Now Reading
Masih Keliru Nak Sarapan Berat Atau Ringan? Ini Jawapannya

Masih Keliru Nak Sarapan Berat Atau Ringan? Ini Jawapannya

Sarapan yang berkhasiat wajib mengandungi sumber karbohidrat, protein, serat, serat dan lemak.

In Brief
  • Sarapan berat sesuai untuk individu aktif, manakala sarapan ringan lebih sesuai bagi mereka yang kurang berselera pada waktu pagi.
  • Yang paling penting, pastikan sarapan anda seimbang dan berkhasiat, tanpa mengambil berlebihan gula, garam dan lemak tepu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tidak dinafikan, sarapan merupakan antara waktu makan paling penting kerana ia membekalkan tenaga kepada tubuh badan sebagai persiapan menempuh rutin harian.

Namun, setiap individu mempunyai cita rasa yang berbeza-beza.

Ada yang suka menikmati sarapan berat lagi mengenyangkan. Manakala segelintir pula lebih selesa dengan sarapan ringan sebelum memulakan aktiviti harian.

Persoalannya, antara sarapan berat dan sarapan ringan, yang mana satu sebenarnya lebih ideal?

Sarapan Berat Untuk Individu Aktif & Rasa Lebih Kenyang Lama

Antara sarapan paling popular, Nasi Lemak. (Foto: Maggi)

Sarapan berat biasanya merujuk kepada hidangan yang lebih mengenyangkan dan terdiri daripada pelbagai jenis makanan.

Contohnya nasi, mi, roti telur, bubur dan sumber protein seperti ayam atau ikan.

Hidangan seperti ini mampu memberikan rasa kenyang lebih lama terutama kepada mereka yang mempunyai rutin harian aktif.

Tambahan pula, makanan yang mengandungi karbohidrat, protein, serat dan lemak sangat bagus untuk membekalkan tenaga pada waktu pagi.

Namun, sarapan yang terlalu berat atau tinggi dengan kandungan lemak, gula dan garam tidak semestinya menjadi pilihan yang baik.

Ini kerana ia boleh menyebabkan seseorang berasa terlalu kenyang atau kurang selesa.

Malah, ia juga boleh mengakibatkan food coma kerana jumlah kalori yang diperlukan diambil secara berlebihan.

Sarapan Ringan Sesuai Bagi Mereka Yang Kurang Berselera

Sarapan ringan. (Foto: Bon Appetit)

Sarapan ringan pula biasanya melibatkan makanan dalam kuantiti yang lebih kecil seperti buah-buahan, yogurt, roti, telur, oat atau bijirin.

Ia mungkin lebih sesuai bagi individu yang kurang berselera pada waktu pagi atau tidak biasa makan dalam jumlah banyak.

Dalam masa sama, ia sangat ideal bagi mereka yang akan menikmati hidangan seterusnya dalam tempoh masa singkat.

Walaupun begitu, ini tidak bermaksud keperluan nutrisi perlu diabaikan kerana makan dalam kuantiti kecil.

Corak pemakanan kurang seimbang atau terlalu sedikit akan menyebabkan seseorang terasa lapar lebih awal daripada biasa kerana tubuh badan tidak mendapat bekalan tenaga dan nutrien mencukupi.

Disebabkan itu, lakukan keputusan bijak dengan memastikan makanan dipenuhi protein, serat dan karbohidrat baik walaupun portion lebih kecil.

Sarapan Berat Atau Ringan, Mana Satu Sesuai?

Sarapan berat atau ringan? (Foto: Asian Traits)

Untuk menjawab persoalan itu, tiada satu jenis sarapan sesuai untuk semua orang.

Ini kerana keperluan kita berbeza mengikut umur, tahap aktiviti fizikal dilakukan, rutin harian dan keadaan kesihatan seseorang.

Contohnya, mereka yang kerap melakukan aktiviti fizikal pada waktu pagi mungkin memerlukan hidangan lebih mengenyangkan.

Manakala golongan yang kurang berselera pada awal pagi mungkin lebih selesa dengan portion makanan kecil.

Apa yang penting ialah memastikan sarapan anda seimbang dan tidak berlebihan.

Gabungan makanan seperti bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran, telur, susu atau sumber protein mampu menyediakan pelbagai nutrien penting yang diperlukan oleh tubuh badan kita.

Selain itu, pengambilan makanan yang tinggi dengan gula, garam dan lemak tepu wajar dikurangkan.

Selain Sarapan, Amalkan Cara Snek Sihat Untuk Bantu Kurangkan Rasa Lapar

Sudah menjadi lumrah untuk individu aktif atau sibuk dengan jadual harian mudah terasa lapar di antara waktu makan.

Namun, memilih snek tinggi gula, garam dan lemak secara berlebihan boleh meningkatkan pengambilan kalori harian dan menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang.

Ini kerana snek yang sihat bukan sahaja dapat bantu mengurangkan rasa lapar, malah membekalkan tenaga dan nutrien penting pada tubuh badan.

Buah-Buahan Segar

Buah-buahan segar. (Foto: MalayMail)

Antara pilihan snek terbaik ialah buah seperti epal, pisang, oren, betik dan anggur kaya dengan vitamin, mineral, serat dan antioksida dapat bantu mengekalkan tahap kesihatan kita.

Buah-buahan juga kaya dengan kandungan serat membolehkan kita rasa kenyang lebih lama sambil mengurangkan keinginan untuk mengambil makanan ringan yang kurang berkhasiat.

Yogurt Rendah Lemak

Yogurt rendah lemak juga merupakan salah satu pilihan snek berkhasiat.

Ini kerana yogurt mengandungi protein dan probiotik baik untuk kesihatan usus.

Protein membantu mengekalkan rasa kenyang lebih lama, manakala probiotik pula menyokong keseimbangan bakteria baik dalam sistem pencernaan.

Anda disyorkan untuk menikmati yogurt bersama buah segar atau kacang bagi menambah rasa sedap dan nutrien tambahan.

Sarapan Terbaik Ialah Hidangan Seimbang & Berkhasiat

Kesimpulannya, sama ada sarapan berat atau ringan. Pilihan yang ideal bergantung kepada keperluan dan rutin kehidupan harian.

Paling penting ialah memastikan setiap hidangan yang diambil ialah berkhasiat dan dapat membantu memulakan hari dengan lebih bertenaga.

Baca Artikel Berkaitan: “Bukan Sebab Nak Kurus” – Terlalu Obsesif Dengan Pemakanan ‘Sihat’ Mungkin Simptom Orthorexia Nervosa

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Ini Kongsi Pilihan Menu Tinggi Protein & Kurang Kalori Di Subway | TRP


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd