Cuba Periksa Baju Anda, Butang Baju Lelaki & Wanita Berada Di Posisi Berbeza
Menurut The Atlantic, Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte mengarahkan butang baju wanita diletakkan di sebelah kiri kerana ingin menghentikan mereka mengejeknya.
- Butang baju lelaki berada di sebelah kanan, manakala butang baju wanita di sebelah kiri, satu perbezaan yang telah lama wujud.
- Beberapa teori menjelaskan perbezaan ini, termasuk tradisi orang gaji, cara menunggang kuda, dan arahan Napoleon Bonaparte.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Perasan atau tidak butang pada baju lelaki sentiasa di sebelah kanan. Manakala, butang pada baju perempuan pula terletak di sebelah kiri.
Perbezaan kecil ini telah lama wujud dalam dunia fesyen tanpa kita sedar dan ia konsisten dalam semua jenis baju yang mempunyai butang.
Tetapi kenapa peraturan itu boleh bermula dan kenapa kita tidak pernah mempersoalkannya?
Ada Beberapa Teori Menarik Menjawab Persoalan Ini

Penjelasan paling mudah ialah berkaitan dengan tangan dominan.
Menurut Smithsonian Magazine, 90% manusia akan menggunakan tangan kanan dan angka ini konsisten tanpa mengira jantina.
Jadi, perbezaan jantina dalam teori tangan dominan jelas bukan punca yang mempengaruhi reka bentuk butang baju yang berbeza.
Menurut The Atlantic, mereka menyifatkan perkara ini kecil tetapi aneh dan menggelarkannya sebagai button differential.
Ia dilihat sebagai salah satu peninggalan tradisi lama yang kita masih meneruskan dalam dunia moden.
Teori Kedua Pula Berkaitan Wanita Kaya

Pada era Renaissance dan Zaman Victoria, pakaian wanita jauh lebih rumit dan kompleks berbanding pakaian lelaki.
Cuba bayangkan petticoat, korset dan bustle yang perlu dipakai secara berlapis-lapis.
Pakaian sebegini sangat susah untuk dipakai dengan sendiri tanpa sebarang bantuan.
Menurut Caitlin Schnieder, wanita pada waktu itu terutamanya golongan bangsawan sering memakai pakaian rumit dan memerlukan pertolongan daripada orang gaji untuk bersiap.
Orang gaji akan menggunakan tangan kanan untuk mengancing butang baju majikannya yang berada di sebelah kiri.
Oleh itu, kebanyakan tukang jahit meletakkan butang di sebelah kiri baju untuk memudahkan proses menyiapkan majikan mereka.
Menariknya, baju lelaki pula direka untuk dipakai dengan sendiri. Memandangkan majoriti lelaki dominan sebelah kanan, butang diletakkan di situ bagi memudahkan proses pemakaian.
Lama-kelamaan, reka bentuk butang ini menjadi satu standard dalam industri menghasilkan pakaian.
Benjamin Radford pernah mempersoalkan kenapa tradisi ini masih kekal walaupun wanita hari ini tidak memerlukan pertolongan orang lain untuk memakai pakaiannya.
“Tiada siapa yang pernah mengambil berat untuk mengubah satu tradisi yang jarang disedari atau dipertikaikan oleh sesiapa,” tambah Radford.
Cara Wanita Menunggang Kuda Juga Mempengaruhi Butang Baju
Southern Living pula mengeluarkan teori cara wanita menunggang kuda mempengaruhi posisi butang baju.
Ini kerana, wanita akan menunggang kuda secara side saddle, ataupun duduk di sisi.
Dalam posisi ini, bahagian kanan badan mereka perlu menghadap ke hadapan.
Makan, baju dengan butang di sebelah kiri direka untuk melindungi mereka daripada angin memasuki ke dalam badan.
Lapisan kain di bahagian kiri dapat menutup dan menghalang tiupan angin menyelinap masuk ke dalam baju.
Era Perang Turut Mempengaruhi Reka Bentuk Butang
Menurut buku The Art of Chivalry: European Arms and Armor dari Metropolitan Museum of Art, plat baju besi pada zaman pertengahan disusun bertindih dari kiri ke kanan.
Alasannya, bahagian kiri badan yang dilindungi sentiasa dihalakan ke arah musuh. Susunan plat bertindih dari kiri ke kanan memastikan tombak musuh tidak boleh menusuk masuk di antara celah plat baju besi.
Reka bentuk itu kemudian mempengaruhi pakaian lelaki yang boleh dilihat hari ini di mana butang baju lelaki dikancing dari kiri ke kanan.
Paul Keers, penulis buku A Gentleman’s Wardrobe menyatakan bahawa pedang seorang lelaki sentiasa digantung di sebelah kiri badan supaya boleh diambil dengan tangan kanan.
Sekiranya jaket dikancing dari kanan ke kiri, ada kemungkinan pedang boleh tersangkut pada butang ketika dikeluarkan.
Keers turut menambah bahawa tradisi ini kemudiannya dikembangkan kepada pakaian lelaki lain sebagai salah satu gaya hidup maskulin.
Maharaja Perancis, Napoleon Mengarahkan Butang Baju Wanita Ditukar Ke Belah Kiri

Antara semua teori yang telah dibincangkan, kisah berkaitan Maharaja Perancis iaitu Napoleon Bonaparte mungkin paling menarik.
The Atlantic, Napoleon terkenal dengan tabiat bergambar dengan tangan diselitkan ke dalam jaketnya.
Wanita pada ketika itu dikatakan sering mengejek maharaja Perancis itu dengan meniru gaya tangannya.
Disebabkan itu, Napoleon telah mengarahkan butang baju wanita dipasang sebelah kiri berbanding baju lelaki.
Tujuannya supaya wanita tidak lagi boleh meniru gayanya dengan mudah.
Baca Artikel Berkaitan: Warna Hitam Bukan Lagi Pilihan Utama? Trend Fesyen Lelaki 2026 Kini Lebih Berani | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Ini Tips Tampak Lebih Stylish Bila Pakai Kasut Putih. Baru Tak Boring! | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.