsi Pantang Mode pula mengambil kira pengalaman berpantang yang dekat dengan kehidupan ramai keluarga di Malaysia.
Bagi Sofea, proses pemulihan selepas bersalin bukan sekadar tentang kesihatan fizikal, tetapi turut melibatkan keadaan emosi, sokongan orang sekeliling dan kesedaran bahawa ibu juga berhak menerima penjagaan.
Aplikasi Percuma Mulai Januari 2027
Aplikasi Grow & Glow Mama dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada Januari 2027 dan akan ditawarkan secara percuma kepada semua ibu.
Mereka yang berminat boleh mendaftarkan minat melalui laman web rasmi www.growandglowmama.com.

Seramai 500 pendaftar terawal akan diterima sebagai ahli pengasas (founding members) dan turut menerima keahlian percuma selama setahun, dari Januari 2027 hingga Januari 2028, yang dinyatakan bernilai RM396.
Bagi Sofea, usaha ini membawa satu matlamat mudah, iaitu memastikan tiada ibu perlu melalui perjalanan keibuan dalam keadaan berasa keseorangan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.