Now Reading
Ini Kisah Bas Intrakota, Sistem Pengangkutan Yang Pernah Menguasai Kuala Lumpur

Ini Kisah Bas Intrakota, Sistem Pengangkutan Yang Pernah Menguasai Kuala Lumpur

Bas Intrakora dilengkapi dengan penghawa dingin, tempat duduk lembut menjadikannya lebih selesa berbanding bas mini.

In Brief
  • Bas Mini mula beroperasi pada 1975, menyediakan 60 laluan di Kuala Lumpur sebelum digantikan sistem lebih cekap.
  • Bas Intrakota memperkenalkan penghawa dingin, tempat duduk selesa, dan sistem tanpa konduktor, menandakan lonjakan besar pengangkutan awam.
  • Selepas kerugian mencecah RM450 juta, Intrakota dijual kepada Prasarana pada 2003 sebelum menjadi Rapid KL.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Generasi hari ini yang membesar di Kuala Lumpur, nama Rapid KL cukup sinonim sebagai sebuah sistem pengangkutan awam.

Sebelum kemunculan bas moden itu, terdapat sebuah bas kelabu yang pernah menjadi nadi tulang belakang menggerakkan pendudukan harian tinggal di Lembah Klang.

Ia dikenali sebagai Bas Intrakota, sebuah nama yang menyimpan seribu satu kenangan bagi mereka sempat menaikinya.

Bas Mini Berwarna Merah Jambu Muncul Sebelum Intrakota

Bas Mini. (Foto: Reddit)

Sebelum sistem Intrakota muncul, majoriti orang tempatan bergantung kepada Perkhidmatan Bas Mini Kuala Lumpur, atau sering disebut Bas Mini.

Bas Mini merupakan antara servis bas awam tertua dan paling popular di negara kita, yang telah berkhidmat di Kuala Lumpur serta Lembah Klang.

Majoriti bas ini berwarna merah jambu dengan jalur putih di bahagian tepi, dan boleh memuatkan sekitar 20 hingga 30 penumpang kerana saiznya yang kecil.

Ia mula beroperasi pada 23 September 1975 di bawah Kementerian Pengangkutan dan setiap lalu mempunyai warna bas tersendiri seperti:

  • Biru-putih
  • Kuning-putih
  • Merah-putih
  • Ungu-putih
  • Hijau-putih

Sebanyak 60 Laluan Disediakan Sekitar Bandar Raya Kuala Lumpur

Untuk info, Bas Mini bertanggungjawab menyediakan servis pengangkutan sebanyak 60 laluan berbeza di sekitar ibu kota.

Tiga syarikat yang terlibat dalam menyediakan perkhidmatan ini adalah Syarikat Kerjasama Pengaman (M) Bhd, Bas Mini Wilayah dan Konsortium Pengusaha Bas Mini Sdn Bhd.

Bagi pengusaha lebih kecil, mereka hanya dibenarkan berkhidmat di kawasan tertentu sahaja.

Harga tambangnya dianggap murah pada waktu itu, hanya 40 sen ketika mula diperkenalkan pada 1975.

Selepas itu, harga tambang telah dinaikkan kepada 50 sen pada 1991, sebelum meningkat sekali lagi menjadi 60 sen dua tahun kemudian.

Di sebalik memori nostalgia, Bas Mini tidak mempunyai sebarang jadual waktu operasi yang tetap.

Ia beroperasi atas dasar komisen, iaitu pengusaha dibayar mengikut jumlah laluan dan kutipan tambang mampu dikumpul dalam satu hari.

Ekoran itu, segelintir pemandu sanggup mengubah laluan semata-mata untuk mengatasi para pesaing membuatkan ramai penumpang kurang senang.

Pihak Kerajaan Rangka Sistem Pengangkutan Awam Lebih Cekap

Bas Intrakota. (Foto: @malaysia.time.tunnel / Instagram)

Pihak kerajaan mula menyedari ibu kota memerlukan keperluan sistem lebih teratur dan mula merangka satu pelan lebih cekap bagi mengatasinya.

Pada Disember 1993, wawasan itu dilancarkan menerusi kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Keenam.

Syarikat-syarikat bas di Kuala Lumpur akan digabungkan pada 1994 bagi memastikan perkhidmatan bertambah baik pada masa akan datang.

Rancangan Malaysia Ketujuh dibentangkan pada tahun berikutnya, kerajaan pula mengumumkan bahawa servis bas di bandar raya itu akan dikendalikan oleh dua syarikat, iaitu Intrakota Komposit Sdn Bhd dan Park May Bhd.

Susulan perubahan itu, Bas Intrakota mula mengambil alih perkhidmatan bas mini yang telah berkhidmat sejak tahun 1970-an, sebelum menggantikannya dengan sistem lebih efisien.

Bas Intrakota Bawa Keselesaan Baharu Bagi Penumpang Di Ibu Kota

Bas Intrakota. (Foto: Reddit)

Kehadiran Intrakota menandakan satu lonjakan besar dari segi keselesaan penumpang.

Berbeza dengan sistem pengangkutan sebelum ini, bas Intrakota dilengkapi penghawa dingin sepenuhnya dengan tempat duduk lembut dan empuk.

Ia juga menamatkan zaman penumpang terpaksa bergayut di pintu bas mini yang sering dipenuhi dengan orang.

Pada waktu itu, ia merupakan antara pengalaman menaiki bas lebih selesa dan selamat.

Sistem Tanpa Konduktor Menjadikan Bas Intrakota Unik

Selain keselesaan, Intrakota turut memperkenalkan satu sistem baharu pada zamannya.

Jika dahulu bas lama menggunakan konduktor untuk menjual tiket, Intrakota sebaliknya beralih kepada sistem tanpa konduktor.

Kadar tambang ditetapkan pada 90 sen, dengan penumpang perlu memasukkan wang syiling ke dalam kotak logam di sebelah pemandu.

Persaingan Sengit Dengan Sistem LRT Menyebabkan Intrakota Menanggung Kerugian

Tidak lama selepas beroperasi, keadaan bas, sikap pemandu serta kualiti servis secara keseluruhannya dilaporkan mula merosot.

Menjelang penghujung tahun 2000, Intrakota dilaporkan telah menanggung kerugian sebanyak RM339 juta, sebahagiannya berpunca daripada persaingan dengan syarikat bas lain.

Malah, sejak krisis ekonomi yang berlaku pada tahun 1997 dan 1998, syarikat itu turut berdepan tekanan hebat daripada pesaing lain seperti sistem LRT dan mengambil laluan tidak menguntungkan.

Kesan daripada tekanan berterusan itu, jumlah kerugiannya kemudian meningkat sehingga mencecah RM450 juta.

Intrakota Dijual Sebelum Melangkah Ke Era Rapid KL

Pemandangan Kuala Lumpur sekitar tahun 1992. (Foto: Reddit)

Berikutan kerugian yang semakin membesar, satu keputusan besar akhirnya diambil terhadap masa depan Intrakota.

Pada 29 November 2003, DRB-Hicom menjual aset Intrakota Komposit Sdn Bhd kepada syarikat milik kerajaan, Syarikat Prasarana Negara Bhd, dengan harga RM177 juta.

Menjelang penghujung 2005 pula, nama Intrakota bersama basnya berwarna kelabu itu ditamatkan sepenuhnya.

Setahun kemudian, sistem tersebut disusun dan diperbaharui semula di bawah Rapid KL yang masih digunakan sehingga hari ini.

View on Threads

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd