Klang River Festival Kembali Ke Jalan Klang Lama Dalam Edisi ke-5 Dengan Tema ‘Act!vating Habitat’
Pada tahun ini, Klang River Festival 2026 dijadualkan berlangsung dari 25 September hingga 4 Oktober.
- Klang River Festival (KRF) kembali buat tahun kelima dengan tema 'Act!vating Habitat', berlangsung dari 25 September hingga 4 Oktober.
- Kebanyakan acara berlangsung di kawasan Jalan Klang Lama dalam radius 1.5km, merangkumi lokasi urban yang diberi imej baharu.
- Pelbagai aktiviti ditawarkan termasuk persembahan muzik, tarian kontemporari, bengkel kelestarian, gotong-royong dan pameran seni berkaitan sungai.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sungai Klang yang merentasi bandaraya Kuala Lumpur merupakan salah satu sungai ikonik di dalam negara, apatah lagi dengan pertemuannya bersama Sungai Gombak di Masjid Sultan Abdul Samad Jamek.
Walaupun berdepan isu pencemaran, namun sungai itu kini beransur bersih menerusi pelbagai usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan.
Malah komuniti alam sekitar secara menyeluruh turut giat dalam menjalankan acara-acara bertujuan meningkat kesedaran terhadap pemuliharaan sungai itu.
Klang River Festival 2026 Berlangsung Dari 25 Sept Hingga 4 Okt
Klang River Festival (KRF) kini kembali buat tahun kelima sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2022.
Dengan tema ‘Act!vating Habitat’ yang memberi fokus terhadap isu habitat, KRF pada tahun ini dijadualkan akan berjalan dari 25 September hingga 4 Oktober .
Festival ini bukan sahaja mengangkat isu-isu alam sekitar, tetapi melengkapi program kesedaran dengan kreativiti yang dipenuhi pelbagai acara seni.
Apa yang pada awalnya bermula dengan usaha pembaharuan bandar dan kelestarian oleh para artis, aktivis budaya, kumpulan komuniti dan penduduk tempatan, festival ini telah mendapat perhatian ramai dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan.
Dianjurkan oleh KongsiKL bersama pemaju hartanah EXSIM, kebanyakan aktiviti komuniti dan acara seni ketika KRF 2026 akan berlangsung pada hujung minggu terakhir September dan hujung minggu pertama Oktober.

“KRF bermula sebagai inisiatif oleh KongsiKL, yang berkongsi kepercayaan terhadap perkongsian ruang, rangkaian, sumber dan ilmu. Menerusi festival ini, semangat perkongsian menjadi salah satu cara untuk meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan dan kepentingan sungai ini, dengan menggunakan seni sebagai penghubung.
“Hubungan antara seni dan isu alam sekitar semakin menarik kumpulan rakan usaha sama, merangkumi komuniti tempatan, NGO, pihak berkuasa kerajaan dan sektor swasta,” kata Pengarah Program KRF, Wyn Hee dipetik The Star.
Festival itu turut diharap agar menjadi satu gerakan yang lebih menyeluruh bagi mengumpulkan komuniti berhampiran dalam usaha menjaga Sungai Klang.
KRF Ubah Ruang Urban Terbiar Jadi Lokasi Acara Penuh Bermakna
Kebanyakan acara bagi program ini akan dilaksanakan di kawasan sekitar Jalan Klang Lama, merangkumi Kongsi KL, Dasein Academy, KRF 05 – Camp Water dan Kebun-Kebun Sungai Klang.
Kesemua lokasi ini terletak dalam radius 1.5km, memudahkan orang ramai untuk berkunjung ke pelbagai persembahan, aktiviti dan bengkel yang dijalankan sepanjang acara.
Sesetengah lokasi ini pada suatu ketika dahulu merupakan ruang urban yang diketepikan, tetapi telah diberi imej baharu sempena KRF yang dijalankan sejak lima tahun lepas.

Antara Acara KRF 2026 Yang Boleh Disertai Oleh Orang Ramai
KRF 2026 akan dimulakan dengan sesi unplugged oleh kumpulan rock alternative, Arvan, pada 8.30 malam ini (25 September) di Kongsi KL.
Minggu pertama ini juga akan menampilkan pelbagai aktiviti termasuk acara berbasikal komuniti, gotong-royong, lawatan berpandu, sesi jurnal, program barter dan bengkel kelestarian.
Bagi acara seni pula, orang ramai boleh menyaksikan pementasan tarian kontemporari, persembahan muzik, tayangan filem pendek dan pameran tekstil.
Majlis pembukaan bagi KRF2026 akan berlangsung pada 10 pagi Sabtu ini (26 September) bertempat di Serambi @ KRF06: The Field.

Sepanjang KRF 2026, orang ramai juga dijemput berkunjung ke beberapa pameran yang akan berlangsung sehingga 10 Oktober, bermula jam 9 pagi hingga 6 petang:
- River Morphologies di Kongsi KL
- River Polyphonies di KRF05: Camp Water
- Klang River Retrospective di Lobi, Dasein Academy
Buat mereka yang berminat untuk hadir ke festival tersebut, disarankan agar memakai pakaian yang bersesuaian dan selesa memandangkan kebanyakan lokasi acara adalah di kawasan luar dan membabitkan banyak aktiviti berjalan.
Pengunjung turut diingatkan agar membuat persediaan sekiranya hujan turun dan memakai pelitup muka dalam cuaca jerebu.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.