Now Reading
Adakah Mainan Squishy Bahaya? Ibu Ayah, Tolong Semak Dahulu Sebelum Beli

Adakah Mainan Squishy Bahaya? Ibu Ayah, Tolong Semak Dahulu Sebelum Beli

Seorang individu mendakwa bahawa mainan squishy telah menyebabkan jangkitan bakteria pada tangan anak saudaranya.

In Brief
  • Mainan squishy boleh mengandungi bahan kimia berbahaya seperti plumbum, phthalate dan benzena, terutamanya produk tiruan atau tanpa jenama.
  • Ibu ayah disarankan semak tanda pematuhan MC sebelum membeli mainan bagi memastikan ia memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan.
  • Semak mainan squishy secara berkala dan buang segera jika rosak, bocor atau mengeluarkan bau bahan kimia yang luar biasa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Mainan ‘squishy‘ kini menjadi satu trend dalam kalangan kanak-kanak yang turut dibawa ke sekolah.

Didatangkan dalam pelbagai bentuk dan warna yang comel, mainan ini telah menarik perhatian ramai kanak-kanak, apatah lagi dengan tekstur lembut yang boleh dipicit.

Malah orang dewasa juga tidak terkecuali daripada mengumpul mainan squishy.

Wanita Dakwa Anak Saudara Dijangkiti Kuman Akibat Mainan Squishy

Satu hantaran di media sosial baru-baru ini bagaimanapun membuatkan orang ramai menjadi gusar dengan mainan viral ini.

Dalam hantaran di Threads, seorang wanita mendakwa anak saudaranya terkena jangkitan kuman di bahagian tangan akibat bermain dengan mainan squishy.

Katanya, kanak-kanak itu sehingga dimasukkan ke hospital akibat keadaan tangannya yang teruk.

Pun begitu, dakwaan ini masih belum disahkan dan tidak sepatutnya menjadi bukti bahawa mainan squishy yang menyebabkan masalah jangkitan pada kulit kanak-kanak berkenaan.

Sumber: Threads

Di ruangan balas, beberapa individu berkongsi bahawa anak atau kenalan mereka juga pernah mengalami keadaan tangan sama, namun bukan disebabkan oleh mainan squishy.

Insiden ini bagaimanapun menimbulkan persoalan dalam kalangan orang ramai tentang bagaimanakah untuk memilih mainan squishy yang selamat buat anak.

Setiap Mainan Squishy Berbeza, Namun Boleh Datangkan Bahaya Jika Digunakan Dengan Salah

Mainan squishy sebenarnya dihasilkan dari pelbagai bahan, sama ada busa poliuretana, silikon, getah, bahan termoplastik, gel, cecair, serbuk, manik dan lain-lain.

Menurut US Poison Control, kebanyakan bahan-bahan ini mempunyai risiko rendah apabila digunakan dengan selamat, namun boleh mendatangkan bahaya sekiranya mainan tersebut rosak, bocor, digigit atau terdedah kepada haba.

Pada Ogos lalu, US Consumer Product Safety Commission (CPSC) turut memberi amaran mengenai mainan squishy tiruan dan palsu. Katanya, sesetengah produk ini gagal memenuhi keperluan keselamatan membabitkan bahan-bahan tertentu termasuk plumbum dan phthalate. 

Sesetengah produk mainan ini juga mungkin mengandungi manik air atau bahan lain yang berbahaya jika ditelan oleh kanak-kanak.

Satu laporan oleh penyiar Kanada CBC, mendedahkan bahawa terdapat mainan squishy tanpa jenama atau tiruan yang mengandungi bahan kimia berbahaya, antaranya kandungan tinggi plumbum, phtalate dan benzena.

Malah bahan kimia yang mudah meruap juga boleh menjadi berbahaya apabila tersebar kepada udara sekeliling.

Terdapat pelbagai jenis mainan squishy yang dijual di dalam talian.

Ramai Hasilkan Squishy DIY Untuk Elak Bahan Kimia Berbahaya

Demi mengelakkan pendedahan kepada bahaya mainan squishy, sesetengah ibu ayah malah kanak-kanak sendiri tampil dengan kreativiti dalam menghasilkan mainan tersebut secara DIY.

Mainan squishy DIY selalunya dihasilkan dengan menggunakan bahan bebas kimia berbahaya seperti kertas dan span pencuci pinggan.

Ada juga yang menggunakan pembalut makanan yang telah dibersihkan, sekali gus menjadi satu inisiatif kitar semula.

Sumber: Threads

Bahan Kimia Bukan Sahaja Ada Dalam Squishy, Tetapi Juga Mainan Murah Lain

Sebenarnya bukan sahaja mainan squishy, tetapi ibu ayah sudah lama bimbang tentang kehadiran bahan kimia dalam mainan murah atau tiruan.

Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2021 mendedahkan terdapat beberapa jenis bahan phthalate termasuk DEHP, DBP, DEP dan DIBP dalam 30 mainan plastik murah yang dijual di Kuala Lumpur.

Mereka mendapati kewujudan DEHP dalam 73% daripada sampel tersebut dengan sesetengah mainan mengandungi kadar phthalate lebih tinggi berbanding had 0.1% yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah.

Malah kajian turun menekankan potensi pendedahan bahan kimia tersebut terhadap kanak-kanak kerana mereka cenderung memasukkan objek ke dalam mulut.

Namun ini tidak bermakna setiap mainan murah atau tiada jenama berbahaya buat kanak-kanak.

Kajian ini juga tidak membuktikan bahawa bahan kimia dalam mainan squishy tertentu boleh menyebabkan jangkitan kuman.

Semak Tanda Pematuhan MC Sebelum Membeli Mainan

Pun begitu, penting untuk ibu ayah membeli mainan daripada sumber yang sah dan menyemak dahulu jika ia memenuhi keperluan keselamatan.

Di Malaysia, salah satu perkara yang boleh dilakukan oleh ibu ayah ialah untuk menyemak tanda keselamatan Malaysian Conformity (MC) atau Tanda Pematuhan MC.

Tanda keselamatan ini dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai jaminan bahawa alat permainan tersebut mematuhi piawaian keselamatan dan selamat untuk kanak-kanak di bawah usia 14 tahun.

Malaysia menetapkan keperluan keselamatan mandatori bagi mainan kanak-kanak, merangkumi keselamatan mekanikal dan fizikal, kemudahbakaran dan elemen kimia tertentu.

KPDN mengingatkan ibu ayah agar bukan sahaja menyemak tanda MC ini, tetapi juga membaca dahulu label umur, arahan dan amaran keselamatan terlebih dahulu sebelum membeli suatu mainan.

Bagi pembelian dalam talian, KPDN memberi saranan agar mendapatkan gambar label keselamatan produk daripada penjual.

Semak Mainan Secara Berkala, Buang Jika Sudah Rosak

Walaupun mainan yang dibeli mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan, namun ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya sudah rosak.

Bagi mainan squishy, ibu ayah diingatkan agar sentiasa menyemak keadaan mainan tersebut untuk mengenal pasti sebarang potensi bahaya termasuk:

  • Koyakan, lubang atau rekahan
  • Gel atau cecair yang bocor
  • Bahagian mainan yang sudah longgar
  • Bau bahan kimia yang kuat dan tidak seperti biasa
  • Pakej mainan yang sudah rosak atau tidak dilengkapi maklumat keselamatan
  • Mainan kecil yang boleh menjadi bahaya tercekik

Mainan yang dibeli juga perlu digunakan dengan cara yang selamat. Sebelum ini, wujud trend media sosial yang membabitkan pemanasan mainan squishy.

Pakar memaklumkan bahawa terdapat kes yang menyebabkan melecur teruk akibat mainan squishy meletup setelah dipanaskan.

Tak Salah Bagi Anak Main Squishy, Tetapi Pilih Yang Selamat & Berkualiti

Selepas mengetahui semua maklumat ini, ibu ayah perlu faham bahawa bukan semua mainan squishy berbahaya buat kanak-kanak.

Kebanyakannya boleh dimain dengan selamat jika bersesuaian dengan umur anak, memenuhi standard keselamatan dan digunakan dengan cara betul.

Namun ibu ayah harus ingat bahawa bukan semua mainan squishy, terutamanya yang murah dan dijual di dalam talian atau kedai, melepasi semakan keselamatan.

Pastikan mainan yang dibeli mempunyai tanda MC, semak maklumat pembuatan, ikut cadangan had umur ditetapkan dan kerap menyemak keadaan mainan tersebut.

Jika terdapat kerosakan pada mainan tersebut, terutamanya bau bahan kimia atau bocor, segera buang untuk elakkan risiko bahaya terhadap anak.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd