Ini Fakta Menarik Tentang Bunga Kebangsaan Negara, Bunga Raya
5 kelopak bunga raya melambangkan 5 prinsip Rukun Negara.
- Bunga raya dipilih sebagai Bunga Kebangsaan pada 28 Julai 1960, kerana populariti, keunikan, dan bukan lambang negara lain.
- Bunga raya boleh berubah jantina sepanjang hari, mengeluarkan organ wanita pada pagi dan organ lelaki pada petang.
- Teh bunga raya kaya dengan kalsium, zat besi, serat, dan antioksidan, memberi pelbagai manfaat kesihatan kepada penggunanya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Umum mengetahui bunga raya merupakan Bunga Kebangsaan negara dan bukanlah satu perkara baru.
Bunga berwarna merah ini bukan hanyalah hiasan di taman, malah menjadi salah satu lambang kebanggaan negara.
Namun, kenapa ia dipilih sebagai Bunga Kebangsaan berbanding tumbuhan atau pokok lain?
5 Kelopak Bunga Raya Melambangkan 5 Rukun Negara

Kisah ini bermula pada akhir tahun 1958.
Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Pertanian mengemukakan tujuh jenis bunga untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan.
Antaranya bunga raya, kenanga, melur, cempaka, teratai, mawar dan tanjung.
Bagi menentukan pilihan, Jabatan Penerangan melakukan satu kajian untuk mendapatkan reaksi orang ramai di seluruh kawasan Semenanjung Malaysia.
Menariknya, penduduk Pantai Timur lebih cenderung kepada bunga mawar, manakala penduduk Pantai Barat memilih bunga melur.
Walaupun begitu, pihak kerajaan mengambil kira beberapa kriteria sebelum melakukan keputusan.
Antaranya, bunga raya sudah popular di pelbagai tempat dan mempunyai warna serta bentuk yang menarik.
Ia juga mempunyai nama yang sama di seluruh negara dan mudah diperolehi.
Tetapi, kriteria paling utama ialah bunga ini bukan lambang kebangsaan mana-mana negara lain.
Pada 28 Julai 1960, Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengisytiharkan bunga raya sebagai Bunga Kebangsaan negara.
Untuk info, lima kelopaknya turut dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara. Malah, ia juga dianggap sebagai lambang perpaduan buat negara.
Bunga Raya Boleh Mengubah Jantina Sepanjang Hari

Dalam masa sama, bunga raya menyimpan satu rahsia yang jarang diketahui ramai.
Menurut University of California, bunga raya boleh berubah jantina setiap hari.
Tak percaya? Lihat bahagian batang merah panjang yang terjulur di tengahnya. Bahagian itu mempunyai kedua-dua organ lelaki dan wanita terdedah sepenuhnya di udara.
Pada waktu pagi, organ wanita dikeluarkan untuk menangkap debunga.
Pada waktu petang, organ lelaki pula akan menabur debunga sebelum ia layu semula.
Selain itu, bahagian daun hijau juga boleh dijadikan sabun dan syampu semula jadi.
Caranya ialah dengan menghancurkannya bersama air untuk menghasilkan cecair pekat dan licin.
Cecair tersebut kaya dengan bahan saponin semula jadi sesuai digunakan untuk mencuci rambut atau membersihkan pinggan.
Air Teh Bunga Raya Juga Mempunyai Banyak Khasiat

Selain mempunyai warna yang cantik, bunga raya juga boleh dinikmati sebagai minuman teh.
Menurut Aduna, teh bunga raya merupakan sumber kaya dengan serat, kalsium, zat besi, protein tumbuhan dan antioksidan.
Warna merah jambunya dan rasa masam menyegarkan sesuai ditambah ke dalam smoothie, yogurt, ais krim, dan pencuci mulut.
Antara kebaikannya seperti:
#1. Kesihatan Usus
Sumber kalsium yang menyokong fungsi enzim pencernaan dan mempunyai kandungan serat tinggi (33%) bagi membantu bakteria baik dalam usus.
#2. Imuniti
Sumber zat besi yang membantu tindak balas imun untuk membentuk sel darah merah serta hemoglobin menyalurkan oksigen.
#3. Kulit Sihat
Kaya dengan antioksidan seperti polifenol dan antosianin, membantu melawan radikal bebas yang menyebabkan kulit kering serta garis halus.
#4. Mengurangkan Rasa Lesu
Zat besi dapat bantu mengurangkan rasa letih dan lesu.
#5. Meningkatkan Tenaga
Kandungan zat besi dan kalsium dapat menyumbang kepada tahap metabolisme tinggi jika diminum setiap hari.
Asal Usul & Ciri Bunga Raya
Menurut Herb Co, bunga raya wujud secara semula jadi di kawasan tropika seluruh dunia.
Lapan spesies asalnya dianggap sebagai ayah kepada 300 spesies berkaitan yang masih wujud hari ini, belum termasuk hibrid moden.
Bunga raya juga mempunyai banyak nama dan paling biasa disebut sebagai roselle.
Nama itu merujuk kepada spesies Hibiscus sabdariffa, berbunga merah dan berasal dari Afrika. Ia turut dikenali sebagai red sorrel, carcade dan Florida cranberry.
Antara nama lain seperti Flor de Jamaica, Jamaica sorrel, Indian sorrel, Guinea sorrel dan rosella fruit di Australia.
Menurut Sakura Co, bunga raya mudah dikenali kerana kebiasaannya berwarna merah dan tumbuh di kawasan tropika.
Selalunya bunga raya mempunyai ketinggian satu meter, manakala pokok tertinggi yang pernah direkodkan berjaya mencecah lebih lapan meter (26 kaki).
Ia memerlukan cahaya matahari dan nutrien yang mencukupi dan daunnya akan bertukar warna kuning jika terlebih siram dengan air.
Tambahan pula, bunga raya selalunya berwarna merah. Tetapi juga mempunyai warna lain seperti kuning, oren dan putih.
Menariknya, setiap warna mempunyai simbol atau maksud tersendiri. Contohnya merah melambangkan cinta, kuning bermaksud persahabatan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.