Now Reading
Siapa Hijjas Kasturi? Tokoh Sebalik Mercu Tanda Di Malaysia

Siapa Hijjas Kasturi? Tokoh Sebalik Mercu Tanda Di Malaysia

Beliau turut membina mercu tanda seperti Menara Maybank, Menara Telekom, Shahzan Tower dan lain-lain.

In Brief
  • Hijjas Kasturi, bapa seni bina moden Malaysia, mencipta bangunan ikonik yang mencerminkan identiti budaya dan Islam negara.
  • Karya terkenalnya termasuk Menara Tabung Haji, Menara MBPJ, dan PICC, setiap satunya menggabungkan elemen tradisional Melayu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pemandangan ibu kota Kuala Lumpur dipenuhi dengan pelbagai bangunan dan pencakar langit yang mempunyai identiti, cita rasa serta seni bina tersendiri menghasilkan rupa unik.

Namun, ramai tidak sedar bahawa di sebalik beberapa bangunan menghiasi ibu kota, terdapat satu nama yang sama.

Nama tersebut ialah Hijjas Kasturi, seorang tokoh yang digelar sebagai bapa seni bina moden Malaysia.

Sehingga kini, karyanya bukan sahaja menghiasi landskap negara, malah menjadi inspirasi kepada ramai generasi muda.

Bermula Di Singapura Pada Tahun 1936

Hijjas ketika muda. (Foto: HIJJAS)

Hijjas Kasturi dilahirkan di Singapura pada 26 September 1936. Ibunya berketurunan Cina telah berkahwin dengan seorang lelaki berketurunan Jawa-Singapura.

Beliau mendapat pendidikan di Raffles Institution, sebelum menerima biasiswa dari Kerajaan Australia untuk menyambung pelajaran.

Menariknya, Hijjas telah mula belajar di University of Adelaide, sebelum menjadi graduan daripada University of Melbourne.

Pada tahun 1967, Hijjas berpindah ke Malaysia dan mengasaskan program ijazah profesional pertama di negara ini, iaitu School of Art and Architecture di Institut Teknologi MARA (ITM).

Bermula Sebagai Seorang Pelukis Pelan

Hijjas bersama isterinya, Angela. (Foto: Options)

Perjalanan kerjaya Hijjas bermula seawal tahun 1956 sebagai seorang Draughtsman bersama Singapore Housing Trust.

Dia bertanggungjawab untuk menyediakan master plan bagi kawasan Queenstown dan rumah apartment kos rendah.

Kemudian, kerjayanya berkembang merentasi dua buah negara menerusi beberapa jawatan penting seperti:

  • 1959: Menyertai South Australian Housing Trust, menyediakan master plan Elizabeth Town dan skim perumahan.
  • 1961: Menjadi Pembantu Seni Bina dengan Brown & Davis yang terlibat dalam perancangan hospital, bangunan komersial dan perumahan.
  • 1965: Menjadi arkitek dengan Hume Proprietary Ltd, Melbourne bertanggungjawab merancang pembinaan kilang, gudang dan pejabat.
  • 1966: Kembali semula ke Singapura sebagai Arkitek / Perancang dengan Housing and Development Board (HDB).

Hijjas turut mengetuai pasukan kajian penubuhan ITM dan menjadi Ketua Pengasas School of Art and Architecture.

Pada tahun 1969, Hijjas menjadi rakan kongsi pengasas Arkitek Bersekutu, sebelum akhirnya menubuhkan firma sendiri, iaitu Hijjas Kasturi Associates Sdn (HKAS).

Proses Mencari Identiti Seni Bina Melambangkan Malaysia

Hijjas turut menghasilkan pelbagai karya seni. (Foto: Rimbun Daun)

Bagi Hijjas, seni bina bukan sekadar membina bangunan, tetapi membentuk identiti sebuah bangsa.

“Saya mahu menyumbang kepada kebaikan budaya dan rakyat dengan mencipta landskap visual yang mencerminkan identiti Malaysia.”

Pencarian identiti itu merupakan satu tindak balas selepas tamatnya zaman penjajahan di Tanah Melayu.

Ketika negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kita masih belum mempunyai gaya seni bina nasional yang jelas.

Apa yang ada pada waktu itu ialah seni bina rumah kampung tradisional dan telah menjadi inspirasi pertama Hijjas.

Contohnya, rumah kampung Melayu terkenal dengan bumbung tinggi, dibina atas tiang dan mempunyai ruang seperti anjung untuk menyambut kehadiran tetamu.

Elemen-elemen tradisional dan agama Islam tidak diterapkan secara bulat-bulat. Sebaliknya diolah menjadi sentuhan halus dan mempunyai maksud tersirat dalam setiap reka bentuknya.

Menara Tabung Haji Menjadi Antara Karya Paling Ikonik

Menara Tabung Haji. (Foto: Malay Mail)

Antara karya Hijjas yang paling dikenali ialah Menara Tabung Haji, siap sepenuhnya pada tahun 1984.

Menara pejabat setinggi 37 tingkat mempunyai siluet dramatik, dengan bahagian sisi melengkung dan tirus menyerupai bentuk jam pasir.

Pelan lantainya mempunyai bentuk bulat direka dengan lima tiang di bahagian sisi melambangkan Rukun Islam.

Di samping itu, bangunan ini turut direka bagi menampung kemasukan jemaah haji setiap tahun, lengkap dengan ruang masuk kenderaan yang luas.

Ia juga dibina sebelum kemunculan aplikasi perisian komputer (CAD) yang canggih menggabungkan lukisan tangan bagi setiap tingkat dengan teknik pembinaan pada zaman tersebut.

Menara MBPJ Berdiri Megah Dalam Persekitarannya

Menara MBPJ. (Foto: Property Guru)

Satu lagi karya Hijjas yang menarik ialah Menara Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Berbeza dengan bangunan lain, menara 27 tingkat ini mengutamakan sebuah dataran bandar yang luas dan kawasan membeli-belah di bahagian bawahnya.

Dataran tersebut telah berhubung dengan kawasan pejalan kaki memudahkan orang untuk masuk ke dalam.

Selain itu, bahagian menara turut berhubung dengan kawasan jalan sekeliling menerusi jambatan berbumbung.

Reka bentuk bangunan ini cuba menyesuaikan diri dengan kawasan kedai-kedai di persekitarannya.

Disebabkan itu, bangunan ini dihias bagi mengurangkan ketinggiannya dan melembutkan penampilannya secara semula jadi.

Pusat Konvensyen Yang Menjadikan Kerongsang Sebagai Inspirasi

utrajaya International Convention Centre (PICC). (Foto: Ask Venue)

Sering disebut sebagai antara karya Hijjas paling hebat ialah Putrajaya International Convention Centre (PICC) yang dibina atas sebuah bukit di Putrajaya.

Siap pada tahun 2003, bentuk bumbung yang menyerupai pending perak, iaitu kepala tali pinggang tradisional digunakan oleh golongan diraja Melayu.

Malah, reka bentuk bangunan ini juga mesra alam dengan menggabungkan penggunaan cahaya siang secara semula jadi.

Selain itu, ia turut menampilkan laluan lapan, bumbung tergantung untuk menyejukkan ruang di bawahnya.

Hasilnya ialah sebuah permata seni bina yang sangat cantik di atas sebuah bukit hijau.

Dedikasi terhadap seni bina dan peka kepada budaya tempatan bukan sahaja telah mengubah pemandangan ibu kota negara, malah mengajar kita untuk menghargai setiap satu bangunan yang telah wujud.

Baca Artikel Berkaitan: Ini Kecantikan Seni Bina Brutalisme Di Hospital Kuala Lumpur Yang Mungkin Ramai Tak Sedar

Baca Artikel Berkaitan: Ini Kisah Prof Azali Rahim, Pereka Kereta Nasional Pertama Negara


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd