Now Reading
Keropok Lekor: Kisah Sebalik Makanan Kegemaran Orang Pantai Timur

Keropok Lekor: Kisah Sebalik Makanan Kegemaran Orang Pantai Timur

Keropok lekor sering dihasilkan menggunakan ikan parang, selayang, kembung dan tamban.

In Brief
  • Keropok lekor pada asalnya bukan snek, tetapi teknik mengawet ikan nelayan yang tidak habis dijual sebelum musim tengkujuh.
  • Inovasi keropok lekor tercetus dalam kalangan isteri nelayan sekitar awal 1960-an menggunakan ikan murah, tepung sagu, garam dan gula.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Keropok lekor sudah cukup sinonim sebagai salah satu makanan tradisional negeri Terengganu yang popular digemari ramai orang tempatan.

Di sebalik rasanya yang enak, makanan ringan ini menyimpan kisah menarik tidak ramai tahu.

Hidangan wajib yang sering digemari pada waktu petang di tepi pantai terhasil kerana usaha para nelayan untuk menyimpan tangkapan mereka.

Teknik Mengawet Ikan Teknik Mengawet Ikan Berjaya Menciptakan Keropok Lekor

Proses pembuatan keropok lekor. (Foto: Discovery Terengganu)

Menurut Pichaeats, keropok lekor pada asalnya bukan dihasilkan sebagai snek, tetapi sebagai satu teknik mengawet makanan.

Di sepanjang pesisir pantai Terengganu, hasil tangkapan nelayan yang tidak habis dijual akan rosak dalam masa sehari akibat cuaca panas.

Dalam masa sama, Terengganu juga sebuah negeri yang sering berdepan musim tengkujuh setiap tahun.

Antara November hingga Mac, hujan lebat dan laut bergelora menjadikan proses menangkap ikan berbahaya serta mustahil.

Sebelum kemudahan teknologi peti ais diciptakan, kebanyakan keluarga nelayan akan mengawet hasil makanan beberapa bulan lebih awal sebagai persediaan menghadap musim tengkujuh.

Ikan Mudah Dijumpa Akan Ditukarkan Kepada Keropok Lekor

Nelayan. (Foto: Malay Mail)

Selain keropok lekor, makanan awet lain seperti ikan masin, budu, cencaluk, pekasam juga menjadi jawapan kepada masalah untuk mengelak daripada membazir.

Caranya pun mudah, isi ikan akan dikisar menjadi adunan, dicampurkan dengan tepung sagu sebelum direbus atau dikeringkan.

Ini memastikan ikan yang mudah rosak boleh menjadi bekalan makanan tahan sehingga beberapa minggu.

Asalnya, keropok lekor dihasilkan daripada ikan paling murah di kawasan Pantai Timur seperti:

  • Ikan Parang
  • Ikan Selayang
  • Ikan Kembung

Ini kerana, ikan ini tidak dapat dijual kerana bekalannya terlalu banyak dan sering dibawa pulang oleh nelayan ke rumah mereka.

Masyarakat Tempatan Mengenali Keropok Lekor Sebagai ‘Kepok Getel’

Menurut Berita Harian, segelintir orang Terengganu akan menyebut makanan ini sebagai kepok getel.

Nama itu lahir daripada proses pembuatannya, iaitu isi ikan yang digaul, digentel dan dibentuk secara manual sebelum direbus.

Seorang pengusaha keropok lekor, Sharuddin Abd Rahman berkata makanan itu menggambarkan keunikan kulinari Terengganu dipercayai bermula daripada orang nelayan.

Inovasi keropok lekor tercetus dalam kalangan isteri nelayan sekitar awal 1960-an.

“Ketika itu, ikan seperti selayang dan tamban kurang mendapat sambutan walaupun dijual pada harga yang sangat murah.”

Ikan selayang dan tamban ketika itu boleh dibeli pada harga RM2 sahaja untuk 5 kilogram (kg), manakala kebanyakan nelayan akan menjual di tepi pantai kerana tiada kemudahan jeti.

Isteri-isteri nelayan mengambil inisiatif mengawet ikan dengan mencampurkannya bersama tepung sagu, garam serta sedikit gula.

Adunan itu kemudian akan digentel sehingga berlingkar panjang atau berlekor sebelum direbus, menjadikannya makanan boleh disimpan.

“Keropok lekor yang direbus bertujuan untuk tahan lebih lama dan biasanya dijadikan lauk terutama ketika musim tengkujuh,” ujar Sharuddin.

Proses Pembuatan Keropok Lekor Masih Dikekalkan Sehingga Kini

Rangup dan menyelerakan. (Foto: TasteAtlas)

Jika anda bersiar-siar di Terengganu dan melihat kedai-kedai menjual keropok lekor masih mengekalkan banyak teknik asal pembuatannya.

Bermula dengan pemilihan bahan mentah, ikan segar yang menentukan rasa dan teksturnya.

Ikan pula diperoleh daripada pembekal tempatan di jeti nelayan seperti selayang, tamban, parang dan kerisi.

Seterusnya, isi ikan dipisahkan daripada tulang serta bahagian yang tidak digunakan, bagi mengelakkan bau kurang enak.

Kemudian, isi tersebut dihancurkan menggunakan mesin pengisar sehingga halus dicampurkan dengan garam, ketulan ais bagi mengekalkan kesegarannya.

Tepung kanji atau sagu dicampurkan dengan isi tersebut untuk menghasilkan doh kenyal, sebelum diuli sehingga sebati.

Doh itu kemudian dibentuk panjang menggunakan mesin atau tangan dengan menggenggam dan menggentel doh.

Akhirnya, ia akan direbus sehingga timbul sebelum boleh dimakan begitu sahaja atau digoreng dan cicah bersama sos air lada.

5 Kedai Keropok Lekor Boleh Cuba Di Terengganu

Boleh direbus atau goreng. (Foto: Foodpanda)
#1. Keropok Lekor Adik Beradik

Lokasi: Kampung Kuala Hiliran, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Buka setiap hari dari 8:30 pagi sehingga 5 petang

#2. Keropok Lekor Tokku

Lokasi: 10, Jalan Losong Feri, Kampung Losong Masjid, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Buka setiap hari (kecuali Jumaat) dari 8:30 pagi sehingga 6 petang

#3. Kepok Ikan Ssaje

Lokasi: Jln Tengku Ampuan Intan Zaharah, Kampung Wakaf Tengah, 21030 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Buka setiap hari (kecuali Jumaat) dari 8:30 pagi sehingga 6 petang

#4. Keropok Lekor Dynar

Lokasi: Lot 8338, Kampung Buluh Gading, 21200 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Buka setiap hari 9 pagi sehingga 10 malam

#5. Keropok Warisan Losong

Lokasi: 74, Jalan Kuala Hiliran, Kampung Losong Haji Su, 21000 Kuala Terengganu, Terengganu

Waktu Operasi: Buka setiap hari (kecuali Jumaat) dari 9 pagi sehingga 7 petang


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd