Belanjawan 2027: Akta Warga Emas, Cukai Lebih Rendah Untuk Penjagaan & 400 Ambulans Baharu
Sebanyak RM770 Juta akan diperuntukkan untuk peralatan perubatan moden dan 400 ambulans baharu untuk hospital Kementerian Kesihatan.
- The government will introduce an Elderly Act and reduce care service tax from 8% to 6% starting January 2027.
- Over RM770 million is allocated for modern medical equipment, including 400 new ambulances for Health Ministry hospitals.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak dinafikan Malayasia menghampiri status negara menua.
Sedar akan perubahan itu, pihak kerajaan mengorak langkah lebih serius bagi memastikan golongan warga emas akan dilindungi.
Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini (9 Oktober), Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan menggubal sebuah Akta Warga Emas.
Akta itu digubal bagi menangani isu pengabaian sekali gus memperkukuh ekosistem penjagaan warga emas di negara ini.
Bagi ramai keluarga Malaysia yang mempunyai ibu bapa, datuk dan nenek yang semakin berusia, pengumuman ini sudah tentu memberi sedikit nafas lega.
Cukai Perkhidmatan Penjagaan Warga Emas Diturunkan Mulai 2027
Pihak kerajaan turut memberi penekanan khusus terhadap penjagaan warga emas menerusi beberapa inisiatif.
Antaranya, cukai perkhidmatan bagi penjagaan warga emas akan diturunkan daripada 8% kepada 6% mulai 1 Januari 2027.
Selain itu, beberapa inisiatif lain turut diumumkan seperti:
- Pengecualian Cukai Penuh: Bagi yuran penjagaan sehingga RM96,000 setahun
- Bantuan warga emas: Dinaikkan kepada RM1.3 bilion tahun depan, memberi manfaat kepada hampir 200,000 penerima.
- Lebih RM40 juta: Bakal disalurkan menerusi HRD Corp bagi melatih 8,000 tenaga kerja dalam bidang penjagaan warga emas.
- Dua Pusat National Integrated Care of the Elderly (NICE): Akan dibina di Pulau Pinang dan Sarawak untuk latihan, penyelidikan dan penjagaan.
Dalam masa sama, ahli KWSP yang mencapai usia 55 dan 60 tahun boleh memilih skim i-Emas untuk menerima pengeluaran secara bulanan.
Menerusi kaedah itu, baki simpanan mereka akan terus memperoleh dividen.
Lebih RM770 Juta Diperuntukkan Untuk Peralatan Perubatan Moden
Seterusnya, pihak kerajaan turut memperuntukkan lebih RM770 juta bagi peralatan perubatan yang lebih canggih dan moden.
Peruntukan itu antaranya meliputi kenaikan taraf kemudahan hemodialisis di hospital seluruh negara, dan 400 ambulans baharu untuk hospital Kementerian Kesihatan.
Menariknya, Hospital Pakar USM turut akan dilengkapi teknologi pembedahan robotik.
Menerusinya, rawatan dapat diperluas kepada pesakit di Pantai Timur dan utara Semenanjung.
18 institut latihan Kementerian Kesihatan akan menerima peralatan simulasi klinikal dan makmal sains asas.
Langkah itu bertujuan mempertingkat kemahiran lebih 20,000 pelatih, kakitangan perubatan dan paramedik.
Bantuan Golongan OKU Dinaikkan Kepada RM1.5 Bilion
Golongan Orang Kurang Upaya (OKU) turut tidak dilupakan dalam belanjawan kali ini.
Secara keseluruhan, bantuan untuk mereka dinaikkan kepada RM1.5 bilion, memberi manfaat kepada lebih 300,000 orang.
Antaranya, bantuan penjagaan bagi OKU terlantar dan pesakit kronik dinaikkan daripada RM500 kepada RM600 sebulan.
15 premis Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) akan dinaik taraf menjadi pusat terapi khusus.
Langkah itu dijangka memberi manfaat kepada 20,000 OKU Down syndrome yang berdaftar.
3,000 penjaga OKU baharu turut akan dilengkapi dengan kemahiran khusus.
Pelbagai Bantuan Rawatan Diperluaskan Untuk Rakyat
Pihak kerajaan turut memperluaskan pelbagai bantuan rawatan kepada rakyat bermula dengan Tabung Bantuan Perubatan dinaikkan daripada RM40 juta kepada RM60 juta.
Skim MySalam pula akan diteruskan pada 2027.
Menurut Anwar, skim itu setakat ini telah memberi manfaat kepada 1.6 juta orang, dengan tuntutan berjumlah RM1.3 bilion.
Seterusnya, program BuAi akan menawarkan rawatan kesuburan mampu milik kepada 2,000 pasangan, dan perkhidmatan kesihatan lelaki kepada 42,000 individu.
Selain itu, saringan talasemia percuma turut diperluas kepada suami dan anak kepada pembawa gen berkenaan.
Usaha itu bertujuan mengurangkan risiko kelahiran bayi dengan talasemia major.
PERKESO turut akan menyediakan baucar saringan kesihatan kepada pemandu kenderaan komersial.
Ia bagi mengesan risiko kesihatan yang boleh menjejaskan keupayaan mereka memandu.
Dalam masa sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus mempercepat pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik di fasiliti kesihatan seluruh negara.
Usaha itu disokong menerusi pelaburan berjumlah RM1 bilion.
Sistem tersebut akan mengamalkan prinsip “satu individu, satu rekod”.
Seterusnya, portal e-CKAPS pula akan membolehkan pelesenan fasiliti kesihatan swasta dilakukan sepenuhnya secara dalam talian mulai 2027.
Menerusinya, tempoh pemprosesan disasarkan berkurang sehingga 65%.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.