Pengguna TikTok Dedah Cara Waze Jejak Pergerakan Pengguna, Boleh Ancam Keselamatan Siber Negara
Waze yang telah diasaskan dan berpusat di Israel serta diambil alih oleh Google pada tahun 2013 telah digunakan secara meluas untuk mendapatkan info trafik yang disumbangkan oleh pengguna lain.
- A cybersecurity content creator showed how Waze visually records user movements, including potential hidden routes and pedestrian paths.
- Even without logging in, Waze can still track users via MAC addresses and build detailed profiles of daily routines.
- The Malaysian government has banned civil servants from using Waze, citing data security risks and Waze's ties to Israeli law.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tular sebuah video ringkas yang dimuat naik semula menerusi platform Threads melihat seorang pencipta kandungan keselamatan siber (@abang.blur) mendedahkan bagaimana aplikasi Waze merekod pergerakan penggunanya.
Video berdurasi kurang dua minit itu berjaya meraih ratusan ribu tontonan selepas merungkai isu keselamatan data yang dipandang remeh sebelum ini.
Pendedahan tersebut muncul tidak lama selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan melarang penjawat awam menggunakan Waze atas faktor keselamatan data telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai.
Abang Blur turut menerangkan bagaimana pergerakan kita boleh dijejak secara visual menerusi peta aplikasi tersebut.
Visual Rekod Pergerakan Jadi Contoh

Dalam video tersebut, penerangan dilakukan secara visual menggunakan sistem penyunting peta Waze.
Bagi membuktikan pendedahannya, Abang Blur memilih Istana Kehakiman di Putrajaya sebagai contoh.
Lokasi itu dipilih kerana ia merupakan kawasan awam dan bukan fasiliti yang terlalu sensitif, namun cara pengumpulan datanya tetap sama.
Di skrin komputer Abang Blur dapat lihat garisan biru dan merah yang banyak.
Garisan itu merupakan rekod pergerakan pengguna jalan raya yang dirakam secara automatik oleh pelayan aplikasi setiap kali pemanduan aktif.
Pendedahan Ini Boleh Mengancam Keselamatan Negara

Apa yang diterangkan oleh Abang blur selari dengan panduan rasmi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).
Menurut NACSA, terdapat tiga kebimbangan utama iaitu data lokasi masa nyata, corak perjalanan harian dan pihak memiliki kawalan penuh terhadap data berkenaan.
Lebih mengejutkan, peta tersebut boleh memaparkan bahagian dalam kawasan bangunan menunjukkan pergerakan manusia masih dapat dilihat dengan jelas.
Malah, peta tersebut turut mengesan laluan lurus merentasi kawasan lapang walaupun di situ tiada sebarang jalan raya berturap.
“Kalau nak buat operasi, benda-benda macam inilah yang akan diperhatikan. Mereka boleh buat analisis sama ada itu laluan pintas, pergerakan pejalan kaki atau jalan rahsia tersembunyi,” jelas Abang Blur dalam video tersebut.
Tidak Daftar Sebagai Pengguna Pun Bahaya Juga
Antara hujah yang sering dilontarkan oleh pengguna ialah mereka berasa selamat selagi tidak mendaftar nama atau log masuk ke dalam aplikasi tersebut.
Bagaimanapun, tanggapan itu disangkal sepenuhnya dalam video yang sama.
“Ada yang beritahu aku guna Waze tapi tak pernah log masuk. Tak ada masalah, sebabnya bukan log masuk itu sahaja yang menentukan identiti kita,” kongsi Abang Blur.
Menurutnya, pangkalan data aplikasi masih mampu menjejak perkakasan fizikal menerusi alamat Media Access Control (MAC address) telefon pintar pengguna.
Maklumat unik perkakasan itu boleh diakses dengan aplikasi lain yang sedang aktif pada telefon sama untuk mengenal pasti pemilik sebenar peranti berkenaan.
Dalam masa sama, sistem turut menyimpan rekod log sejarah, kawasan yang kerap dikunjungi dan waktu sebenar perjalanan dilakukan.
Apabila semua maklumat itu dipadankan, satu profil lengkap mengenai rutin harian seseorang individu dapat dibina dengan penuh terperinci.
Larangan Dikuatkuasakan Terhadap Penjawat Awam Atas Faktor Keselamatan
Memetik semula hantaran Facebook, Anwar pada 20 Oktober lalu, saranan menghentikan penggunaan Waze dibuat berikutan risiko keselamatan terhadap maklumat dan data pergerakan rakyat.
Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat ketiga Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Anwar.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan keselamatan data dan identiti rakyat,” katanya.
Dalam masa sama, larangan menggunakan Waze telah dikuatkuasakan serta-merta terhadap penjawat awam berikutan keputusan jawatankuasa berkenaan.
Menurut Jabatan Perdana Menteri (JPM), maklumat kerajaan yang sensitif dan data peribadi rakyat perlu dilindungi daripada eksploitasi.
“Pendirian kerajaan Madani adalah tegas, dan kami akan menutup sebarang kelemahan yang boleh dieksploitasi untuk mengancam keselamatan negara serta rakyat,” menurut kenyataan itu.
Seterusnya, JPM menjelaskan bahawa keputusan tersebut mengambil kira status Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Larangan Penuh Mungkin Dipertimbangkan

Menurut The Malaysian Reserve, Anwar menegaskan keselamatan negara tidak boleh dikompromi sambil mengekalkan pendiriannya terhadap larangan tersebut.
Beliau turut menyatakan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan sekatan yang lebih meluas pada masa akan datang.
Setakat ini, larangan hanya terpakai kepada penjawat awam bagi urusan rasmi, manakala larangan penuh mungkin dipertimbangkan sebaik ada alternatif yang sesuai.
“Saya memohon maaf jika keputusan mengharamkan aplikasi navigasi milik rejim Israel ini menyebabkan kesulitan kepada orang ramai.
“Namun, keselamatan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi, kerana kita perlu menegakkan kedaulatan negara dan melindungi maklumat peribadi rakyat,” tambahnya.
Waze Menafikan Dakwaan Mengumpul Data Sensitif Kerajaan
Bagaimanapun, Waze menafikan dakwaan bahawa ia mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membenarkan mana-mana pihak mengeksploitasi data peribadi pengguna.
Menurut Agence France-Presse (AFP) yang memetik seorang juru cakap syarikat, dakwaan tersebut “sama sekali tidak benar”.
Waze turut menegaskan bahawa ia beroperasi di bawah dasar privasi yang ketat dan piawaian perlindungan data global.
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: PM Saran Rakyat Beralih Daripada Waze, Ini Aplikasi Navigasi Alternatif Boleh Digunakan | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.