Rakyat Malaysia Di Perancis Diminta Daftar Dengan Kedutaan Susulan Demonstrasi
Wisma Putra meminta rakyat Malaysia di Perancis mendaftar dengan kedutaan menerusi e-Konsular dan sentiasa berwaspada susulan demonstrasi di beberapa bandar utama negara itu.
- Rakyat Malaysia di Perancis diminta mendaftar maklumat perhubungan terkini dengan pihak kedutaan menerusi platform e-Konsular.
- Demonstrasi di Perancis yang disertai kira-kira 550,000 peserta bertukar ganas, melibatkan pertempuran, kebakaran dan kejadian rompakan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) dalam kenyataan pada Ahad (18 Oktober) memaklumkan bahawa pihaknya sedang memantau perkembangan demonstrasi berkenaan.
Setakat ini, tiada laporan diterima mengenai rakyat Malaysia yang terlibat atau terjejas akibat situasi tersebut.
Menurut kementerian itu, perjalanan ke Perancis masih dibenarkan seperti biasa. Bagaimanapun, rakyat Malaysia disarankan mempertimbangkan untuk menangguhkan perjalanan yang tidak penting sehingga keadaan kembali reda.
Kedutaan Malaysia di Paris turut menasihatkan rakyat Malaysia di negara itu supaya berhati-hati dan sentiasa peka terhadap perkembangan semasa.
Kedutaan berkenaan juga sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan maklumat terkini serta memudahkan urusan bantuan sekiranya diperlukan.
Rakyat Malaysia Digesa Kemas Kini Maklumat Dengan Kedutaan
Wisma Putra meminta rakyat Malaysia yang menetap di Perancis memastikan maklumat perhubungan terkini mereka telah didaftarkan dengan pihak kedutaan.
Bagi mereka yang belum berbuat demikian, pendaftaran boleh dilakukan menerusi platform e-Konsular di https://ekonsular.kln.gov.my.
Rakyat Malaysia yang merancang untuk melancong ke Perancis turut digalakkan mendaftarkan maklumat perjalanan masing-masing menerusi platform sama.
Mereka juga dinasihatkan supaya mengikuti perkembangan terkini yang dikeluarkan oleh kedutaan dan pihak berkuasa Perancis.
Bagi mendapatkan bantuan konsular segera atau ketika kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Paris melalui saluran berikut:
- Telefon: +33 1 45 53 11 85
- Talian kecemasan di luar waktu pejabat: +33 6 32 44 65 71
- E-mel: par.consular@kln.gov.my
Wisma Putra memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi berkenaan dan mengeluarkan maklumat lanjut sekiranya perlu.
Dianggarkan 550,000 Penunjuk Perasaan Turun Ke Jalanan
Demonstrasi di beberapa bandar di Perancis dilaporkan menarik kira-kira 550,000 peserta pada Sabtu (17 Oktober).
Perarakan diadakan di pelbagai bandar dan pekan di seluruh negara, dengan beberapa demonstrasi bertukar ganas.
Aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg, turut menyertai salah satu perhimpunan di Paris bersama pelajar sekolah menengah yang menuntut keadaan pembelajaran lebih baik.
Beliau turut menyokong gesaan supaya lebih banyak bantuan diberikan kepada sektor pendidikan.
Penglibatan aktivis itu menarik perhatian antarabangsa terhadap gelombang demonstrasi yang turut disertai pelajar dari seluruh negara.
Keadaan Sekolah Dan Kos Sara Hidup Antara Isu Yang Dibangkitkan
Punca demonstrasi dilaporkan berbeza mengikut kumpulan yang terlibat.
Antara isu yang dibangkitkan termasuk keadaan di sekolah, peningkatan harga bahan api dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Pelajar turut menyertai perarakan, dengan beberapa laporan menyifatkan gerakan tersebut sebagai didorong golongan muda.
Bagaimanapun, situasi menjadi tegang pada hari sama apabila berlaku pertempuran, kebakaran dan kejadian rompakan.
Jumlah individu yang ditahan berbeza mengikut laporan. Satu laporan menganggarkan lebih 1,000 individu ditahan, manakala laporan lain menyebut sekurang-kurangnya 272 tangkapan dilakukan di seluruh negara.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menegaskan bahawa “keganasan tidak boleh diterima.”
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.