Now Reading
Tun Siti Hasmah Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun

Tun Siti Hasmah Meninggal Dunia Pada Usia 100 Tahun

Tun Siti Hasmah merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di Tanah Melayu.

In Brief
  • Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara kira-kira jam 9.20 pagi.
  • Beliau merupakan antara wanita Melayu terawal mendaftar kursus perubatan dan menjadi doktor wanita Melayu terawal di Tanah Melayu.
  • Sepanjang hayatnya, beliau memperjuangkan kesihatan ibu, perancangan keluarga, pencegahan dadah, dan berjaya menurunkan kadar kematian bayi dengan ketara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Negara hari ini kehilangan seorang tokoh yang banyak menyumbang kepada bidang kesihatan dan kebajikan masyarakat.

Menurut Free Malaysia Today, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, isteri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meninggal dunia hari ini (28 September) pada usia 100 tahun.

Difahamkan, beliau menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN) kira-kira jam 9.20 pagi.

Pemergian Beliau Disahkan Oleh Anaknya

Menurut Astro Awani, berita pemergian Allahyarhamah disahkan oleh anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.

Tun Siti Hasmah bukan sahaja dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebaliknya seorang doktor cukup berpengaruh.

Sepanjang hayatnya, beliau menggunakan platformnya untuk memperjuangkan pelbagai isu penting.

Antaranya termasuk kesihatan ibu, perancangan keluarga, literasi, pencegahan penyalahgunaan dadah dan kesihatan mental.

Antara Doktor Wanita Melayu Terawal Di Tanah Melayu

Untuk info, Tun Siti Hasmah dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Klang, Selangor.

Bapanya, Haji Mohd Ali merupakan seorang pegawai kerajaan, manakala ibunya, Hajah Siti Khatijah binti Ahmad pula seorang suri rumah.

Beliau mendapat pendidikan awal di SMK St. Mary, sebelum memperoleh ijazah perubatan (MBBS) dari Universiti Malaya terletak di Singapura pada waktu itu.

Tambahan pula, beliau merupakan antara wanita Melayu terawal mendaftar dalam kursus perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.

Pada 1955, Allahyarhamah merupakan seorang graduan doktor perubatan sebelum menyertai perkhidmatan kesihatan kerajaan menjadi antara doktor wanita Melayu terawal di Tanah Melayu.

Beliau Mencipta Pelbagai ‘Yang Pertama’ Dalam Perkhidmatannya

Sepanjang perkhidmatannya, Tun Siti Hasmah turut mencipta beberapa pencapaian bersejarah di Kementerian Kesihatan.

Antaranya, beliau menjadi wanita pertama di Malaysia yang berkhidmat sebagai pegawai perubatan Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak pada 1965.

Seterusnya pada 1966, beliau mengikuti program sijil kesihatan awam di School of Public Health, University of Michigan.

Pada 1974 pula, beliau menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri di Kedah.

Malah, beliau juga berjaya menurunkan kadar kematian bayi daripada 75 kepada 6 bagi setiap 1,000 kelahiran.

Tidak ketinggalan, Allahyarhamah juga pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Pergigian, Universiti Malaya.

Bertemu Tun Mahathir Ketika Zaman Belajar

Kisah cinta Tun Siti Hasmah bersama Tun Dr Mahathir Mohamad bermula sejak zaman belajar lagi ketika di King Edward VII College of Medicine, Singapura pada 1947.

Mereka mendirikan rumah tangga pada 5 Ogos 1956.

Pasangan tersebut dikurniakan tujuh orang anak iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura serta Mazhar.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd