Now Reading
ECRL: Tiket Harga RM125 Buat Perjalanan Ke Pantai Timur Lebih Selesa & Mudah

ECRL: Tiket Harga RM125 Buat Perjalanan Ke Pantai Timur Lebih Selesa & Mudah

Terdapat tiga kelas tempat duduk bakal disediakan dalam ECRL iaitu Kelas Ekonomi, Premium dan Bisnes.

In Brief
  • Tiket ECRL bermula serendah RM125 sehala bagi laluan Gombak ke Kota Bharu, dengan diskaun sehingga 50% untuk golongan terpilih.
  • ECRL memendekkan masa perjalanan Kota Bharu ke Gombak daripada tujuh jam menaiki kereta kepada hanya empat jam.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Perjalanan antara Pantai Timur dan Lembah Klang bakal berubah menjadi lebih mudah dan pantas menerusi perkhidmatan East Coast Rail Link (ECRL).

Pihak kerajaan juga telah meluluskan struktur tambang ECRL bermula serendah RM125 sehala bagi laluan Gombak ke Kota Bharu.

Kelulusan itu diumumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, pada sidang media struktur tambang ECRL semalam (19 Oktober).

Tambang berharga RM125 adalah untuk Kelas Ekonomi perkhidmatan transit sejauh 523 km. Manakala, perkhidmatan Express pula bermula pada RM147 sehala.

Harga Tiket Ditetapkan Mengikut Jarak Tiga Laluan Utama

tren ECRL. (Foto: Malay Mail)

Selain laluan Gombak ke Kota Bharu, dua lagi laluan utama turut ditawarkan dengan harga berbeza mengikut jarak perjalanan seperti berikut:

  • Gombak ke Terengganu (378 km): Transit (RM95), Express (RM110)
  • Gombak ke KotaSAS (209 km): Transit (RM60), Express (RM68)

Menurut Darwis, harga tiket yang sama turut dikenakan bagi perjalanan dua hala.

Dalam masa sama, harga tiket ditentukan menerusi mekanisme penetapan harga dinamik yang mengambil kira masa perjalanan, permintaan penumpang dan ketersediaan tempat duduk.

Masa Perjalanan Lebih Singkat Berbanding Menaiki Kereta

Kereta api ECRL yang bakal digunakan. (Foto: Malay Mail)

Daya tarikan utama ECRL ialah masa perjalanan yang jauh lebih singkat. Bagi laluan Gombak ke Kota Bharu, perkhidmatan Express dijangka bakal mengambil masa kira-kira empat jam.

Manakala, perkhidmatan Transit pula mengambil masa sekitar lima jam sahaja.

“Untuk Gombak ke Kuala Terengganu, kereta api Express mengambil masa dua jam 54 minit, manakala perjalanan Gombak ke KotaSAS pula mengambil masa satu jam 27 minit,” tambah Darwis.

Perbezaan masa ini sangat penting jika dibandingkan dengan perjalanan menaiki kereta sendiri.

Ini kerana ECRL mampu memendekkan hampir separuh masa perjalanan dari Kota Bharu sehingga Gombak, iaitu daripada tujuh jam di jalan raya kepada empat jam sahaja.

Tambahan pula, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Anthony Loke turut menyatakan perkhidmatan Express boleh menghubungkan Gombak ke Kuantan dalam masa satu jam 35 minit sahaja.

Jualan Tiket Bakal Bermula Pertengahan November

Darwis turut berkata bahawa jualan tiket rasmi dijadualkan bakal bermula pada pertengahan November tahun ini.

Seterusnya, operasi penumpang komersial bagi laluan Gombak ke Kota Bharu pula disasarkan bermula pada Disember 2026, tertakluk kepada kelulusan keselamatan akhir.

Pihak kerajaan turut meluluskan diskaun harga tiket sehingga 50% untuk beberapa golongan terpilih.

“Pihak kerajaan juga meluluskan diskaun tambang sehingga 50% untuk kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun, warga emas warganegara Malaysia berumur 60 tahun ke atas, orang kurang upaya (OKU) dan veteran tentera.

“Pelajar berumur 13 hingga 24 tahun pula akan menerima diskaun sebanyak 40%” tambah Darwis.

Terdapat Tiga Kelas Tempat Duduk Bakal Disediakan

Ruang kabin dalam ECRL. (Foto: China Communications Construction ECRL Sdn Bhd / Facebook)

Dari segi keselesaan, kereta api ECRL bakal menawarkan tiga pilihan iaitu Kelas Ekonomi, Premium dan Bisnes.

Setiap set kereta api mampu menampung antara 409 hingga maksimum 425 penumpang bergantung kepada susunan tempat duduk atau konfigurasi.

Kemudahan yang disediakan untuk penumpang termasuklah rak bagasi, kaunter makanan dan minuman, surau lengkap dengan kawasan berwuduk, tempat duduk khas bagi penumpang Orang Kurang Upaya (OKU), sambungan internet 4G/5G dan WiFi.

Untuk info, ECRL menggunakan set kereta api Electric Multiple Unit (EMU) enam gerabak dihasilkan oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) Dalian.

Menariknya, 10 set EMU ini mampu bergerak sehingga 160 km/j ketika dalam perjalanan.

16 Perkhidmatan Sehari Pada Hujung Minggu

Bercakap dari segi kekerapan pula, ECRL akan menyediakan 12 perkhidmatan sehari pada hari Isnin hingga Khamis merangkumi enam perjalanan bagi setiap arah.

Jumlah itu bakal dipertingkatkan 16 perkhidmatan sehari pada Jumaat hingga Ahad, dengan lapan perjalanan bagi setiap arah.

Anggaran 2.2 juta tempat duduk penumpang dijangka bakal disediakan sepanjang tahun 2027.

Malah, Loke berkata rangkaian ini berpotensi membawa sehingga 10,000 penumpang sehari, bergantung kepada kekerapan perkhidmatan.

Selain itu, Darwis turut berkongsi bahawa ECRL telah mencapai kadar siap operasi sebanyak 98.16% di empat buah negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

Ujian teknikal pula telah berjaya mencapai 100%.

“Ujian kereta api yang bermula pada Ogos 2026 telah meliputi lebih 50,000km, termasuk perjalanan tanpa henti pada kelajuan maksimum 160km/j,” ujar Darwis.

Seterusnya, ujian operasi bebas kerosakan dijadualkan bermula pada 23 Oktober, diikuti operasi percubaan ketika bulan November sebelum sasaran permulaan perkhidmatan komersial di Disember.

ECRL Dibina Dalam Dua Fasa Menghubungkan Kawasan Pantai Timur

Proses pembinaan ECRL. (Foto: Malay Mail)

Untuk info, ECRL dibangunkan secara berperingkat dalam dua fasa.

Menurut Malay Mail, fasa pertama bermula dengan laluan Kota Bharu ke Gombak yang asalnya dijadualkan beroperasi pada Januari 2027,

Kemudian, fasa kedua memberi fokus kepada laluan Gombak ke Pelabuhan Klang yang dijangka dibuka pada Januari 2028.

Operasi fasa pertama telah dipercepatkan apabila pihak kerajaan menyasarkan pembukaannya seawal pertengahan Disember tahun ini.

Secara keseluruhan, rangkaian ECRL mempunyai 20 stesen yang dibahagikan kepada:

  • 10 stesen khas untuk penumpang
  • 10 stesen khas untuk penumpang dan kargo.

Berikut ialah senarai stesen dalam rangkaian ECRL:

Seksyen A (Kota Bharu – Dungun, 210.4 km)
  • Kota Bharu
  • Pasir Putih
  • Jertih
  • Bandar Permaisuri
  • Kuala Terengganu
  • Dungun
Seksyen B (Dungun – Mentakab, 210.7 + 40.3 km)
  • Chukai
  • Cherating
  • Kuantan Port City
  • Kota SAS
  • Paya Besar
  • Maran
  • Temerloh
  • Bentong
Seksyen C (Mentakab – Port Klang, 201.7 + 2.5 km)
  • Terminal Bersepadu Gombak
  • Bandar Serendah
  • Puncak Alam
  • Kapar
  • Jalan Kastam (Port Klang)

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd