PM Saran Rakyat Beralih Daripada Waze, Ini Aplikasi Navigasi Alternatif Boleh Digunakan
Aplikasi TuJu telah dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama Prosignal Consortium pada November 2005.
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Malaysia beralih daripada Waze kepada aplikasi tempatan TuJu atas sebab keselamatan data.
- Larangan menggunakan Waze dikuatkuasakan serta-merta terhadap penjawat awam, dengan kerajaan menegaskan data sensitif perlu dilindungi.
- Tiga alternatif dicadangkan iaitu TuJu, HERE WeGo dan Google Maps, namun TuJu masih dianggap tidak mesra pengguna.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Aplikasi navigasi telah menjadi peneman wajib bagi ramai pemandu di Malaysia bagi mengelak kesesakan dan mencari jalan alternatif dengan lebih mudah.
Namun, pihak kerajaan menyeru rakyat Malaysia beralih daripada aplikasi popular Waze kepada pilihan lain atas sebab keselamatan data.
Saranan itu dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin (20 Oktober) yang mengesyorkan aplikasi tempatan TuJu dijadikan alternatif bagi pengguna.
Isu Keselamatan Data Jadi Punca

Menerusi satu hantaran Facebook, Anwar meminta rakyat Malaysia menggunakan TuJu, sebuah aplikasi navigasi yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
Menurut beliau, saranan itu dilakukan berikutan risiko keselamatan terhadap maklumat dan data pergerakan rakyat Malaysia.
Perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat ketiga Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikannya oleh Anwar.
“Kita tidak boleh berkompromi dengan keselamatan data dan identiti rakyat,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Dalam masa sama, larangan menggunakan Waze telah dikuatkuasakan serta-merta terhadap penjawat awam berikutan keputusan jawatan kuasa berkenaan.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan berkata maklumat kerajaan yang sensitif dan data peribadi rakyat perlu dilindungi daripada eksploitasi.
“Pendirian kerajaan Madani adalah tegas, dan kami akan menutup sebarang kelemahan yang boleh dieksploitasi untuk mengancam keselamatan negara serta rakyat.”
Seterusnya, JPM menjelaskan bahawa keputusan tersebut mengambil kira status Waze Mobile Ltd sebagai pengawal data yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.
Ketua Setiausaha Negara Arahkan Pelaksanaan Segera
Dalam satu surat edaran yang tular Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar turut mengarahkan semua ketua setiausaha kementerian dan ketua jabatan memastikan arahan itu disampaikan kepada pegawai di bawah seliaan masing-masing untuk pelaksanaan segera.
Tambahan pula, mesyuarat tersebut turut membincangkan Akta Keselamatan Siber 2024, keselamatan MyDigital ID dan perlindungan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara.
Alternatif Pertama, TuJu

TuJu menjadi alternatif pertama yang disarankan oleh pihak kerajaan.
Untuk info, aplikasi ini telah dilancarkan oleh LLM bersama Prosignal Consortium pada November 2025.
Ciri yang ditawarkan oleh TuJu adalah seperti berikut:
- Paparan caj tol secara langsung
- Keadaan trafik dan kamera liter bertutup (CCTV) daripada pusat trafik LLM
- Senarai lokasi R&R dan kemudahan
- Laporan kemalangan dan penutupan jalan oleh pemandu lain
- Hubungan dengan platform MyJalan bagi aduan jalan berlubang dan rosak
“Ia turut menyenaraikan semua lokasi R&R di sepanjang perjalanan, lengkap dengan kemudahan seperti tandas, surau, pilihan makanan, stesen minyak dan pengecas EV. Jika pemandu nampak kemalangan atau penutupan jalan, mereka boleh melaporkannya dengan segera menerusi aplikasi ini,” kata Menteri Kerja Raya Malaysia Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Tambahan pula, aplikasi tersebut menggunakan data pemetaan dari Google dengan sokongan teknikal daripada Maybank.
Namun setakat hari ini, kebanyakan pengguna yang baru menggunakan aplikasi tersebut menyifatkan ekosistemnya tidak mesra pengguna dan belum mencapai standard seperti Waze.
Alternatif Kedua, HERE WeGo

Aplikasi alternatif kedua ialah HERE WeGo merupakan perisian pemetaan web dan navigasi satelit yang boleh digunakan di web serta platform mudah alih.
Ia dikendalikan oleh Here Technologies, syarikat dimiliki oleh Audi, BMW dan Mercedes-Benz.
Asalnya ia diperkenalkan oleh Nokia sebagai Nokia Maps pada tahun 2007, sebelum melalui beberapa perubahan semula. Akhirnya pada Julai 2016, ia dikenali sebagai HERE WeGo.
Kelebihannya ialah aplikasi navigasi yang turut menyediakan panduan untuk berjalan kaki dan berbasikal.
Malah, ia turut menyediakan maklumat dalam bangunan besar seperti pusat membeli-belah dan lapangan terbang secara terperinci mengikut setiap tingkat.
Pengguna juga boleh menyimpan lokasi dan butiran destinasi kegemaran sebagai Collections.
Alternatif Ketiga, Google Maps

Pilihan ketiga sudah tentu tidak asing lagi bagi majoriti pengguna di Malaysia iaitu Google Maps.
Dibangunkan oleh syarikat teknologi gergasi, Google. Aplikasi ini menawarkan imej satelit, fotografi, peta, paparan panoramik 360 darjah (Street View), keadaan trafik secara masa nyata dan perancangan laluan untuk pejalan kaki, memandu, berbasikal serta pengangkutan awam.
Menurut Loopex Digital, Google Maps mempunyai lebih 2 bilion pengguna aktif menerusi aplikasi mudah alih dan pelayar web.
Untuk info, Google Maps asalnya dibangunkan oleh sebuah syarikat di Sydney bernama Where 2 Technologies pada 2003.
Syarikat ini telah diambil alih oleh Google setahun kemudian pada Oktober 2004.
Google Maps telah dilancarkan secara rasmi pada 8 Februari 2005.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.