Now Reading
Belanjawan 2027: Gaji Minimum Naik RM2,000, Bantuan Rakyat Ditambah

Belanjawan 2027: Gaji Minimum Naik RM2,000, Bantuan Rakyat Ditambah

Belanjawan 2027 menyaksikan gaji minimum naik kepada RM2,000 mulai Jun, peruntukan STR-SARA meningkat kepada RM16 bilion dan pelepasan cukai individu diperluas.

In Brief
  • Gaji minimum akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan berkuat kuasa Jun 2027, memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
  • Peruntukan STR dan SARA ditingkatkan kepada RM16 bilion, dengan bantuan dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Gaji minimum negara akan dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, manakala peruntukan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) ditingkatkan kepada RM16 bilion menerusi Belanjawan MADANI 2027.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perkara itu ketika membentangkan belanjawan negara di Dewan Rakyat pada Jumaat (9 Oktober).

Belanjawan MADANI kelima yang bertemakan Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi memberi tumpuan kepada usaha menangani kos sara hidup, meningkatkan pendapatan pekerja, memperkukuh perlindungan sosial dan menyokong perkembangan perniagaan.

Gaji Minimum Naik Kepada RM2,000 Mulai Jun 2027

Kerajaan akan menaikkan kadar gaji minimum bulanan daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa Jun 2027.

Bagaimanapun, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan di bawah RM50 juta akan diberikan pengecualian bagi membolehkan mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.

Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja di seluruh negara.

Anwar turut mengumumkan cadangan untuk memperkenalkan gaji minimum RM2,500 sebulan bagi pekerja separa mahir dan graduan sebagai langkah awal meningkatkan pendapatan golongan berkelayakan tinggi.

Sementara itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah menaikkan penanda aras gaji kehidupan daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 230,000 pekerja.

Kerajaan turut menggalakkan majikan sektor swasta menawarkan gaji yang lebih kompetitif.

Peruntukan STR-SARA Naik Kepada RM16 Bilion

Peruntukan bagi STR dan SARA akan ditingkatkan kepada RM16 bilion pada 2027, berbanding RM15 bilion tahun ini.

Di bawah peruntukan baharu itu, semua penerima STR akan menerima bantuan SARA sehingga RM150 sebulan atau RM1,800 setahun. Inisiatif berkenaan dijangka memberi manfaat kepada sehingga sembilan juta penerima.

Rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima STR turut akan menerima dua bayaran SARA MADANI bernilai RM100 setiap satu. Bayaran pertama akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri, manakala bayaran kedua dijangka diberikan menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara yang ke-70.

Bantuan ini dijangka memanfaatkan sehingga 13 juta rakyat Malaysia, termasuk golongan berpendapatan sederhana atau M40.

Selain itu, penggunaan bantuan SARA akan diperluas bagi membolehkan penerima membeli hasil segar di 216 pasar tani dan pasar tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.

Peruntukan bagi Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan AGRO MADANI juga akan dinaikkan daripada RM630 juta kepada RM750 juta, dengan sasaran mengadakan 35,000 program jualan.

Usaha ini bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih berpatutan, khususnya isi rumah berpendapatan rendah dan penduduk di kawasan luar bandar.

Pelepasan Cukai Individu Dinaikkan Kepada RM12,000

Kerajaan turut memperkenalkan beberapa langkah percukaian bagi mengurangkan beban kewangan golongan berpendapatan sederhana.

Had pelepasan cukai individu yang tidak berubah sejak 2010 akan dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.

Kadar cukai pendapatan individu bagi pembayar cukai pemastautin juga akan dikurangkan sebanyak satu mata peratusan untuk dua julat pendapatan bercukai:

  • RM70,000 hingga RM100,000: Kadar cukai dikurangkan kepada 18%.
  • RM100,000 hingga RM150,000: Kadar cukai dikurangkan kepada 24%.

Pelepasan cukai turut diperluas merangkumi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, perbelanjaan penjagaan ibu bapa dan datuk nenek yang lebih luas, kasut sukan, yuran tuisyen anak serta kursus pendidikan dan kemahiran dalam semua bidang pengajian.

Pelepasan cukai gaya hidup juga akan diperluas kepada langganan kecerdasan buatan (AI), selain kos vaksinasi dan pengambilan haiwan peliharaan dari pusat berdaftar.

Dalam pada itu, kadar cukai bagi individu yang memperoleh pendapatan melebihi RM1 juta akan diselaraskan kepada 30%.

Kerajaan menganggarkan peningkatan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai ini dapat memberikan pendapatan boleh guna tambahan sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.

Lebih RM80 Bilion Untuk Subsidi Dan Bantuan

Kerajaan MADANI menjangkakan perbelanjaan melebihi RM80 bilion bagi subsidi, bantuan dan insentif pada 2027 bagi membantu rakyat menangani peningkatan kos sara hidup.

Daripada jumlah itu, subsidi bahan api dijangka melibatkan RM40 bilion, manakala hampir RM3.3 bilion akan diperuntukkan untuk bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk membantu isi rumah mengurus perbelanjaan harian, selain pelaksanaan bantuan tunai STR-SARA dan cadangan kenaikan gaji minimum.

Secara keseluruhan, Belanjawan MADANI 2027 memberi tumpuan kepada peningkatan pendapatan pekerja, peluasan bantuan kewangan dan pelepasan cukai bagi membantu rakyat menghadapi cabaran kos sara hidup.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd