UM Cipta Sejarah, Universiti Malaysia Pertama Capai ‘Top 200’ Di Peringkat Global
Menerusi penilaian oleh THE World University Rankings, dua pencapaian terkuat Universiti Malaya bagi tahun 2027 ialah perspektif antarabangsa dan kualiti penyelidikan.
- Universiti Malaya (UM) mencipta sejarah sebagai universiti Malaysia pertama mencapai kedudukan 'Top 200' di peringkat global.
- Dua pencapaian terkuat UM ialah perspektif antarabangsa dan kualiti penyelidikan, mencerminkan pengaruh global yang semakin meningkat.
- Sebanyak 29 universiti Malaysia tersenarai dalam THE World University Rankings 2027, bertambah dua institusi berbanding tahun lepas.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Universiti Malaya (UM) kini mencipta sejarah apabila memasuki senarai universiti ‘Top 200’ di peringkat global.
Sebelum ini berada pada kumpulan ranking 201-250, UM melonjak ke tangga ke-194 dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027.
Ini sekali gus menjadikan UM universiti pertama dari Malaysia yang mencapai tahap ‘Top 200’.
Perspektif Antarabangsa & Kualiti Penyelidikan Jadi Tonggak Utama UM
UM dalam satu kenyataan berkata dua pencapaian terkuat UM dalam World University Ranking 2027 ialah perspektif antarabangsa dan kualiti penyelidikan.
Kedua-dua ini mencerminkan jaringan akademik global meluas, komuniti antarabangsa dan pengaruh penyelidikan yang semakin meningkat oleh universiti tersebut.
“Pencapaian UM dalam perspektif antarabangsa mencerminkan persekitaran akademik global yang semakin berkembang dan kolaborasi antarabangsa yang meluas, sementara universiti terus menarik kehadiran pelajar, penyelidik dan sarjana dari seluruh dunia.
“Pencapaian dalam kualiti penyelidikan pula menggariskan capaian dan pengaruh penyelidikan yang dihasilkan oleh sarjana UM, termasuk dapatan kajian yang kuat oleh universiti,” jelas pihak UM.
Bersama pencapaian lain dalam pembelajaran, persekitaran penyelidikan dan industri, UM menunjukkan peningkatan sebagai sebuah universiti penyelidikan dengan kehadiran di peringkat global.
29 Universiti Malaysia Masuk Ranking Dunia 2027
Dalam satu kenyataan, THE berkata institusi pengajian tinggi di Malaysia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam prestasi membabitkan kakitangan dan pelajar antarabangsa, institusi, penyelidikan dan pendapatan industri.
Sebanyak 29 universiti Malaysia menjadi sebahagian daripada World University Rankings 2027, penambahan sebanyak dua institusi berbanding tahun lepas.
Berikut merupakan posisi universiti-universiti Malaysia dalam ranking dunia tersebut bagi tahun ini:
- Universiti Malaya (UM): 194
- Universiti Teknologi Petronas (UTP): 242
- Sunway University: 283
- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM): 301-325
- Universiti Sains Malaysia (USM): 326-350
- Universiti Teknologi Malaysia (UTM): 401-450
- Universiti Putra Malaysia (UPM): 451-500
- Universiti Utara Malaysia (UUM): 451-500
- Management and Science University (MSU): 501-550
- Universiti Tenaga Nasional (UNITEN): 551-600
- Universiti Malaysia Pahang al-Sultan Abdullah (UMPSA): 601-650
- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI): 601-650
- Mahsa University: 801-1000
- Multimedia University: 801-1000
- Universiti Malaysia Terengganu (UMT): 801-1000
- Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA): 801-1000
- Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR): 801-1000
- Asia Pacific University of Technology & Innovation: 1001-1200
- Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS): 1001-1200
- Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA): 1201-1400
- Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM): 1201-1400
- Universiti Teknikal Malaysia Melaka: 1401-1600
- Universiti Teknologi MARA (UiTM): 1401-1600
- Lincoln University College: 1601-1800
- Universiti Malaysia Kelantan (UMK): 1601-1800
- Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP): 1601-1800
- Universiti Malaysia Sabah (UMS): 1601-1800
- Universiti Sains Islam Malaysia (USIM): 1801-2000
- Universiti Kuala Lumpur (UniKL): 1801-2000
Universiti Asia Menempa Nama Di Peringkat Global
Ketua pegawai hal-ehwal global THE, Phil Baty, berkata ranking terbaharu ini mencerminkan perubahan yang ketara dalam pendidikan tinggi antarabangsa, dengan beberapa universiti di Asia menunjukkan peningkatan ketara.
“THE telah memerhatikan perubahan ini buat beberapa tahun. Tetapi kini jelas bahawa industri pendidikan tinggi global sedang berubah secara kekal.
“World University Rankings terbaharu mencadangkan kita sedang menyaksikan penyelarasan semula kuasa akademik dari Barat ke Timur,” ujarnya dipetik The Star.
Tambah Baty, ranking pada tahun ini menunjukkan pelbagai pencapaian oleh universiti di Asia, antaranya:
- Singapura mencapai ranking tertinggi apabila National University of Singapore (NUS) melonjak ke tangga ke-15
- Tiga universiti Asia mencapai ‘Top 15’ buat pertama kali
- Kali pertama universiti Asia mendahului mana-mana universiti Eropah
- Universiti Malaysia pertama yang mencapai ‘Top 200’
- Raking tertinggi dicapai oleh University of Indonesia
‘Top 10’ World University Rankings Dipegang UK & AS
THE World University Rankings yang diasaskan di United Kingdom merupakan antara penilaian kecemerlangan institusi yang paling berprestij di seluruh dunia.
Dengan penilaian yang ketat, ranking ini menempatkan universiti seluruh dunia mengikut posisi berdasarkan kepada lima tonggak utama, iaitu Teaching, Research Environment, Research Quality, Industry dan International Outlook.
Bagi tahun 2027, sebanyak 2,297 dari 118 negara dan wilayah telah dinilai, dengan University of Oxford (UK) kekal sebagai universiti pertama di dunia buat tahun ke-11.
Ini diikuti dengan Massachusetts Institute of Technology (AS) di tangga kedua, serta Princeton University (AS) dan Stanford University (AS) yang berkongsi tempat ketiga.
Universiti lain yang diletakkan di ‘Top 10’ dalam senarai tersebut ialah:
- University of Cambridge (UK)
- Harvard University (AS)
- California Institute of Technology (AS)
- Imperial College London (UK)
- University of California, Berkeley (AS)
- Yale University (AS)
Tempat ke-11 dipegang oleh Tsinghua University, China, sekali gus menjadi universiti Asia pertama di peringkat global.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.