Ubat Kini Boleh Dihantar Secara Terus Ke Rumah Pesakit Secara Percuma, Ini Cara Mohon
Menerusi program Ubat Melalui Pos (UMP), pesakit boleh mendapatkan preskripsi berulang jangka panjang tanpa perlu bersesak di institusi kesihatan awam.
- Kerajaan menanggung sepenuhnya kos penghantaran ubat melalui program UMP bermula 1 Oktober 2026, memberi manfaat kepada lebih 87,000 pesakit.
- Pesakit boleh mohon perkhidmatan UMP melalui aplikasi MyUBAT atau secara fizikal di kaunter farmasi KKM.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi pesakit yang menghidap penyakit jangka panjang, mereka kebiasaannya perlu mengambil ubat secara berkala dan mendapatkan stok dari institusi kesihatan setiap bulan atau beberapa bulan sekali.
Perkara ini boleh memakan masa dan wang ringgit yang banyak, apatah apabila mereka terpaksa berulang-alik ke institusi kesihatan dan menunggu bersama ratusan pesakit lain.
Kini mereka tidak perlu bersesak lagi, apabila pesakit boleh menerima ubat yang dihantar terus ke kediaman mereka.
Kerajaan Lancar Subsidi 100% Program Ubat Melalui Pos
Menerusi perkhidmatan penghantaran oleh PosLaju, Ubat Melalui Pos (UMP), pesakit boleh mendapatkan preskripsi berulang jangka panjang tanpa perlu beratur di klinik kesihatan atau hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ini termasuklah ubat-ubatan harian bagi penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes atau penyakit jantung.
Program UMP telah bermula sejak tahun 2011, dengan bayaran penghantaran antara RM5.30 hingga RM12.50 dikenakan mengikut daerah.
Namun bermula 1 Oktober 2026, kerajaan akan menanggung sepenuhnya subsidi yang bakal memberi manfaat kepada lebih 87,000 pesakit setiap bulan untuk menggunakan perkhidmatan penghantaran ubat ini secara percuma.
Subsidi ini menerima peruntukan sebanyak RM5 juta disalurkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Siapa Yang Layak Untuk Subsidi UMP?
Program ini bagaimanapun hanya terbuka untuk pesakit yang memenuhi syarat-syarat tertentu dan bagi warganegara Malaysia sahaja.
Pesakit juga perlu mempunyai perskripsi aktif jangka panjang dari fasiliti rasmi KKM, termasuk hospital kerajaan dan Klinik Kesihatan.
Dalam masa sama, pesakit juga perlu dalam keadaan stabil untuk menggunakan perkhidmatan ini.
Ini bermakna doktor atau ahli farmasi KKM telah mengesahkan pesakit tersebut dalam keadaan stabil dengan pelan rawatan yang berterusan.
Pun begitu, hanya ubat-ubatan tertentu yang boleh dihantar menerusi program UMP. Ini termasuk ubat-ubatan oral solid seperti tablet dan kapsul kering.
Sebaliknya, ubat-ubatan yang perlu dibawa dalam keadaan sejuk atau cecair khas masih perlu diambil di kaunter fasiliti sendiri.
Ini Cara Mohon Program UMP Menerusi MyUBAT
Permohonan bagi mendapatkan perkhidmatan UMP boleh dibuat menerusi aplikasi MyUBAT.
Berikut merupakan cara-caranya:
- Log masuk ke aplikasi MyUBAT. Jika pertama kali menggunakan MyUBAT, daftar sebagai pengguna baharu. Anda akan diminta memasukkan nama penuh mengikut Kad Pengenalan, nombor MyKad dan nombor telefon.
- Selepas log masuk, klik pada ‘Bekalan’ di banner bahagian bawah.

- Jika anda mempunyai rekod janji temu yang aktif, ia akan disenaraikan di bahagian ini. Untuk permohonan ubat, klik pada butang ‘+ Mohon baharu’
- Masukkan Negeri, Jenis Fasiliti dan fasiliti tempat rawatan.
- Senarai jenis perkhidmatan akan dipaparkan. Klik pada ‘Ubat Melalui Pos’ untuk mohon perkhidmatan tersebut.

- Lengkapkan maklumat yang diminta, merangkumi tarikh jumpa doktor seterusnya, alamat penghantaran, gambar depan dan belakang kertas preskripsi sebelum menghantar permohonan tersebut.
Permohonan UMP Boleh Dibuat Di Kaunter Farmasi
Dalam masa sama, permohonan bagi program UMP juga boleh dibuat secara fizikal, lapor MalayMail.
Pesakit atau penjaga boleh membuat permohonan di kaunter farmasi di klinik atau hospital KKM di mana mereka mendapatkan rawatan.
Mereka hanya perlu menunjukkan preskripsi original, MyKad dan kad temujanji fizikal kepada ahli farmasi bertugas.
Diingatkan bahawa perkhidmatan UMP perlu dibuat sekurang-kurangnya tiga minggu sebelum bekalan ubat habis.
Permohonan juga perlu dibuat setiap kali selepas berjumpa dengan doktor dan menerima preskripsi baharu.
Baca Artikel Berkaitan: 30% Warga Emas Di Malaysia Hidap 3 Penyakit Tidak Berjangkit – NHMS 2025
Baca Artikel Berkaitan: 49% Tuntutan Penyakit Kritikal Datang Daripada Golongan Bawah 40 Tahun, Ini Kata Allianz
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.