Now Reading
Stesen PETRONAS Jadi Lokasi Terbaharu Buat ‘Stamp Hunters’

Stesen PETRONAS Jadi Lokasi Terbaharu Buat ‘Stamp Hunters’

Walau bagaimanapun, hanya stesen PETRONAS tertentu yang menawarkan cop dengan rekaan berbeza.

In Brief
  • PETRONAS menawarkan kempen 'Stesen Stamp PETRONAS' di stesen terpilih, dengan rekaan cop khas sempena Hari Merdeka, Hari Malaysia, dan Formula 1.
  • Rekaan cop PETRONAS dihasilkan secara tangan oleh artis tempatan seperti Samsul Bahari, Sarah Amira, dan Zekha Saim, tanpa penggunaan teknologi digital.
  • Pengunjung perlu membawa buku sendiri untuk mengumpul cop, kerana sesetengah stesen tidak menyediakan kertas. Stamp pad berwarna hijau disediakan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Stamp hunting kini menjadi salah satu trend viral, apatah lagi apabila semakin banyak tempat yang menawarkan cop comel untuk dikumpul.

Antara lokasi yang menawarkan aktiviti ini termasuk di kedai buku, muzium, galeri, malah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Syarikat minyak dan gas, PETRONAS, juga tidak ketinggalan dalam aktiviti yang boleh dikatakan hype pada ketika ini.

‘Stesen Stamp PETRONAS’ Tawar Cop Menarik Sempena Hari Merdeka

Menerusi perkongsian di media sosial, orang ramai mendedahkan bahawa mereka telah mengumpul beberapa rekaan cop dari stesen minyak PETRONAS terpilih.

Menerusi kempen ‘Stesen Stamp PETRONAS’, terdapat rekaan cop yang menampilkan stesen terbabit.

Selain itu, ada juga stesen yang menawarkan rekaan khas bersempena Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang disambut pada Ogos dan September lalu, serta Mid-Autumn Festival.

Malah, stesen PETRONAS Jalan Selangor turut menawarkan cop edisi Formula 1 buat para peminat.

Antara Stesen PETRONAS Yang Tawarkan Cop

Buat mereka yang ingin mengumpul cop oleh PETRONAS ini, antara stesen yang terlibat ialah:

  • PETRONAS Persiaran Mahkota Cheras
  • PETRONAS Taman Segar
  • PETRONAS Jalan Selangor
  • PETRONAS Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, Cheras
  • PETRONAS Hillpark Puncak Alam
  • PETRONAS Taman Tun Dr Ismail
View on Threads

Terkini, dua lagi rekaan baharu telah diperkenalkan di stesen PETRONAS Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

Salah satu cop tersebut menampilkan PETRONAS TTDI sebagai stesen PETRONAS pertama yang dibuka di Malaysia sejak 3 Julai 1981.

Bukan sahaja dapat mengumpul cop, malah orang ramai juga dapat pelajari sesuatu yang baharu daripada pengalaman ini.

Reka Bentuk Cop PETRONAS Dihasilkan Oleh Artis Tempatan

Di saat kebanyakan reka bentuk dihasilkan menggunakan AI, cop yang ditawarkan di PETRONAS dikatakan dihasilkan secara tangan oleh para artis sendiri.

Seperti yang dikongsikan oleh seorang pengguna media sosial, salah seorang artis tempatan yang terlibat ialah Samsul Bahari yang menghasilkan cop dengan rekaan lori tangki PETRONAS.

Katanya, lukisan lori tangki itu dihasilkan sendiri tanpa penggunaan teknologi digital.

Dia juga berkata bahawa rekaan cop yang seterusnya akan dikeluarkan selepas cop edisi Merdeka tamat tempoh.

Antara artis lain yang menghasilkan rekaan cop PETRONAS termasuk Sarah Amira dan Zekha Saim.

View on Threads

Jangan Lupa Bawa Buku Sendiri Untuk Kumpul Cop PETRONAS

Menurut perkongsian orang ramai, sudut cop ini kebiasaannya terletak di dalam Kedai Mesra atau di bahagian hadapan luar kedai.

Bagi mengumpul cop tersebut, jangan lupa untuk membawa buku anda sendiri kerana sesetengah stesen tidak menyediakan kertas.

Stesen cop berkenaan turut menyediakan stamp pad berwarna hijau yang bersesuaian dengan tema warna PETRONAS sendiri.

Berdasarkan hantaran oleh Michelle Loo di Facebook Malaysia Stamp Hunt Community, PETRONAS pada mulanya menggunakan stamp pad berwarna biru, namun kemudian menukarnya kepada hijau selepas menerima cadangannya.

Baca Artikel Berkaitan: 30 Tahun Filem Hari Kebangsaan PETRONAS, Jadi ‘Time Capsule’ Kisah Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd