Ini Kisah Bagaimana Jaket Varsity Jadi Trend Fesyen Digemari Ramai
Harvard University telah mencipta jaket varsity untuk dihadiahkan kepada pemain terbaik dalam pasukan besbol.
- Jaket varsity bermula di Harvard University pada 1860-an, diberikan kepada atlet terbaik sebagai lambang kebanggaan dan pencapaian sukan.
- Pengaruh budaya pop, hip-hop, dan streetwear telah mengubah jaket varsity daripada pakaian atlet kepada fesyen harian popular.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi peminat fesyen tempatan, pasti ada satu jaket yang masih kekal relevan dan tidak lapuk ditelan zaman.
Tak lain tak bukan jaket varsity yang juga dikenali sebagai letterman.
Jaket yang telah dihasilkan sejak tahun 1860-an menjadikannya antara pakaian tertua tanpa asal usul ketenteraan masih popular dipakai sehingga hari ini.
Mempunyai Bentuk & Gaya Klasik Yang Masih Menarik

Menurut Analog Shift, reka bentuk jaket varsity selalunya diperbuat daripada kain bulu melton di bahagian badan dan kulit di lengannya.
Ia turut dikemaskan dengan ribbed cuff di pergelangan tangan dan pinggang.
Selain itu, ciri yang membuatkan jaket varsity menonjol ialah huruf chenille yang besar biasanya merujuk kepada sesebuah institut pendidikan. Contohnya, huruf H untuk Harvard University.
Manakala pada bahagian dada sebelah kanan akan menampilkan nama pemiliknya.
Tambahan pula, warna pada jaket ini menunjukkan individu tersebut daripada sekolah menengah atau universiti tertentu.
Secara kebiasaannya hanya atlet pasukan utama (varsity) yang layak memakainya, dan dari situlah namanya terhasil.
Semuanya Bermula Di Harvard University

Kisah jaket varsity bermula di Harvard University pada pertengahan tahun 1860-an, Harvard mula memberikan sweater ditenun dengan huruf H besar kepada ahli pasukan besbol.
Namun, tidak semua pemain boleh menyimpannya.
Hanya pemain terbaik (Most Valuable Player) dan mereka yang bermain dalam perlawanan penting seperti menentang Yale dan Princeton dibenarkan menyimpannya pada akhir musim.
Selebihnya terpaksa memulangkan sweater itu semula kepada pihak universiti.
Kemudian, pasukan american football Harvard turut mengikut jejak yang sama sepuluh tahun kemudian.
Reka Bentuk Berubah Menjadi Jaket Pada 1930-an
Reka bentuk jaket ini turut berubah mengikut peredaran masa.
Menjelang tahun 1930-an, sweater dan kardigan itu mula bertukar kepada jaket berbutang dengan lengan kulit dan huruf chenille di bahagian dada.
Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua pada 1950-an, ia menjadi salah satu simbol budaya identiti Amerika Syarikat.
Walaupun setiap pengeluar akan mengubah beberapa butiran kecil, rekaannya secara umum tetap sama.
Jaket Varsity akan dipotong pendek tidak melebihi bahagian pinggul, lengkap dengan kolar berjalur, ribbed cuff di pergelangan tangan dan pinggang memaparkan warna sekolah.
Bahagian depan pula akan menggunakan snap-button untuk memudahkan pemakaian harian.
Jaket Varsity Menjadi Lambang Kebanggaan Atlet Sekolah

Istilah letterman itu sendiri berasal daripada huruf chenille, iaitu inisial sekolah yang dijahit pada jaket tersebut.
Secara tradisinya, ia hanya dianugerahkan kepada atlet yang bersaing di peringkat varsity dalam sukan sekolah menengah atau kolej.
Ia juga diberikan kepada mereka yang menyertai sejumlah perlawanan tertentu ataupun mencapai pencapaian khusus.
Sebagai contoh, beraksi dalam separuh atau dua pertiga daripada keseluruhan perlawanan ataupun menyertai perlawanan akhir kejohanan.
Menariknya, kemasukan ke pasukan varsity kebiasaannya berlaku pada tahun ketiga atau keempat di sekolah menengah.
Disebabkan itu, jaket ini jarang dipakai oleh pelajar pada awal tahun persekolahan.
Michael Jackson Menghidupkan Semula Populariti Jaket Ini

Menjelang tahun 1980, populariti jaket varsity mula tenggelam sedikit.
Namun ia kembali berubah selepas muzik video Thriller dari Micheal Jackson mengangkat jaket varsity kepada penonton umum.
Jaket berwarna merah dan emas dengan huruf chenille M pada dada kiri yang dipakai oleh Jackson dalam scene era 1950-an telah mengingatkan semula masyarakat tentang gaya remaja pada zaman tersebut.
Kemudian filem seperti The Breakfast Club dan Teen Wolf turut menampilkan watak yang memakai jaket varsity.
Rancangan nostalgia Happy Days turut melakukan perkara sama ketika tempoh penyiaran dari tahun 1974 hingga 1984.
Budaya Hip-Hop Dan Streetwear Menjadikan Jaket Varsity Trendy

Kebangkitan genre muzik hip hop dan trend fesyen streetwear turut mempengaruhi populariti jaket varsity.
Shawn Stussy mula menghasilkan jaket varsity untuk kenalan rapatnya, sekali gus mempopularkannya dalam kalangan peminat fesyen streetwear.
Tak lama kemudian, jenama Avire turut menghasilkan versi mereka tersendiri di butik New York seperti Jimmy Jazz dan Dr. Jays, lengkap dengan lambang pasukan varsity rekaan sendiri.
Malah, dunia muzik turut memainkan peranan besar.
Sebagai contoh, kumpulan Salt-N-Pepa memakai jaket rekaan Dapper Dan dalam video Push It pada 1987.
Fat Joe turut memakainya dalam video LL Cool J, I Shot Ya (Remix) pada 1995, menyebabkan semua kedai di New York kehabisan stok jaket varsity.
Ini membuatkan jaket varsity tidak lagi dimiliki oleh atlet kolej dan sekolah menengah secara eksklusif semata-mata.
Sebaliknya, ia bertukar menjadi simbol budaya generasi muda Amerika yang digemari oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk orang tempatan kita.
Trend Fesyen Yang Tidak Lapuk Ditelan Zaman
Tidak dinafikan, sejarah jaket varsity cukup menarik untuk dipelajari kerana idea asalnya hanyalah sehelai pakaian untuk seorang atlet.
Disebabkan pengaruh budaya pop, muzik, streetwear telah menjadikan pakaian sukan kepada pakaian harian.
Mungkin sebab itu, jaket varsity masih popular sehingga hari ini dan kekal menjadi pilihan ramai untuk meniru gaya universiti Amerika Syarikat.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Kisah Tracksuit Jadi Trend Fesyen Dipakai Oleh Bruce Lee, Bob Marley | TRP
Baca Artikel Berkaitan: Hoodie: Ini Kisah Sebalik Pakaian Kegemaran Ramai Rakyat Malaysia | TRP
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.