Selain Sari, Ini Pakaian Tradisional Lain Yang Popular Ketika Deepavali
Menurut National Geographic Kids, pelita atau lilin yang dipasang membawa makna cahaya melindungi mereka daripada kegelapan rohani.
- Selain Sari, pakaian tradisional popular ketika Deepavali termasuk Salwar Kameez, Lehenga Choli, Kurta, dan Dhoti.
- Setiap pakaian mempunyai ciri unik tersendiri, daripada rekaan moden hingga pakaian tertua yang masih dipakai di India.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Deepavali atau mesra dikenali sebagai Festival of Lights, merupakan salah satu di antara sambutan perayaan yang meriah di negara kita.
Menurut Tourism Malaysia, Deepavali membawa maksud barisan pelita yang dinyalakan.
Tambahan pula, sambutan meriah ini memberi peluang untuk kita melihat pelbagai pakaian tradisional budaya India yang menambah kepada suasana penuh ceria.
Tetapi kebanyakannya hanya mengetahui Sari dan Kurta, sedangkan terdapat banyak pakaian tradisional lain yang jarang kita dengar.
Sari, Pakaian Tradisional Paling Ikonik Bagi Wanita India

Sari merupakan salah satu pakaian yang paling mudah dikenali menampilkan sehelai kain panjang dililit kemas pada bahagian badan dan biasanya dipadankan dengan blaus kemas.
Kain sari selalunya mempunyai panjang mencecah enam meter dan boleh didapati dalam pelbagai fabrik seperti sutera, kapas atau chiffon.
Kebanyakannya turut dihiasi dengan sulaman atau rekaan manik.
Sari sutera sering dipakai ketika majlis perkahwinan atau perayaan. Manakala, fabrik lebih ringan pula sesuai untuk rutin harian ataupun bekerja kerana selesa.
Tambahan pula, sari masih kekal antara pilihan pakaian tradisional paling popular dalam kalangan wanita ketika Deepavali.
Salwar Kameez Pilihan Praktikal & Selesa

Bagi wanita yang mahukan pakaian tradisional lebih praktikal, salwar kameez merupakan antara pilihan terbaik.
Terdiri daripada baju panjang (kameez) dan seluar (salwar) menjadikanya lebih mudah dan selesa dipakai.
Rekaannya turut mempunyai pelbagai gaya moden sehingga menjadi kegemaran ramai ketika Deepavali.
Menurut buku Rural Nostalgias and Transnational Dreams, salwar dan kameez diperkenalkan ke Asia Selatan oleh orang Islam yang tiba di bahagian utara pada abad ke-13.
Pada mulanya ia dipakai oleh golongan wanita Muslim, sebelum penggunaannya berkembang menjadi popular, terutama di wilayah Punjab.
Lehenga Choli Memiliki Penampilan Anggun

Lehenga choli biasanya terdiri daripada skirt panjang, blaus dan dupatta (selendang).
Skirt yang labuh memberikan banyak ruang pergerakan dan sering dihiasi dengan sulaman, labuci, manik atau sentuhan metalik.
Lehenga sering dilihat pada majlis perkahwinan, namun turut popular ketika perayaan Deepavali.
Malah, ia digemari oleh golongan wanita yang mahukan penampilan manis dengan siluet berbeza daripada sari.
Menurut Lashkaraa, lehenga turut dikenali dengan nama lain seperti lehnga dan langa.
Lehenga choli boleh dihasilkan dengan pelbagai jenis fabrik seperti georgette, brokat, chiffon atau crepe.
Ia juga menampilkan pelbagai bentuk siluet menarik seperti A-line, flared, mermaid dan straight.
Kurta Pula Untuk Lelaki

Kurta merupakan antara pakaian tradisional India yang paling ikonik dan popular telah dipakai sejak beribu tahun di seluruh kawasan Asia Selatan, daripada pemakaian harian sehinggalah majlis rasmi.
Tradisionalnya, kurta ialah tunik longgar yang jatuh di antara paras peha sehingga bawah lutut.
Memetik semula Lashkaraa, kurta bermaksud baju tanpa kolar dan ciri rekaannya pula memberi fokus kepada keselesaan dan mempunyai lengan panjang serta bentuk lurus.
Selain itu, kurta merupakan tunik panjang yang dipakai oleh lelaki. Tetapi, kurti pula biasanya lebih pendek dan dipakai oleh wanita.
Perbezaan antara dua itu terletak pada labuh dan potongnya.
Dhoti / Veshti Pula Pilihan Alternatif Kepada Kurta

Menurut Andaaz, dhoti merupakan antara pakaian tertua yang masih dipakai di India sehingga hari ini.
Ia merupakan pakaian tradisional untuk bahagian bawah badan menampilkan sehelai kain segi empat tidak dijahit yang mempunyai panjang dari empat hingga lima meter.
Kain itu dililit pada pinggang dan kaki, kemudian disimpul dengan kemas.
Berbeza dengan seluar, dhoti tidak dijahit. Sebaliknya, pakaian ini terhasil daripada cara ia dililit menunjukkan kecantikan serta kemahirannya.
Dari segi fabrik pula, kapas menjadi pilihan utama kerana selesa dan sesuai untuk cuaca panas.
Selain itu, dhoti klasik biasanya berwarna putih atau krim dengan warna emas sebagai kemasan.
Menariknya, terdapat dua jenis dhoti.
Dhoti tradisional merujuk kepada sehelai kain tanpa jahitan yang dililit.
Manakala, dhoti siap pula dijahit seperti seluar yang dilengkapkan dengan getah memberi penampilan dililit tetapi mudah dipakai dalam beberapa saat.
Selain itu, dhoti lebih sinonim dengan bahagian utara, timur dan barat India. Manakala, veshti pula disebut oleh bahagian selatan India yang sering disebut dalam kesusasteraan Tamil Sangam seperti dikatakan oleh Times of India.
Deepavali Melambangkan Kemenangan Mengatasi Kegelapan
Menurut Tourism Malaysia, perayaan Deepavali dipercayai berasal daripada kisah Lord Krishna menewaskan seorang gergasi bernama Narakasura yang menyebabkan kacau bilau melambangkan kegelapan.
Oleh kerana itu, kematiannya menandakan cahaya yang menghapuskan kegelapan daripada dunia.
Perayaan sambutan Deepavali meraikan kemenangan kebaikan mengatasi kejahatan melalui lambang cahaya menyinari kegelapan.
Sambutannya biasanya diserikan dengan hiasan warna-warni bersama lukisan kolam yang menjadi satu kewajipan.
Kolam dihasilkan menggunakan serbuk kapur atau tepung beras untuk membentu corak geometri seperti gelung melengkung, titik dan bentuk simetri.
Masyarakat India percaya ia dapat membawa rezeki dan sering dilukis oleh wanita bagi menarik kebaikan.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Kenapa Deepavali Digelar ‘Festival of Lights’, Wajib Ada Pelita! | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.