Tahukah Anda, Shah Alam Pernah Ada Litar Lumba Sebelum Sepang Wujud?
Litar BTSC telah dibina oleh arkitek John Hugenholtz yang terkenal mencipta trek seperti Suzuka, Zolder dan Jarama.
- Litar Batu Tiga Speedway Circuit di Shah Alam merupakan litar perlumbaan pertama Malaysia, dibuka sekitar 1967 dan direka oleh John Hugenholtz.
- BTSC ditutup secara rasmi pada 2003 selepas 37 tahun beroperasi, digantikan oleh Sepang International Circuit yang lebih moden.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Apabila kita menyebut sebuah litar perlumbaan bertaraf antarabangsa di Malaysia, sudah tentu kita akan tuju kepada Sepang International Circuit (SIC).
Namun, sebelum kewujudan SIC pada tahun 1999, terdapat satu litar yang pernah menjadi nadi dunia sukan permotoran tanah air.
Litar tersebut ialah Batu Tiga Speedway Circuit (BTSC) yang terletak di Shah Alam, ibu negeri Selangor.
Litar Batu Tiga Dibuka Pada Penghujung 1960-an

Menurut Mota Auto, litar Batu Tiga juga dikenali sebagai Litar Shah Alam telah direka oleh seorang arkitek dari Belanda bernama John Hugeholtz.
Tujuan pembinaannya ialah untuk menjadi litar perlumbaan pertama di Malaysia dan siap dibuka sekitar tahun 1967.
Grand Prix Malaysia pertama di situ telah dimenangi oleh pelumba Indonesia, Hengkie Iriawan.
Sejak itu, BTSC telah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia sehingga tahun 1982.
Perlumbaan Grand Prix terakhir di Shah Alam telah berlangsung pada 1995 menampilkan siri Formula Holden.
Reka Bentuknya Diilhamkan Daripada Litar Silverstone England

Menariknya, BTSC mempunyai hubungan rapat dengan litar terkenal England, iaitu Silverstone.
Memetik semula Mota Auto, ketika dalam proses pembinaan di bandar baharu Shah Alam, susun atur Silverstone menjadi idea awal.
Malah, beberapa bahagian Silverstone telah diadaptasikan.
Tambahan pula, Silverstone jauh lebih tua kerana dibuka pada tahun 1948 dan merupakan bekas pangkalan udara yang digunakan ketika Perang Dunia Kedua.
Perbezaan antara Silverstone dan BTSC adalah seperti berikut:
- Silverstone terletak di kawasan tanah rata
- BTSC mempunyai permukaan berbukit-bukau
Selain itu, Lebuh Raya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Pelabuhan Klang terletak bersebelahan dengan tapak BTSC.
John Hugenholtz Memperkenalkan Elemen Keselamatan Tersendiri
Nama John Hugenholtz bukanlah asing dalam dunia reka bentuk litar perlumbaan.
Hugenholtz sering terlibat dalam pembinaan banyak trek perlumbaan sebelum munculnya Harmann Tilke yang bertanggungjawab mencipta litar Formula 1 (F1) hari ini seperti SIC.
Antara litar perlumbaan popular dicipta oleh Hugenholtz adalah seperti berikut:
- Suzuka, Jepun
- Zolder, Belgium
- Jarama, Sepanyol
Bukan itu sahaja, Hugenholtz juga telah memperkenalkan sistem lapisan pagar di beberapa kawasan tertentu dalam litar.
Fungsi pagar tersebut untuk menangkap dan memperlahankan kereta yang terbabas.
Pendekatan itu dilihat lebih selamat berbanding penggunaan penghadang keras yang boleh membahayakan pemandu ketika pelanggaran.
Litar Ini Mempunyai Spesifikasi Yang Lengkap Pada Zamannya

BTSC turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang canggih pada waktu itu.
Berikut ialah antara spesifikasi litar tersebut:
- Keluasan: 143 ekar (0.58 km persegi)
- Kapasiti Penonton: 8,000 (berbumbung) dan 18,000 (tanpa bumbung)
- Panjang Litar: 3.380 km (1968-1984), kemudian 3.693 km (1985-2003)
Rekod pusingan terpantas rasmi dicatatkan oleh Jochen Mass pada 1985, dengan masa 1:24:520 menggunakan Porsche 926C dalam kategori Group C.
BTSC Pernah Menjadi Tuan Rumah World Sportscar Championship
Walaupun litar ini pernah menganjurkan pelbagai acara kereta single-seater, ia tidak pernah menjadi tuan rumah kepada acara F1.
Namun begitu, pada tahun 1985, BTSC menjadi tuan rumah kepada World Sportscar Championship yang kini dikenali sebagai World Endurance Championship.
Perlumbaan itu dinamakan Selangor 800 km dan dimenangi oleh Jacky Ickx dan Jochen Mass dalam Rothmans Porsche 956.
Susun Atur Litar BTSC Telah Diubah Suai Pada Tahun 1985
Pada peringkat awal, litar ini mempunyai satu bahagian lurus panjang di bahagian utara yang dikenali sebagai Shell Straight.
Namun pada tahun 1985, susunannya diubah sedikit.
Shell Straight telah dipendekkan dan ditambah satu gelung baharu di bahagian tengah.
Perubahan tersebut menambah beberapa selekoh baharu dan memanjangkan jarak satu pusingan daripada 3.38 km kepada 3.69 km.
Litar Bersejarah Itu Ditutup Selepas 37 Tahun

Malangnya, setiap permulaan pasti ada penghujungnya.
Selepas menjadi tumpuan pelbagai acara perlumbaan, litar BTSC akhirnya ditutup secara rasmi pada tahun 2003.
Antara sebab utamanya ialah kehadiran SIC yang lebih moden dan bertaraf F1.
Kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk membina kediaman mewah di atas tapak berkenaan.
Selain itu, pernah timbul satu idea untuk membina sebuah kompleks sukan besar di kawasan itu sambil mengekalkan litar tersebut.
Hari ini, tiada lagi kesan peninggalan litar BTSC dapat dilihat seperti gerai penonton, paddock.
Bagi mereka yang pernah ke sana untuk menyaksikan perlumbaan, memori litar BTSC masih segar dalam ingatan.
Baca Artikel Berkaitan: F1 Sepang 2026: Cuaca Panas Boleh Cecah 50°C Bakal Menguji Kesabaran Pemandu | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Ketahui Sejarah Litar Antarabangsa Sepang, Litar F1 Paling Ikonik & Kebanggaan Malaysia | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.