Hoodie: Ini Kisah Sebalik Pakaian Kegemaran Ramai Rakyat Malaysia
Tujuan asal hoodie diciptakan adalah untuk memastikan atlet sukan kekal panas ketika musim sejuk.
- Hoodie moden bermula pada tahun 1930-an sebagai pakaian sukan jenama Champion untuk memastikan atlet kekal panas.
- Beberapa negara pernah cuba mengharamkan hoodie sekitar tahun 2000-an kerana dianggap simbol jenayah dan pemberontakan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Siapa sangka hoodie yang asalnya dicipta untuk memanaskan badan atlet, kini menjadi antara pakaian paling popular.
Tidak dinafikan hoodie memang selesai dipakai pada bila-bila masa, malah tetap nampak bergaya untuk kegunaan harian.
Namun, tahukah anda hoodie mempunyai sejarah yang cukup panjang bermula hampir 100 tahun lalu?
Pakaian Yang Sudah Wujud Sejak Zaman Dulu

Untuk info, konsep memakai pakaian yang menutup kepala sudah wujud sejak zaman gelap dahulu sebelum versi moden mula wujud.
Antara buktinya:
- Orkney Hood: Ditemui di Kepulauan Orkney, Scotland melihat seorang kanak-kanak menutup kepala dan bahu.
- Bocksten Man: Ditemui di Sweden pada 1936 memakai hoodie tebal bersama pakaiannya yang hidup ketika tahun 1350 hingga 1370
- Sami: Memakai versi ringkas bagi membantu diri untuk fokus ketika sesi pembelajaran
- Medieval Knights: Memakai hoodie diperbuat daripada rantai besi sebagai perlindungan
- Gabled Hood: Tudung wanita yang dipakai sekitar tahun 1500 yang mempunyai bentuk muncung dianggap fashionable dan sopan.
Menjelang abad ke-20 barulah lahir hoodie seperti yang kita kenal hari ini.
Hoodie Moden Bermula Di Padang Sukan Pada Tahun 1930-an

Perkataan hoodie dimasukkan ke dalam kamus Inggeris Oxford pada tahun 2006 walaupun asal usulnya sudah bermula di padang sukan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut The Conversation, jenama pakaian sukan, Champion telah menghasilkan sweater hoodie pada tahun 1930-an.
Tujuannya untuk memastikan atlet kekal panas sebelum memulakan perlawanan.
Dalam masa sama, ia turut menarik minat golongan pekerja buruh kerana elemen yang praktikal.
Watak Rocky Balboa Mengangkat Hoodie Menjadi Salah Satu Ikon Budaya Pop

Impak watak Rocky Balboa lakonan Sylvester Stallone secara tidak langsung telah mengangkat hoodie daripada pakaian sukan menjadi ikon budaya pop.
Babak yang menunjukkan Rocky sedang berlatih dan berlari menaiki tangga Muzium Seni Philadelphia menjadikan hoodie satu simbol melambangkan semangat gigih, usaha dan tidak putus asa dengan mudah.
Menjelang 1980-an dan 1990-an, majoriti orang muda mula menjadikan hoodie kepada pakaian trendy dan fesyen terutama dalam dunia streetwear.
Ia digemari oleh artis grafiti, skateboarder, break dancer dan lain-lain menjadi lambang budaya muda pada waktu tersebut.
Selain itu, majoriti artis hip hop dan rapper seperti Eminem, Ice-T sering dilihat memakai hoodie ketika melakukan persembahan.
Beberapa Buah Negara Pernah Cuba Haramkan Pemakaian Hoodie

Siapa sangka, di sebalik populariti itu, hoodie juga tidak terlepas daripada pelbagai kontroversi.
Memakai secara baggy atau oversize dan menaikkan bahagian kepala sering dianggap sebagai simbol pemberontakan.
Menurut Asket, ia juga menjadi salah satu simbol jenayah dalam golongan remaja.
Sehubungan itu, beberapa pusat beli-belah di United Kingdom, Amerika Syarikat serta New Zealand pernah mengharamkan pemakaiannya sekitar tahun 2000-an.
Australia turut mengikut sama sebelum dibatalkan semula selepas menerima bantahan daripada penduduk tempatan.
Tambahan pula, tragedi pada 2012 melibatkan seorang remaja bernama Trayvon Martin yang ditembak mati di Florida kerana memakai hoodie.
Alasan yang diberikan ialah dia dianggap mencurigakan.
Reka Bentuk Yang Terus Berkembang Sehingga Hari Ini

Di sebalik setiap kontroversi, reka bentuk hoodie sendiri turut banyak mengalami perubahan sejak diperkenalkan.
Memetik semula Asket, hoodie moden mula dicipta pada tahun 1934.
Perbezaan antara versi asal dan hari ini ialah seperti:
- Fabrik: Versi asal menggunakan kapas jersi tebal untuk melindungi atlet daripada cuaca sejuk. Versi hari ini lebih ringan dan lembut untuk menambah keselesaan.
- Bentuk Baju: Asalnya direka secara oversize di mana jahitan bahu jatuh membolehkan pemain american football memakainya dengan mudah.
- Hood: Lengkap dengan tali untuk menutup kepala dan menghalang daripada cuaca sejuk.
- Poket & Kemasan: Menampilkan poket kanggaru di bahagian hadapan untuk memanaskan tangan. Terdapat kemasan trim di pergelangan dan bawah memastikan hoodie kelihatan kemas ketika berjalan.
Baca Artikel Berkaitan: Ini Kisah Tracksuit Jadi Trend Fesyen Dipakai Oleh Bruce Lee, Bob Marley
Baca Artikel Berkaitan: Ini 5 Gaya Kasut Wajib Anda Pakai Jika Anda Seorang ‘Fun-Sized’
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.