Dari Mana Datang Nama “Bangsar”? Ini Kisahnya
Nama Bangsar juga dipercayai berasal sebagai tanda peringatan kepada Haji Abdullah Hukum yang cuba menyatukan 3 kaum berbeza.
- Bangsar bermula sebagai ladang getah dan kawasan perumahan biasa yang sering dilanda banjir, jauh dari tumpuan Kuala Lumpur.
- Nama "Bangsar" dipercayai berasal daripada perkataan "Bangsa", merujuk kepada kawasan pelbagai kaum yang hidup bersama di bawah pimpinan Haji Abdullah Hukum.
- Kini, Bangsar telah berkembang menjadi kawasan trendy dengan kafe, butik dan kediaman mewah yang menjadi kebanggaan Kuala Lumpur.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bangsar, sebuah kawasan yang terkenal sebagai antara lokasi paling trendy di Kuala Lumpur lengkap dengan kafe, butik dan lain-lain.
Tetapi, dari mana asalnya nama Bangsar itu sendiri?
Di sebalik imejnya yang mewah hari ini, kawasan yang bermula sebagai ladang getah menyimpan kisah cukup menarik.
Bangsar Bermula Sebagai Kawasan Ladang Getah

Menurut Kuala Lumpur City, sebelum kawasan ini terkenal sebagai sebuah hab gaya hidup yang trendy, Bangsar dikaitkan dengan ladang dan tanah pertanian.
Ladang getah merupakan sebahagian penting daripada landskap kawasan itu ketika Kuala Lumpur mula berkembang melepasi pusat bandar yang asal.
Dan beberapa tahun yang lalu, Bangsar hanyalah ladang getah dan kawasan perumahan biasa tanpa sebarang tarikan seperti dilaporkan oleh Harian Metro.
Keitka itu, kawasan tersebut juga sering dilanda banjir dan dipenuhi dengan tinggalan pokok getah.
Ringkasnya, ia bukanlah lokasi pilihan menarik untuk dijadikan tempat tinggal, apatah lagi kedudukannya yang pernah dianggap jauh dari Kuala Lumpur.
Nama Yang Berasal Dari Dua Usahawan Eropah
Terdapat beberapa teori menarik tentang asal usul nama kawasan ini.
Antara yang paling kerap disebut ialah kisah yang mengaitkannya dengan dua usahawan Eropah, iaitu Edouard Bunge dan Alfred Grisar.
Menurut Kuala Lumpur city, nama kedua-dua usahawan ini digabungkan menjadi Bunge-Grisar sebelum lama-kelamaan bertukar menjadi Bangsar.
Tetapi, teori ini masih belum dapat disahkan dengan sumber kukuh.
Tokoh Di Sebalik Pembukaan Bangsar, Haji Abdullah Hukum

Teori seterusnya pula bermula dengan seorang tokoh penting yang ramai tidak sedar.
Menurut Otai Cerita, sejarah Bangsar berkait rapat dengan individu yang membuka kawasan tersebut satu masa dahulu.
Individu itu bernama Haji Abdullah Hukum bin Abdul Rahim yang turut dikenali sebagai Muhammad Rukun atau Arya Jaya.
Beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dan Selangor pada tahun 1850.
Haji Abdullah Hukum merupakan juak (Pembawa alat kebesaran Raja) kepada Raja Mahmud bin Sultan Muhammad, seorang kerabat dan panglima perang Selangor yang hebat pada zaman tersebut.
Selain itu, beliau mendapat kebenaran untuk membuka daerah Pudu dan Bukit Bintang bagi menanam sayur, tebu, pisang, sireh dan sawah padi.
Malah, Beliau turut menjadi penghulu di Pudu dan Bangsar selama tujuh tahun.
Seterusnya, Haji Abdullah turut membuka kebun di Bukit Nanas dan Sungai Putih.
Di kawasan Sungai Putih itu, terdapat sebuah perkampungan bernama Kampung Abdullah Hukum, dan Kampung Kerinci yang mengambil nama daripada suku Kerinci.
Kemudian, beliau dilantik pula sebagai Penghulu Sungai Putih.
Pada waktu itu, kaum Cina dan India bersama orang Melayu telah membuka Sungai Putih di bawah pimpinan tradisional Penghulu Haji Abdullah.
Disebabkan beliau berjaya menyatukan penduduknya, kawasan itu digelar, Bangsa. Sebuah tempat pelbagai bangsa boleh hidup bersama.
Menurut Selagi Hayat Dikandung Badan, dari situlah nama Bangsar dipercayai bermula.
Dalam catatan Haji Abdullah turut menyebut kawasan Sungai Seputih dibuka olehnya telah berubah menjadi Bangsar Road.
Daripada Ladang Getah Kepada Kawasan Trendy

Wajah Bangsar mula berubah seiring perkembangan Kuala Lumpur sepanjang abad ke-20.
Tanah bekas ladang secara beransur-ansur dibangunkan menjadi kawasan kediaman.
Sejak itu, ia semakin dikaitkan dengan perumahan, sekolah, kemudahan komuniti dan golongan kelas pertengahan yang semakin bertambah.
Menjelang era 1970-an dan 1980-an, Bangsar sudah menjadi sebuah alamat kediaman yang diidamkan ramai.
Kedudukannya antara pusat bandar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menjadikannya pilihan ideal bagi mereka yang mahukan laluan mudah ke kedua-dua kawasan tersebut.
Sekali gus, kawasan kediaman ini mula membentuk perwatakan kejiranan yang unik.
Kemunculan Bangsar Baru Mengubah Wajah Kawasan Ini
Dalam masa sama, kemunculan Bangsar Baru telah mengubah suasana keseluruhan kawasan ini terutama di sekitar Jalan Telawi yang telah berkembang menjadi sebuah pusat komersial.
Restoran, kafe, butik, pusat hiburan, pusat membeli-belah telah membantu menjadikannya antara lokasi paling terkenal di Kuala Lumpur untuk melepak, menikmati makanan dan bersosial.
Maka tidak hairanlah persepsi masyarakat terhadap Bangsar kini jauh berbeza jika dibandingkan dengan waktu dahulu.
Malah, kita sering mendengar orang menggelarnya sebagai kawasan orang kaya.
Tambahan pula, kawasan ini sudah dipenuhi dengan pelbagai kediaman mewah seperti kondominium yang menghiasi landskapnya.
Baca Artikel Berkaitan: Sejarah Bunga Raya & Macam Mana Boleh Dipilih Jadi Bunga Kebangsaan Malaysia | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Tahukah Anda, Shah Alam Pernah Ada Litar Lumba Sebelum Sepang Wujud? | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.