Ini Cara Lindungi Paru-Paru Ketika Musim Jerebu Elak Masalah Sesak Nafas
Jerebu mengandungi habuk halus sekitar PM2.5 yang boleh terperangkap ke dalam paru-paru menyebabkan sesak dada.
- Jerebu mengandungi partikel halus PM2.5 yang boleh melepasi bulu hidung dan menjejaskan paru-paru, menyebabkan sesak dada.
- Memakai pelitup muka N95, minum air secukupnya, dan membersihkan hidung setiap hari membantu melindungi saluran pernafasan daripada jerebu.
- Segera berjumpa doktor jika mengalami demam berterusan, hidung berdarah, sesak nafas, atau batuk berkahak yang tidak pulih.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak beberapa minggu lalu, semakin sukar untuk kita menikmati keindahan pemandangan Kuala Lumpur yang terkenal dengan langit biru serta bangunan pencakar langit melengkapi suasana tersebut.
Nikmat udara segar itu hampir hilang sepenuhnya susulan kehadiran musim jerebu yang bukan sahaja mengganggu pemandangan, malah menjejaskan kesihatan kita.
Jika tidak dibendung, kita bakal menghadapi masalah kesihatan terutama di bahagian paru-paru akibat daripada menghidu asap jerebu.
Paru-Paru Boleh Rosak Akibat Musim Jerebu

Menurut Dr Kam San Dhit di Alpro Clinic, jerebu bukan sahaja mengeluarkan bau asap busuk, tetapi turut menjejaskan cara kita bernafas.
Ini kerana, jerebu adalah gabungan bahan-bahan stimulus mikroskopik yang berlegar di ruang udara dan mampu memberi kesan buruk kepada tubuh badan.
Walaupun anda seorang dewasa yang sihat, menyedut udara jerebu boleh menyebabkan sakit mata, tekak kering dan hidung tersumbat.
Bagi mereka menghadapi masalah sakit asma dan chronic obstructive pulmonary disease (COPD), partikel halus jerebu boleh mencetuskan sakit jantung secara tiba-tiba.
Bukan itu sahaja, mereka yang mempunyai masalah sinus dan alahan akan mengalami masalah berikutan hidung semakin sensitif.
Golongan warga emas yang terdedah lebih berbahaya kerana paru-paru semakin lemah serta keadaan kesihatan berkait dengan usia, sekali gus menjadikan jerebu sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
Ini Yang Berlaku Kepada Paru-Paru Apabila Menyedut Asap Jerebu
Hidung kita bertindak sebagai penapis udara semula jadi.
Saluran hidung berfungsi untuk memanaskan, melembapkan serta memerangkap habuk dan mikrob melalui lapisan nipis cecair dan struktur halus seperti rambut.
Namun, jerebu mengandungi habuk halus sekitar PM2.5, iaitu partikel kecil daripada 2.5 mikrometer atau kira-kira 30 kali lebih kecil daripada sehelai rambut manusia.
Menurut Dr Kam, partikel halus itu mudah melepasi bulu hidung kasar yang sepatutnya memerangkap habuk lebih besar.
Di bahagian rongga hidung, partikel dan abu jerebu akan terperangkap pada lapisan lebih sensitif.
Ini akan mencetuskan keradangan serta rasa pedih, sekali gus menyebabkan hidung menjadi kering, bengkak, tersumbat atau berair.
Partikel sekecil PM2.5 pula boleh bergerak melepasi tekak dan masuk ke saluran udara lebih kecil, menjejaskan paru-paru menyebabkan sesak dada serta mengganggu saluran udara.
Membersihkan Hidung Setiap Hari Dapat Bantu Melindungi Paru-Paru Anda

Cara paling terbaik untuk melindungi paru-paru ketika musim jerebu ini, sudah tentulah berada dalam rumah serta memasang penapis udara.
Selain itu, Dr Kam turut menasihati untuk memakai pelitup muka, minum air secukupnya dan membersihkan hidung setiap hari.
“Selain memakai pelitup muka N95 yang betul ketika di luar dan sentiasa mengambil cukup air, kebersihan hidung harian merupakan satu tabiat mudah lagi berkesan untuk melindungi lapisan hidung anda.”
Langkah pertama ialah menggunakan semburan atau larutan untuk hidung jenis isotonic saline solution.
Ia berfungsi untuk menghilangkan debu, abu, serta lendir yang terperangkap dan mengembalikan kelembapan pada hidung.
Tetapi, larutan ini tidak dapat menghalang partikel halus daripada sampai ke paru-paru, ia hanya berkesan menghilangkan serta melegakan hidung tersumbat dan membersihkan kotoran di saluran pernafasan.
Bagaimana Cara Untuk Membersihkan Hidung?
Dr Kam turut berkongsi teknik memastikan kebersihan hidung dapat dilakukan dengan sempurna.
Berikut adalah langkah-langkah yang dikongsikan oleh beliau:
- Hembus hidung anda perlahan-lahan ke tisu terlebih dahulu bagi membersihkan cecair pekat.
- Pastikan kepala dalam keadaan tegak atau condong ke hadapan, dan jangan mendongak ke belakang kerana ia menyebabkan cecair mengalir ke tekak.
- Masukkan muncung ke dalam satu lubang hidung sambil menghalakan bahagian hujung ke arah luar, bagi mengelakkan rasa sakit dan berdarah.
- Tekan pam sambil menarik nafas dengan perlahan menerusi hidung, dan elakkan daripada menyedut terlalu kuat.
Tambahan pula, anda juga dinasihatkan untuk lakukan beberapa perkara seperti:
- Elakkan berkongsi semburan bersama ahli keluarga yang lain
- Bersihkan selepas setiap penggunaan menggunakan tisu bersih dan pasang semula penutup pelindung
- Cuci menggunakan air sabun selepas setiap penggunaan, dan biarkan ia kering sepenuhnya di kawasan bersih.
Jika Tanda-Tanda Ini Berlaku, Sila Berjumpa Dengan Doktor
Mengamalkan rutin membersihkan hidung setiap hari dapat mengurangkan rasa tekak gatal atau terdedah kepada asap jerebu setiap hari.
Walau bagaimanapun, Dr Kam turut pesan bahawa jika tanda-tanda seperti ini berlaku pada anda, segera berjumpa dengan doktor:
- Demam berterusan atau sakit pada bahagian muka (mungkin menghadapi jangkitan sinus bakteria).
- Hidung berdarah secara berulang atau teruk.
- Sesak nafas berterusan, atau dada.
- Batuk berkahak pekat dan berwarna atau keadaan bertambah teruk walaupun sudah mengambil ubat.
Baca Artikel Berkaitan: 4 Gunung Berapi Indonesia Meletus Serentak, Lapangan Terbang Jakarta Ditutup
Baca Artikel Berkaitan: Musim El Nino & Kebakaran Di Indonesia Jadi Punca Jerebu Kembali Di Negara
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.