Now Reading
Kisah Flying Sikh, Juara Rali Dunia Yang Mengangkat Nama Malaysia

Kisah Flying Sikh, Juara Rali Dunia Yang Mengangkat Nama Malaysia

Karamjit Singh pernah menjuarai Asia Pacific Rally Championship (APRC) sebanyak 3 kali iaitu pada tahun 2001, 2002, dan 2004.

In Brief
  • Karamjit Singh, dikenali sebagai Flying Sikh, mencipta sejarah sebagai pemandu Asia pertama menjuarai FIA Production Car World Rally Championship pada 2002.
  • Gaya pemanduan Karamjit yang agresif, pantas dan berani, serta disiplin tinggi menjadikannya ikon sukan permotoran negara.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Apabila menyebut tentang sukan permotoran, kebanyakan rakyat Malaysia pasti membayangi Formula 1 (F1) berbanding rali.

Tetapi ramai tidak sedar bahawa negara kita pernah melahirkan seorang juara dunia dalam salah satu sukan paling mencabar.

Kejayaan itu dimiliki oleh Karamjit Singh, seorang pemandu rali yang dikenali dengan gelaran Flying Sikh.

Sukan Rali Bukan Sekadar Berlumba Sahaja

Kereta sukan rali. (Foto: Karamjit Singh Rally / Facebook)

Menurut GoRally, rali merupakan salah satu jenis sukan permotoran berlangsung di sebahagian jalan awam dan persendirian yang ditutup, menggunakan kereta telah diubah suai.

Biasanya, perlumbaan rali terdiri daripada sembilan (9) hingga 20 peringkat dan mengambil masa sepanjang dua hari.

Keunikan sukan rali memerlukan pemandu berlumba merentasi pelbagai jenis trek dengan permukaan berbeza seperti tanah, pasir, tarmac ataupun salji. Malah, ia boleh diadakan pada bila-bila masa tidak mengira musim, cuaca, siang mahupun malam.

Tidak hairanlah ramai menganggap rali antara sukan paling sukar untuk dimenangi.

Karamjit Singh Atau Flying Sikh Telah Berlumba Sejak 1984

Antara kereta dipandu oleh Karamjit Singh. (Foto: DSF)

Dilahirkan pada 29 Januari 1962, Karamjit Singh memulakan kariernya sebagai pelumba rali pada tahun 1984.

Asalnya sekadar minat terhadap dunia perlumbaan akhirnya berkembang menjadi satu kerjaya dipenuhi dengan kemenangan, pengiktirafan antarabangsa dan detik mengubah sejarah sukan permotoran negara.

Karamjit Cipta Sejarah Sebagai Pemandu Asia Pertama Juara Dunia

Karamjit Singh beraksi di litar Rali. (Foto: Karamjit Singh Rally / Facebook)

Pencapaian terbesarnya tiba pada tahun 2002 apabila Karamjit mencipta sejarah sebagai pemandu Asia pertama menjuarai FIA Production Car World Rally Championship (PWRC).

Lebih membanggakan, beliau meraih kejayaan itu pada percubaan pertamanya.

Menerusi kemenangan tersebut, nama Malaysia muncul sebagai pesaing di pentas rali antarabangsa, malah membuktikan pemandu dari negara ini mampu bersaing secara kompetitif.

Gelaran juara dunia hanyalah sebahagian daripada kisahnya.

Karamjit turut menjuarai Asia Pacific Rally Championship (APRC) sebanyak tiga (3) kali, iaitu pada tahun 2001, 2002 dan 2004.

Beliau juga cukup sinonim dengan sukan permotoran negara dan menjadi ikon kepada kereta tempatan seperti Proton Satria GTI dan Putra.

Tambahan pula, Karamjit memandu di bawah pasukan Petronas EON Racing Team dan Team Proton Pert Malaysia menggunakan kereta Proton yang telah diubah suai, dengan barisan pemandu kedua merangkumi Zuber Ismail, Ron Teoh, Allen Oh dan John Bennie.

Gaya Pemanduan Agresif Melahirkan Gelaran Flying Sikh

Agresif, berani dan laju. (Foto: Karamjit Singh Rally / Facebook)

Persoalan utama adalah kenapa Karamjit diberi gelaran Flying Sikh?

Menurut Varnam, gaya pemanduannya yang agresif, pantas dan berani membuatkan ramai penonton terpukau melihatnya ketika di atas litar.

Selain daripada kelajuannya, Karamjit turut terkenal dengan disiplin dan kesungguhannya.

Ini kerana sukan rali bukan sekadar membawa laju. Sebaliknya, anda perlu fokus, teliti, berani dan berupaya melakukan keputusan dalam sekelip mata ketika mengharungi laluan paling mencabar.

Gabungan kesemua elemen itulah menjadikan Karamjit antara pelumba rali terbaik negara yang boleh menjadi inspirasi kepada beberapa peminat sukan permotoran tanah air.

Karamjit Terus Memandu Walaupun Berusia 60-an

Walaupun sudah berusia 60-an, Karamjit masih berlumba membuktikan pengalamannya juga sangat penting.

Pada Oktober 2022, beliau bersama Jagdev Singh menyertai acara rali di Litar Suwarnadwipa Nusantara Jambi, Indonesia menerusi tiga perlumbaan menggunakan Proton Gen2 Turbo.

Pasangan veteran itu muncul juara dalam kelas berikut:

  • Juara kelas M3 dan tempat kelima keseluruhan dalam kategori Rally Sprint
  • Juara kelas M3 dan tempat kelima keseluruhan dalam National Rally Championship
  • Juara kelas M3 dan tempat keempat keseluruhan pada Pusingan 4 National Rally Championship

Sejarah Sukan Rali Di Malaysia Telah Bermula Sejak 1970-an

Untuk info, perlumbaan rali pertama di negara ini sebenarnya diadakan sekitar pertengahan tahun 1970-an dinamakan Malaysian Rally Championship dan Asia-Pacific Rally Championship.

Selain itu, jenama automotif tempatan Proton turut menggunakan sukan ini untuk mempamerkan produknya di bawah nama Proton PERT menerusi model seperti Proton Satria.

Tambahan pula, Karamjit kekal optimistik terhadap potensi Malaysia dalam sukan rali walaupun berdepan pelbagai cabaran dan kesukaran.

Menurut New Straits Times, beliau percaya Malaysia mempunyai kelebihan semula jadi yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya kerana pelbagai permukaan jalan seperti tar dan pasir.

Jalan-jalan di ladang kelapa sawit yang luas di negara ini cukup sesuai untuk dijadikan trek sukan rali.

Karamjit turut merasakan pesaing dari luar negara pasti ingin bertanding di sini kerana mempunyai laluan trek unik.

Bekas Ketua Proton Motorsport, Datuk Abdul Razak Dawood turut bersetuju sambil menyifatkan Malaysia sebagai pilihan utama berdasarkan infrastruktur, kapasiti, penginapan dan pengalaman menganjurkan acara sukan permotoran.

Baca Artikel Berkaitan: Ketahui Sejarah Litar Antarabangsa Sepang, Litar F1 Paling Ikonik & Kebanggaan Malaysia

Baca Artikel Berkaitan: Proton Juara: 25 Tahun Selepas Dilancarkan, Kini Kembali Diburu Peminat Kei Car


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd