Now Reading
Ini Kisah Bagaimana Petronas Menjadi Jenama Terkenal Dalam Formula 1

Ini Kisah Bagaimana Petronas Menjadi Jenama Terkenal Dalam Formula 1

Mercedes AMG PETRONAS F1 telah menjadi juara Constructor sebanyak 8 kali daripada tahun 2014 sehingga 2021.

In Brief
  • Petronas bermula sebagai penaja F1 pada 1995 dan berkembang menjadi rakan utama pasukan Mercedes AMG yang berjaya.
  • Kerjasama Petronas dan Mercedes AMG menghasilkan 8 gelaran Constructor Championship dan 7 gelaran Drivers Championship.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Syarikat minyak dan gas, Petronas telah mencipta nama sebagai antara jenama paling dikenali dalam dunia Formula 1 (F1).

Penglibatan mereka dalam sukan berkelajuan tinggi telah bermula sejak pertengahan 1990-an lagi.

Bermula sebagai penaja pada tahun 1995, syarikat itu telah berkembang menjadi rakan utama kepada pasukan Mercedes AMG yang dikenali ramai.

Sebuah Syarikat Yang Aktif Dalam Pelbagai Bidang Industri Minyak & Gas

Untuk info, Petroliam Nasional Berhad atau lebih dikenali sebagai Petronas telah ditubuhkan pada tahun 1974.

Ia merupakan sebuah syarikat minyak dan gas multinasional dimiliki oleh Malaysia yang berpusat di ibu kota kita, Kuala Lumpur.

Petronas juga aktif dalam pelbagai bidang industri minyak dan gas seperti cari gali, penapisan, pengedaran, penjanaan kuasa dan lain-lain.

Persoalannya bagaimana syarikat minyak ini boleh menempa nama dalam sebuah sukan sangat popular seperti F1?

Sejarah Petronas Dalam F1 Boleh Dibahagikan Kepada 3 Era

Pasukan Sauber. (Foto: Formula 1)

Penglibatan Petronas dalam F1 boleh dibahagikan kepada tiga era utama, iaitu:

  • Sauber (1996 hingga 2005)
  • BMW Sauber (2006 hingga 2009)
  • Mercedes AMG (2010 sehingga hari ini)

Menurut Petronas, mereka mula menyertai sukan tersebut pada tahun 1995 sebagai penaja pasukan Red Bull-Sauber PETRONAS F1.

Langkah itu dilakukan untuk meletakkan diri mereka sebagai sebuah jenama global.

Tambahan pula, usaha Petronas diperkukuhkan pada tahun 1999 apabila ia memperoleh hak penajaan utama bagi Grand Prix F1 di Malaysia.

Malah, mereka turut menjadi penaja bersama bagi Grand Prix China dan Grand Prix Korea pada tahun 2010.

Pasukan BMW-Sauber. (Foto: Formula 1)

Menjelang tahun 2005, syarikat ini meneruskan hubungan lama bersama BMW-Sauber F1 apabila menjadi Rakan Premium kepada pasukan tersebut.

Namun, BMW telah meninggalkan sukan tersebut selepas musim 2009.

Susulan itu, Petronas telah berpindah kepada pasukan baharu yang diketahui ramai, iaitu Mercedes AMG PETRONAS Formula One.

Kelahiran Silver Arrows Membuka Era Baharu Bersama Mercedes AMG

Mercedes AMG Petronas F1 Team. (Foto: Formula 1)

Pada tahun 2009, Petronas menandatangani perjanjian selama lima (5) tahun bersama Mercedes-Benz sebagai rakan utama.

Ketika itu, pasukan Silver Arrows kembali bertanding dalam F1 buat kali pertama sejak tahun 1955.

Kerjasama antara dua jenama ini telah melahirkan antara pasukan terbaik dalam sejarah F1.

Pencapaian mereka adalah seperti berikut:

  • 8 kali juara Constructor Championship (2014, 2015, 2016, 2017, 2018, 2019, 2020 dan 2021)
  • 7 kali juara Drivers Championship (2014, 2015, 2016, 2017, 2018, 2019 dan 2020)

Kejayaan itu dicapai ketika era baharu dalam F1 yang dikenali sebagai enjin V6 turbo 1.6 liter pada tahun 2014 sehingga 2021.

Sejak tahun 2014, Petronas turut membekalkan bahan api dan pelincir kepada pasukannya, Mercedes-AMG dan beberapa pasukan lain seperti:

  • Force India (sekarang dikenali sebagai Aston Martin)
  • Lotus
  • Manor
  • Williams
  • McLaren

Apa Peranan Petronas Ketika Perlumbaan F1?

Kereta Mercedes AMG Petronas F1 Team. (Foto: Petronas)

Di sebalik penajaan itu, Petronas juga memainkan peranan penting ketika perlumbaan sedang berlangsung.

Mereka menyediakan sokongan dari segi teknikal kepada Mercedes-AMG dalam sukan yang setiap saat menjadi menentukan kejayaan atau kegagalan.

Terdapat beberapa jurutera yang ditugaskan untuk menjalankan analisis kimia dan prestasi ke atas bahan api serta pelincir yang digunakan oleh Mercedes-AMG.

Menerusi analisis itu, mereka dapat memberikan maklum balas segera mengenai keadaan enjin kereta.

Dalam masa sama, 150 sampel akan dikumpulkan sebelum dan selepas setiap perlumbaan.

Sampel itu akan dikaji menggunakan tiga peralatan utama, iaitu:

  • Kromatografi gas (menunjukkan kehadiran dan komposisi bahan karbon)
  • Viskometer (membantu menentukan kelikatan)
  • Spektrometer (membantu mengenal pasti komposisi bahan)

Setiap analisis yang dilakukan ini telah mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh Fédération Internationale de l’Automobile (FIA).

Petronas Juga Aktif Dalam Sukan Perlumbaan Motosikal

Hafizh Syahrin. (Foto: MalayMail)

Petronas juga mempunyai sejarah panjang dalam sukan perlumbaan motosikal.

Contohnya seperti pada tahun 1996, Petronas menaja pasukan motosikal Grand Prix bernama PETRONAS Sprinta TVK dalam kelas 250cc bersama Yamaha.

Mereka juga telah menaja perlumbaan Malaysian Cub Prix dengan sebuah pasukan bernama Foggy PETRONAS Superbike yang kini tidak lagi beroperasi.

Menjelang musim 2011, Petronas menjadi penaja pasukan dalam Moto2 menerusi PETRONAS Malaysian Team, dengan Hafizh Syahrin sebagai penunggangnya menggunakan motosikal Moriwaki.

Setahun selepas itu, Petronas menaja Malaysian Raceline Team apabila Hafizh Syahrin menerima pelawaan khas di Grand Prix Sepang Malaysia, menggunakan motosikal FTR.

Malah, pada musim itulah Syahrin berjaya naik ke podium buat pertama kali.

Baca Artikel Berkaitan: Ketahui Sejarah Litar Antarabangsa Sepang, Litar F1 Paling Ikonik & Kebanggaan Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: 30 Tahun Filem Hari Kebangsaan PETRONAS, Jadi ‘Time Capsule’ Kisah Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd