Mokhtar Dahari: Legenda Bola Sepak Malaysia Pernah Jadi Penjaring Gol Terbanyak Dunia
Mokhtar Dahari juga pernah ditawarkan kontrak untuk bermain di Real Madrid pada 1972.
- Super Mokh pernah menjadi penjaring gol terbanyak dunia bagi pasukan kebangsaan lelaki, mengatasi legenda Hungary, Ferenc Puskas.
- Mokhtar Dahari memulakan kerjayanya sebagai kerani bank sambil bermain bola sepak secara separuh masa sebelum menjadi legenda negara.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam sejarah sukan negara, tidak ramai individu yang mampu menyatukan orang Malaysia seperti arwah Mokhtar Dahari.
Terkenal dengan nama gelarannya, Super Mokh. Kita telah dikejutkan dengan berita pemergian legenda bola sepak itu 35 tahun lalu pada 11 Julai 1991.
Walaupun sudah tiga dekad berlalu, legasi Super Mokh masih kekal segar dalam ingatan rakyat sehingga hari ini.
Mokhtar Dahari Menjadi Mimpi Ngeri Untuk Pasukan Lawan

Pada zaman kegemilangannya, Super Mokh dikenali sebagai pemain yang mahir mengawal bola dan bijak mengatur corak permainan.
Malah, kepantasannya sering menjadi mimpi ngeri bagi pihak lawan seperti Jepun, Korea Selatan, Kuwait, Indonesia dan England B.
Ini kerana Super Mokh memiliki sepakan kuat yang mampu dilepaskan menggunakan kedua-dua belah kaki.
Beliau Membesar Dalam Keluarga Yang Sederhana Di Setapak
Untuk info, Mokhtar Dahari dilahirkan pada 13 November 1953 di Setapak, Selangor.
Beliau merupakan anak lelaki sulung kepada pasangan Aminah Sharikan dan Dahari Abeng.
Bapanya bekerja sebagai pemandu lori, namun pendapatannya hanya cukup untuk menyara keluarga.
Ketika berusia 11 tahun, keluarganya berpindah pula ke Kampung Pandan, Kuala Lumpur.
Menurut Goal, kemasukannya ke sekolah Victoria Institution mendekatkannya dengan dunia bola sepak pada peringkat lebih tinggi.
Pada usia 18 tahun, minatnya terhadap bola sepak semakin membara dan mula bermain untuk pasukan belia Selangor dalam Burnley Youth Cup di Sarawak.
Kerani Bank Pada Siang Hari, Pemain Bola Pada Waktu Malam

Bakat Super Mokh menyerlah sehingga mencuri perhatian ramai kelab professional tempatan dan tidak lama kemudian beliau terpilih menyertai pasukan senior Selangor.
Namun, perbezaan dengan pemain bola sepak professional hari ini yang diberikan bonus dan gaji bulanan, Super Mokh bersama rakannya hanyalah pemain part-time berdasarkan laporan dari Goal.
Sebelum hadir ke latihan setiap petang, beliau hanyalah seorang kerani bank.
Sama seperti kita, belia perlu mendengar arah dari majikan dan melayan pelanggan di pejabat.
Pada waktu itu, pemain hanya menerima elaun latihan, perlawanan dan bonus kemenangan yang kecil.
Beliau juga menjalani hidup dengan sederhana, berulang alik dari pejabat ke padang latihan dengan menaiki sebuah motosikal.
Gelaran Super Mokh Mula Dikenali Sekitar Tahun 1974
Pada 1972, Mokhtar menjaringkan sembilan (9) gol dalam Piala Malaysia untuk pasukan negerinya dan 10 gol untuk pasukan kebangsaan.
Pencapaian itu cukup luar biasa bagi seorang pemain yang masih muda ketika itu.
Dua tahun kemudian, peminat mula menggelarkannya Super Mokh kerana telah menjaringkan 24 gol untuk negara dan 19 gol sebagai pemain Selangor dalam Piala Malaysia.
Pencapaian luar biasa itu terhasil daripada kekuatan fizikal, betis dan peha yang membolehkan Super Mokh menjaringkan gol dengan mudah.
Tambahan pula, Super Mokh turut memiliki sentuhan yang halus dan terkenal dengan lariannya sebelum diakhiri dengan sepakan kuat.
Faktor-faktor ini menjadikan Super Mokh pemain pertama yang berjaya menawan hati semua penyokong bola sepak di seluruh negara.
Jaringan Menentang Arsenal Pada 1975 Menjadi Antara Pencapaian Ikonik

Meneruskan kariernya sebagai pemain bola professional, Super Mokh turut tampil dalam beberapa perlawanan yang mendebarkan.
Antaranya pada tahun 1974, apabila membantu skuad Harimau Malaya meraih pingat perak di Sukan Asia di Tehran, Iran.
Setahun kemudian, beliau menjaringkan 2 gol bagi membantu Malaysia menewaskan kelab Inggeris, Arsenal, dengan keputusan 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan.
Pada 1978, skuad Harimau Malaya telah menentang pasukan England B yang berakhir keputusan seri.
Kedua-dua perlawanan itu menyebabkan namanya dikaitkan dengan beberapa kelab Inggeris, walaupun akhirnya ia hanyalah sekadar khabar angin.
Super Mokh turut membantu Malaysia meraih pingat emas dua kali berturut-turut di Sukan SEA pada 1977 dan 1979.
Kesetiaan Kepada Kelab Pasukannya, Selangor
Untuk menjadi seorang legenda dalam apa jua bidang, seorang individu perlu meninggalkan sebuah legasi yang akan dikenang sampai bila-bila.
Tidak dinafikan bakat Super Mokh sudah menjadikan beliau seorang pemain bola sepak terhebat negara. Tetapi, kesetiaannya kepada kelab pasukannya juga mengangkat namanya sebagai seorang legenda.
Beliau telah membantu kelab Selangor menang 10 Piala Malaysia.
Perlawanan terakhirnya dengan kelab pasukannya adalah ketika Selangor menewaskan Johor 6-1 dalam perlawanan akhir 1986.
Kemudian, beliau bersara daripada pemain bola sepak dan mengambil tugas sebagai seorang jurulatih.
Namun, dugaan mula menimpa apabila beliau rebah di padang, sebelum disahkan menghidap penyakit saraf motor (motor neuron disease).
Ia merupakan penyakit yang menjejaskan keupayaan seseorang mengawal otot badan, dan berkembang lebih cepat dalam kalangan mereka yang aktif bersukan.
Rekod Mokhtar Pernah Mengatasi Legenda Dunia, Ferenc Puskas
Di sebalik segala kisahnya, rekod yang ditinggalkan oleh Super Mokh menjadikannya seorang legenda dalam sukan bola sepak negara.
Menurut Goal, antara pencapaiannya termasuk:
- Penampilan untuk Selangor FC: 375
- Gol dijaringkan untuk Selangor FC: 177
- Piala Malaysia dimenangi: 10
- Penampilan untuk skuad Malaysia: 167
- Gol dijaringkan untuk skuad Malaysia: 125
Lebih membanggakan, Super Mokh telah menjaringkan sebanyak 89 gol dalam 142 penampilan menentang pasukan kebangsaan A negara lain berdasarkan laporan dari Berita Harian.
Pencapaian hebat itu pernah menjadikannya penjaring gol terbanyak dunia bagi pasukan kebangsaan lelaki, mengatasi legenda Hungary, Ferenc Puskas.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.