F1 Sepang 2026: Cuaca Panas Boleh Cecah 50°C Bakal Menguji Kesabaran Pemandu
Malaysia Grand Prix 2009 dibatalkan selepas 31 pusingan ekoran hujan lebat mengakibatkan litar Sepang mengalami banjir.
- Perlumbaan F1 di Sepang pada 4 Oktober 2026 membawa nama Grand Prix Bahrain, menjadi pusingan ke-16 musim 2026.
- Suhu kokpit dijangka antara 40°C hingga 50°C dengan kelembapan 80%, menjadikan cuaca cabaran terbesar pemandu.
- Jerebu dan hujan lebat turut mengancam jarak penglihatan serta keselamatan perlumbaan di Sepang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tinggal beberapa hari lagi untuk melihat Formula 1 (F1) kembali beraksi di Litar Antarabangsa Sepang pada 4 Oktober 2026 selepas kemarau selama 9 tahun.
Perlumbaan yang membawa nama Grand Prix Bahrain bukan sahaja dinanti-nantikan oleh peminat tempatan, malah berpotensi menjadi antara hujung minggu paling mencabar dalam musim ini.
Maklumlah, litar antarabangsa Sepang sering dikenali sebagai perlumbaan paling mencabar dalam kalendar F1.
Perlumbaan Di Sepang Membawa Nama Grand Prix Bahrain

Walaupun membawa nama Grand Prix Bahrain, perkara seperti ini bukanlah sesuatu yang aneh kerana Grand Prix Switzerland 1982 telah berlangsung di Perancis.
Malah, Grand Prix Luxembourg pula berlumba di Nürburgring, Jerman pada 1997 dan 1998.
Perlumbaan ini akan menjadi pusingan ke-16 dalam musim 2026.
Litar Sepang Diperbaharui Bagi Memenuhi Standard F1
Litar Antarabangsa Sepang merupakan sebuah litar antarabangsa yang cukup terkenal dan mempunyai prestij tersendiri.
Kita juga pernah menganjurkan Grand Prix Malaysia dari 1999 hingga 2017.
Menurut Ky Millman, delegasi Fédération Internationale de l’Automobile (FIA) telah melakukan pemeriksaan pada awal 2026, sementara kerja pembaikan dijalankan dengan pantas untuk mencapai piawaian F1.
Kerja baik pulih merangkumi keseluruhan litar, tempat duduk penonton dan infrastruktur.
Malah, ia dilaporkan perbelanjaan sebanyak AS$7 juta diperlukan untuk memasang kabel bagi membolehkan liputan televisyen langsung dan perlu diselesaikan sebelum sesi pertama bermula.
Cuaca Panas Dan Lembap Bakal Menjadi Cabaran Terbesar

Cabaran sebenar perlumbaan ini terletak pada cuaca panas dan lembap di negara kita.
Perlumbaan di Sepang berpotensi lebih sukar berbanding Singapura kerana ia berlangsung pada waktu siang, berbeza dengan negara jiran yang berlumba waktu malam.
Suhu dalam kokpit F1 dijangka antara 40°C hingga 50°C, dengan kelembapan sekitar 80%.
Dalam masa sama, suhu litar pula boleh mencecah 60°C, sekali gus memberikan tekanan luar biasa kepada tayar berjenama Pirelli.
Untuk info, Grand Prix Qatar 2023 boleh dijadikan perbandingan untuk perlumbaan di negara kita kerana keadaan cuaca telah menjejaskan beberapa pemandu secara fizikal seperti:
- Esteban Ocon dilaporkan muntah dalam topi keledarnya
- Logan Sargeant terpaksa menarik diri akibat dehidrasi
- Lance Stroll hampir pengsan dalam kereta
- Alex Albon dilihat sukar keluar daripada kereta selepas tamat perlumbaan
Justeru, FIA telah mengeluarkan amaran dengan menyifatkan Sepang sebagai heat-hazard, mewajibkan pasukan memasang sistem penyejukan pada kereta.
Jerebu Turut Mengancam Jarak Penglihatan

Selain cuaca panas, negara kita juga sedang berdepan musim jerebu akibat asap daripada Indonesia.
Kesannya ialah keadaan bertambah panas dan lembap serta memerlukan pemakaian pelitup muka.
Tambahan pula, jerebu ini juga berpotensi menjejaskan keseluruhan perlumbaan.
Ia boleh mengurangkan jarak penglihatan di atas litar ketika berlumba dan menyukarkan keadaan bagi kakitangan yang sedang bekerja semasa perlumbaan.
Sehubungan itu, ramai mengharapkan hujan untuk turun bagi membantu mengurangkan kesan jerebu.
Kalau Hujan Pun, Bahaya Juga

Menariknya, faktor hujan juga boleh menjadi lagi satu elemen cabaran yang perlu dihadapi oleh para pelumba.
Ini kerana cuaca di negara kita boleh berubah sekelip mata dan perlumbaan di Sepang cukup sinonim dengan perkara itu.
Tambahan pula, pasukan F1 juga mempunyai pengalaman terhad untuk memahami bagaimana kereta baharu bertindak dalam keadaan hujan lebat.
Malah, Grand Prix Malaysia 2009 pernah dihentikan pada pusingan ke-31 akibat banjir.
Mengimbau Kembali Kekecohan Grand Prix Malaysia 2009
Menurut The Guardian, hujan telah diramalkan untuk turun ketika perlumbaan itu sedang berlangsung.
Menjelang pusingan ke-21, hujan turun begitu lebat sehingga menyebabkan Fernando Alonso tergelincir sebelum berjaya memulihkan keadaan semula.
Pada pusingan berikutnya, hampir semua pemandu mula masuk ke pit untuk menukar kepada tayar basah.
Menjelang pusingan ke-31 pula, kereta keselamatan dikeluarkan berikutan kilat berterusan, sebaik sahaja Giancarlo Fisichella tergelincir.
“Saya tidak pernah melihat begitu banyak aksi memotong, tergelincir dan pertukaran tayar sambil kilat menyambar,” kata wartawan, Richard Sloggett.
Akhirnya, bendera merah dikibarkan dan perlumbaan terpaksa dihentikan sepenuhnya selepas Lewis Hamilton, Sebastian Vettel, Nick Heidfeld dan hampir kesemua pemandu lain tergelincir keluar dari litar.
Perlumbaan itu dimenangi oleh Jensen Button (Brawn Mercedes), diikuti Nick Heidfeld (Sauber BMW) dan Timo Glock (Toyota).
Baca Artikel Berkaitan: Ketahui Sejarah Litar Antarabangsa Sepang, Litar F1 Paling Ikonik & Kebanggaan Malaysia
Baca Artikel Berkaitan: Ini Kisah Bagaimana Petronas Menjadi Jenama Terkenal Dalam Formula 1
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.