Now Reading
Ini Kisah Prof Azali Rahim, Pereka Kereta Nasional Pertama Negara

Ini Kisah Prof Azali Rahim, Pereka Kereta Nasional Pertama Negara

Menurut Proton, nama SAGA dipilih kerana mudah disebut dan menjadi akronim kepada Safety, Achievement, Greatness dan Ability.

In Brief
  • Prof. Azali Rahim designed Malaysia's first national car, Proton Saga, in 1983, relying only on a five-year-old Mitsubishi Lancer manual.
  • Azali drastically changed nearly 70% of the exterior and almost all of the interior, creating a sporty, fuel-efficient national icon.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Proton Saga bukan hanyalah sebuah kereta. Ia menjadi satu lambang kebanggaan negara yang berubah mengikut peredaran zaman.

Sebelum kereta nasional pertama itu dilancarkan pada 1985, ada satu persoalan yang lebih besar, iaitu siapakah perekanya?

Orang yang diamanahkan tanggungjawab tersebut ialah seorang pereka industri tempatan bernama Prof. Azali Rahim.

Prof. Azali Rahim Antara Perintis Reka Bentuk Perindustrian Negara

Proton Saga 1985. (Foto: Carsome)

Prof. Azali Rahim merupakan seorang pereka industri dan pendidik yang cukup dihormati di Malaysia.

Beliau dikenali sebagai pereka Proton Saga, iaitu kereta nasional pertama negara dan pengaruhnya merentasi bidang industri, akademik serta berkhidmat sebagai penasihat.

Kini, beliau berkhidmat di First City University College sebagai Adjunct Academic Fellow dalam program Master of Design Management.

Walaupun sudah berusia 76 tahun, beliau meneruskan pengajian PhD yang berkait rapat dengan pengalamannya sendiri mencipta reka bentuk Proton Saga.

Minat Terhadap Seni Dan Kejuruteraan Bermula Sejak Di Kota Bharu

Perjalanan Azali dalam bidang ini seolah-olah sudah tertulis sejak awal.

Menurut Amazing Seniors, beliau memiliki minat mendalam terhadap seni dan kejuruteraan sejak usia muda ketika membesar di Kota Bharu.

Selepas tamat sekolah menengah, beliau ternampak satu iklan kursus reka bentuk perindustrian di Institut Teknologi Mara (ITM).

Namun pada mulanya, beliau langsung tidak tahu apa itu reka bentuk perindustrian, lalu merujuk sebuah ensiklopedia di perpustakaan tempatan.

“Buku itu menunjukkan sebuah mesin jahit sebagai contoh reka bentuk perindustrian, dan saya pun terus terpikat,” katanya.

Pengajian Di Manchester Membentuk Falsafah Reka Bentuknya

Selepas memperoleh diploma, Azali menyasarkan program ijazah di Manchester Polytechnic, United Kingdom.

Beliau memilih Manchester kerana kepentingan bandar itu dalam dunia industri.

“Saya telah ditawarkan biasiswa dan diterima masuk Manchester Poly dan terus melompat ke program sarjana. Jadi saya menjimatkan sekurang-kurangnya empat tahun dengan melangkau program ijazah.”

Industri bandar Manchester telah membuka mata beliau terhadap aspek inovasi.

Malah, beliau sering mengaitkan idea dan nilainya dalam reka bentuk kepada dua orang pensyarah.

Yang pertama, Victor Papanek, seorang penulis, pereka dan aktivis yang menjadi perintis reka bentuk sosial.

Victor juga terkenal menerusi buku ‘Design for the Real World’.

Seorang lagi ialah arkitek dari Amerika Syarikat, Buckminster Fuller yang berjaya menemui formula fizik bagi prinsip struktur tensegrity dan mencipta kubah geodesic.

Azali juga sempat menjadi pelajar kepada kedua-dua tokoh tersebut dengan mengerjakan sebuah projek UNSECO untuk Victor dan menyumbang kepada penyelidikan tensegrity Fuller.

Kemudian, beliau mengajar di ITM dan akhirnya menubuhkan jabatan reka bentuk perindustrian di institut tersebut, sebelum terlibat dalam projek kereta nasional.

Projek Kereta Nasional Bukan Mahukan Reka Bentuk Biasa

Tun Dr Mahathir melihat Proton Saga. (Foto: Carsome)

Apabila diamanahkan menyertai pasukan Projek Kereta Nasional Malaysia, Azali segera menyedari bahawa ini bukan sekadar tugasan reka bentuk korporat biasa.

Konsep reka bentuknya perlu membawa makna yang jauh lebih besar, iaitu:

  • Pembinaan negara
  • Aspirasi nasional
  • Kebanggaan nasional

Tambahan pula, cabaran sebenar bukan menentukan rupa kereta itu, sebaliknya elemen apa yang membuatkan ia layak digelar kereta nasional pertama negara.

Proton Saga Pertama Direka Hanya Berpandukan Manual Mitsubishi Lancer

Proton Saga di litar Sepang. (Foto: Carsome)

Menurut Azali, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mahukan pereka tempatan untuk kereta pertama negara dan mempunyai impian besar.

Beliau kemudian menguruskan sebuah pasukan kecil yang ditugaskan mereka bentuk Proton Saga, berasaskan model Mitsubishi Lancer dicipta oleh syarikat Jepun bersama Hicom Engineering Malaysia.

Beliau mengakui merealisasikan rupa bentuk model itu pada peringkat awal sangat mencabar.

“Ketika itu tahun 1983. Internet belum wujud, dan kita juga belum mempunyai industri automotif.”

Malah, apabila beliau meminta gambar kereta yang menjadi asas model Malaysia, apa yang diterimanya hanyalah sebuah manual Mitsubishi Lancer berusia lima tahun.

“Jadi saya hanya boleh bergantung pada lukisan teknikal dan spesifikasi dalam manual itu. Selebihnya bergantung pada imaginasi saya,” jelasnya.

Azali telah menghabiskan masanya dengan melakar dan mewarna ideanya menggunakan tangan.

“Jika saya mewarnakan satu reka bentuk kuning, saya perlu pastikan ia tidak bertukar perang keesokan pagi kerana saya bekerja di bawah lampu tungsten di rumah,” tambahnya.

Hampir 70% Reka Bentuk Saga Diubah Secara Drastik

Proton Saga. (Foto: Paul Tan)

Walaupun berasaskan platform Mitsubishi Lancer, Azali telah mengubah hampir 70% bahagian luar kereta dan hampir keseluruhannya di bahagian dalam.

“Apa sahaja yang boleh saya ubah, saya ubah secara drastik.”

Tanpa sebarang statistik atau data kajian, beliau hanya menggabungkan apa yang dikehendaki oleh rakyat Malaysia.

“Hasilnya sebuah kereta bergaya sporty, jimat minyak, dengan pilihan model. Kami turut memberi banyak pertimbangan pada warna badan dan dalaman model tersebut.”

Proton Saga merupakan salah satu kebanggaan kereta Asia kerana memiliki beberapa elemen baharu.

Antaranya ialah emblem bercahaya, salah satu idea dicadangkan oleh Tun Mahathir.

“Ia merupakan emblem paling mahal di dunia untuk dihasilkan pada harga RM60. Logo biasa hanya berharga sekitar 50 sen,” tambahnya.

Sebenarnya, tanpa sebarang statistik atau data kajian, beliau hanya menggabungkan apa yang diyakininya dikehendaki oleh rakyat Malaysia.

Tidak ketinggalan, beliau turut memastikan warna bampar, cermin sisi dan penutup tayar adalah sama.

Ini kerana ciri seperti itu hanya boleh dilihat pada kereta Eropah yang lebih mahal.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd