Siti Nurhaliza Pernah Terima Surat Dari Chester Bennington Ketika MTV Asia Aid 2005
Dalam surat tulisan tangan itu, bekas penyanyi kumpulan Linkin Park, mendiang Chester Bennington, telah meminta Siti Nurhaliza agar menggayakan topi pemberiannya ketika persembahan.
Pengurus Siti, Rozi Abd Razak, mendedahkan surat tulisan tangan Chester Bennington kepada Siti di Bangkok pada tahun 2005.
Chester meminta Siti memakai topi pemberiannya ketika persembahan di MTV Asia Aid 2005, tetapi Siti tidak memakainya.
Rozi menjumpai semula surat tersebut selepas 21 tahun ketika sedang mengemas rumahnya dan berkongsi untuk mengimbau kenangan lama.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bila bercakap tentang industri muzik tanah air, salah satu nama yang pasti dikenali ramai sudah tentulah penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.
Bukan sahaja suaranya yang memukau, malah ramai turut tertarik dengan kecantikan dan kelembutan yang ditunjukkan oleh Biduanita Negara itu.
Baru-baru ini, satu ‘sejarah’ mengenai Siti telah dirungkai oleh pengurusnya, Rozi Abd Razak.
Chester Hantar Surat Pada Siti Ketika Di MTV Asia Aid 2005, Minta Pakai Topi Pemberiannya
Mungkin ramai yang tidak tahu, Siti turut menarik perhatian bekas penyanyi utama band rock Linkin Park, mendiang Chester Bennington, suatu ketika dahulu.
Selepas lebih dua dekad, perkara itu didedahkan oleh Rozi menerusi hantaran di Threads.
Dia menunjukkan helaian surat bertulisan tangan yang dihantar oleh Chester kepada Siti ketika di sebuah hotel di Bangkok, Thailand pada tahun 2005.
Dalam surat kiriman Chester, dia telah meminta Siti agar mencuba topi cap yang dihadiahkan olehnya ketiika membuat persembahan di MTV Asia Aid 2005.
“Wahai Ms Siti Nurhaliza Binte Tarudin. Sila cuba pakai topi (ini) pada malam ini apabila anda berada di atas pentas. Terima kasih,” tulis surat yang tertera nama Chester/Linkin Park itu.
Siti Tidak Pakai Topi Diberi Chester Ketika Persembahan Di MTV Asia Aid 2005
Menjawab persoalan yang pastinya membelenggu orang ramai, Rozi menjelaskan bahawa Siti tidak menggayakan topi yang diterima dari Chester ketika persembahanya di MTV Asia Aid 2005 kerana tidak sesuai dengan penampilan yang dibawa olehnya ketika itu.
“Kalau semak semula, Siti pakai baju kebaya labuh dan seluar. Buat persembahan lagu Seindah Biasa,” ujarnya.
Namun dia tidak dapat memberitahu ke manakah topi pemberian Chester itu pergi kerana sudah terlalu lama perkara itu berlaku.
“Kalau tanya mana topi tu, dah 21 tahun. Mungkin rumah lama atau memang dah tak ada dah. Lama sangat ni,” katanya.
Siti Raih Anugerah Favourite Artist Malaysia Di MTV Asia Aid 2005
Siti ketika MTV Asia Aid 2005 di IMPACT Arena Bangkok berjaya meraih anugerah Favourite Artist Malaysia.
Dia juga yang merupakan penyanyi kedua terbaik di Asia ketika itu telah diperkenalkan sebagai ‘Voice of Asia’ oleh penyanyi global, Alicia Keys.
Sebagai info, MTV Asia Aid 2005 dijalankan dengan fokus terhadap kebajikan bagi mengumpul dana dan kesedaran selepas tsunami yang melanda kawasan Laut India pada tahun 2004.