Mokky’s Pizza Lancar Breakfast Club Ala Diner Amerika, Tapi Berbaloi Atau Tak? [Review]
Menurut pengasas Mokky’s, Shahmi, mereka mahu membawa pizza ala New York di Malaysia kerana tidak banyak kedai menjualnya.
- Mokky's Breakfast Club hanya tersedia di dua cawangan, Bukit Jelutong dan Seksyen 14 Shah Alam, dengan dua hidangan utama dan tiga sampingan.
- Mokky's Breakfast menjadi hidangan terbaik kerana kombinasi sosej ayam, hashbrown dan baked beans yang lazat serta portion yang mengenyangkan.
- Cheese French Toast agak menghampakan kerana terlalu creamy dan mudah jelak, walaupun sos pedas membantu mengimbangi rasanya.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Mokky’s Pizza merupakan antara jenama piza tempatan yang semakin popular sejak kebelakangan ini.
Selepas membina nama menerusi piza gaya New York, Mokky’s Pizza tampil dengan sesuatu yang baharu iaitu menu sarapan eksklusif.
Diberi nama Breakfast Club, menu itu telah dilancarkan pada 7 September menerusi hantaran di muat naik dalam Instagram.
Breakfast Club Ditawarkan Di 2 Cawangan Sahaja

Untuk info, Breakfast Club hanya boleh dinikmati di dua cawangan Mokky’s Pizza.
Kedua-dua cawangan tersebut ialah Bukit Jelutong dan Seksyen 14 Shah Alam.
Dalam masa sama, menu Breakfast Club menampilkan dua hidangan utama dan tiga hidangan sampingan.
Dua hidangan utama ialah:
- Mokky’s Breakfast: Menampilkan telur, sosej ayam, smoked chicken, streaky beef, potato rosti, baked beans, tomato dan sayur-sayuran
- Steak and Eggs: Stik sirloin, telur mata, roasted potatoes, sos lada hitam dan jem strawberri
Manakala itu, tiga hidangan sampingan ialah:

- French Toast: Roti brioche dengan mentega dan sos maple butter
- Brioche & Eggs: Scramble eggs, roti brioche, cendawan, streaky beef dan jem strawberri
- Cheese French Toast: Roti brioche, smoke chicken mozzarella dan white cheddar sauce
[Review] Mokky’s Breakfast Club

Kami berpeluang untuk mencuba menu baharu ini di cawangan Mokky’s Pizza Seksyen 14, Shah Alam.
Suasana di waktu pagi hari Ahad itu sejuk, dingin dengan cahaya biru dan kelabu memenuhi ruang sebaik sahaja hujan berhenti.
Kami disambut mesra oleh staff yang menerangkan menu sarapan baharu itu dan mengambil keputusan untuk memesan 2 hidangan utama dan satu sampingan iaitu Mokky’s Breakfast, Steak and Eggs dan Cheese French Toast.
Tambahan pula, kami tidak perlu menunggu lama untuk mendapat makanan yang telah membuka selera sebaik sahaja dihidangkan seperti pandangan cinta pertama.
Jadi, apa pendapat kami?
Antara ketiga-tiga pilihan yang kami cuba, Mokky’s Breakfast muncul sebagai hidangan kegemaran saya.
Kombinasi sosej ayam, hashbrown dan sos baked beans muncul sebagai watak utama menggabungkan rasa sweet, savoury, salty and crunchy dalam satu suapan.
Sosej ayam yang digunakan tidak kelihatan seperti dibeli siap di pasar raya.
Ia mempunyai rasa pedas berlada dan mempunyai snap apabila digigit memberi tekstur ranggup yang lebih menyelerakan.
Kemudian, hashbrown yang ranggup menjadi kawan sampingan dalam hidangan berat ini.
Yang pasti, portion Mokky’s Breakfast ialah besar dan cukup mengenyangkan walaupun dikongsi dengan dua orang.
Steak & Eggs Mengambil Inspirasi Daripada American Diner?

Seterusnya, kami mencuba Steak and Eggs yang mengingatkan saya kepada suasana diner Amerika di Los Angeles.
Stik tersebut dimasak sempurna pada tahap medium atau medium rare membuatkannya lembut dan kurang kenyal.
Dipadankan dengan sos lada hitam dan telur menjadi satu pilihan sarapan yang menyelerakan.
Namun, hidangan ini cepat membosankan jika dibandingkan semula dengan Mokky’s Brekfast.
Walaupun mempunyai portion yang besar, mampu mengenyangkan sehingga waktu tengah hari, tiada elemen lain yang membuatkan saya ingin mencubanya lagi.
Tambahan pula, saya lebih menggemari Mokky’s Breakfast berbanding Steak and Eggs.
Namun begitu, jika anda seorang yang ingin mencuba sarapan ala Amerika Syarikat yang original, pilihan ini tidak akan mengecewakan anda.
Cheese French Toast Yang Sedikit Menghampakan

Cheese French Toast pula menutup pengalaman kami mencuba Mokky’s Breakfast Club.
Ia turut mempunyai keistimewaan dan kekurangannya tersendiri.
Kami merasakan teksturnya terlalu creamy sehingga sukar membezakan elemen lain yang terdapat dalam hidangan ini.
Malah, ia juga mudah terasa jelak ketika menikmatinya. Tetapi, sos pedas yang disediakan Mokky’s banyak membantu mengimbang keseluruhan rasa.
Mokky’s Breakfast Club Sesuai Untuk Siapa?
Tidak dinafikan portion hidangan Mokky’s Breakfast Club sangat berbaloi kerana mempunyai saiz sangat besar.
Malah, kami merasakan ia cukup untuk kekal kenyang sehingga waktu makan tengah hari.
Seterusnya, menu ini sesuai bagi mereka yang ingin menikmati makanan gaya diner Amerika yang berbeza daripada sarapan pagi kita.
Selain itu, ia turut menepati cita rasa bagi mereka yang mahukan hidangan sarapan lebih berat untuk mulakan hari ataupun inginkan sesuatu baharu.
Jika diberikan cadangan, saya ingin menggantikan salah satu hidangan sampingan dengan sosej ayam, telur dan hashbrown.
Gabungan ini menepati konsep sarapan berat dan menghidangkan elemen-elemen terbaik Mokky’s Breakfast.
Usaha Menghasilkan Pizza Ala New York Di Malaysia

Untuk info, Shahmi atau lebih mesra dikenali sebagai Mokky, pada asalnya bukanlah seorang pembuat pizza.
Mokky mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan dari Amerika Syarikat.
Namun, seperti kebanyakan daripada kita ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mokky mempunyai banyak masa lapang.
Mengambil inspirasi daripada pengalamannya di Amerika Syarikat dan menonton tutorial YouTube, dia mula mencuba menghasilkan pizza gaya New York di rumah.
Prosesnya bukanlah mudah dan selepas beberapa percubaan, Mokky berjaya menghasilkan pizza yang menepati ciri New York, iaitu nipis, rangup dan penuh dengan topping.
“Kami mahu membawa pizza ala New York ini kerana di Malaysia tidak banyak kedai pizza yang menjualnya, sedangkan ia boleh jadi besar dan penuh dengan topping,” kata Shahmi.
Idea Di Rumah Berkembang Menjadi Sebuah Perniagaan
Mokky kemudian ingin melangkah ke sesuatu yang lebih besar.
Tetapi mengubah projek di rumahnya menjadi sebuah perniagaan sebenar bukanlah perkara yang mudah. Di sinilah rakan-rakannya mula mainkan peranan penting.
Umar, kawan rapatnya mengambil tanggungjawab menguruskan bahagian perniagaan dan pengurusan.
Dalam masa sama, abang kepada Umar, Azfar menyertai pasukan ini dengan membawa pengalaman tersendiri sebagai barista dan pengurus kafe.
Sekali gus, mengukir nama sebagai jenama piza tempatan yang menyerupai seperti di Amerika Syarikat.
Kesimpulannya, Mokky’s Breakfast Club ini berbaloi atau tidak bergantung kepada apa yang anda inginkan.
Dari sudut portion dan pengalaman kami, ia menawarkan hidangan sarapan yang cukup mengenyangkan dan unik.
Jadi ia sesuai untuk mereka ingin mencuba sesuatu yang baharu.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.