70% Rakyat Malaysia Gembira Di Tempat Kerja, Tapi 41% Masih Burnout — Apa Yang Tak Kena?
Menurut laporan Salary Pulse 2026 oleh Jobstreet by SEEK, 81% pekerja Malaysia merasakan mereka menerima gaji yang adil atau baik. Namun, hanya 49% yang berpuas hati dengan gaji mereka.
- 70% pekerja Malaysia gembira di tempat kerja, tetapi 41% masih berasa burnout, membuktikan kebahagiaan tidak semestinya bermakna tempat kerja mampan.
- Gaji yang dianggap adil tidak semestinya membuatkan pekerja berpuas hati, kerana hanya 49% pekerja Malaysia berpuas hati dengan gaji mereka.
- Majikan perlu memastikan pekerja faham tujuan kerja mereka, mendapat fleksibiliti, dan bersedia menghadapi perubahan teknologi seperti AI.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tujuh daripada 10 pekerja Malaysia mengaku gembira di tempat kerja.
Namun, lebih empat daripada 10 masih berasa burnout atau terlalu letih kerana pekerjaan. Percanggahan ini menunjukkan bahawa tempat kerja yang “happy” tidak semestinya tempat kerja yang mampan.
Dengan perubahan teknologi, jurang kemahiran dan tekanan kerja yang semakin membentuk dunia pekerjaan, majikan perlu melihat lebih daripada sekadar produktiviti.
Pekerja juga perlu tahu tujuan kerja mereka, mendapat ganjaran yang setimpal, mempunyai ruang untuk berkembang dan sokongan untuk mengekalkan prestasi dalam jangka panjang.

“Cita-cita Malaysia bergantung kepada kemampuan rakyat untuk melakukan kerja yang bermakna dan mengekalkan prestasi secara konsisten dalam jangka panjang.
“Majikan memainkan peranan dalam merealisasikan perkara ini melalui jangkaan yang jelas, kepimpinan yang menyokong serta ruang untuk pekerja terus berkembang,” kata Nicholas Lam, Pengarah Urusan Jobstreet by SEEK Malaysia.
Menurutnya, apabila pekerja memahami tujuan kerja mereka dan mendapat sokongan yang diperlukan, mereka lebih bersedia untuk menyumbang kepada pertumbuhan organisasi serta perkembangan kerjaya sendiri.
Jadi, sempena Hari Malaysia ini, berikut adalah lima perkara yang boleh diberi perhatian oleh majikan untuk membina tempat kerja yang lebih kuat untuk pekerja dan juga perniagaan:
1. Jangan Sekadar Beri Kerja, Pastikan Pekerja Tahu Kenapa Mereka Melakukannya
Seseorang pekerja mungkin hanya menguruskan pertanyaan pelanggan setiap hari.
Tetapi apabila dia faham bagaimana menyelesaikan masalah berulang boleh meningkatkan pengalaman pelanggan dan perkhidmatan syarikat, kerja rutin itu mula mempunyai tujuan yang lebih jelas.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 35.2% pekerja berpendidikan tertiari berada dalam pekerjaan separa mahir atau berkemahiran rendah pada suku kedua 2026, satu ukuran yang dikenali sebagai skill-related underemployment.
Bagi majikan, ini menunjukkan pentingnya memastikan kemahiran seseorang digunakan pada tempat yang betul.
Selain memahami kemahiran yang diperlukan untuk sesuatu jawatan, majikan juga perlu membantu pekerja melihat ke mana peranan mereka boleh berkembang.
Apabila pekerja tahu apa yang sedang mereka usahakan, mengapa ia penting dan bagaimana mereka boleh berkembang bersama organisasi, kerja harian tidak lagi sekadar tentang menyiapkan tugasan.
2. Gaji Adil Tak Semestinya Bermaksud Pekerja Puas Hati
Ini mungkin antara dapatan yang paling menarik.
Menurut laporan Salary Pulse 2026 oleh Jobstreet by SEEK, 81% pekerja Malaysia merasakan mereka menerima gaji yang adil atau baik.
Namun, hanya 49% yang berpuas hati dengan gaji mereka.
Maksudnya, menerima gaji yang dianggap adil tidak semestinya membuatkan seseorang berasa cukup dihargai.
Majikan perlu melihat gaji dalam konteks yang lebih luas termasuk beban kerja, sumbangan pekerja dan peluang untuk berkembang dalam kerjaya.
Kriteria untuk kenaikan gaji dan tanggungjawab yang lebih besar juga perlu jelas.

(Gambar sekadar hiasan).
Pekerja mungkin boleh menerima “belum sekarang”, asalkan mereka tahu bila dan bagaimana keadaan itu boleh berubah.
3. Pekerja Yang Gembira Pun Boleh Burnout
Kembali kepada angka tadi — 70% pekerja Malaysia gembira di tempat kerja, tetapi 41% masih berasa burnout atau keletihan kerana pekerjaan.
Ini menunjukkan bahawa kebahagiaan di tempat kerja tidak semestinya bermakna semuanya baik-baik sahaja.
Seseorang boleh menyukai pekerjaan, rakan sekerja dan syarikatnya, tetapi pada masa yang sama tidak mampu mengekalkan rentak kerja yang sama untuk tempoh panjang.
Sebab itu majikan perlu melihat lebih daripada sekadar soalan “adakah pekerja kita happy?”
Beban kerja, tahap tekanan, kapasiti pasukan dan masa untuk berehat juga perlu diambil kira ketika menetapkan sasaran.
Check-in berkala tentang workload dan keadaan pasukan juga boleh membantu majikan mengenal pasti masalah lebih awal.
Daripada menunggu sehingga seseorang benar-benar burnout, lebih baik lihat tanda-tanda awal sebelum ia mula menjejaskan kesihatan pekerja dan prestasi perniagaan.
4. Fleksibiliti Bukan Bermaksud Kerja Tak Siap
Cara kerja diatur juga boleh menentukan siapa yang mampu kekal dalam sesuatu pekerjaan.

Bagi majikan yang mahu mendapatkan akses kepada kumpulan bakat yang lebih luas, fleksibiliti boleh menjadi salah satu penyelesaian.
Namun, fleksibiliti tidak semestinya bermaksud semua orang perlu bekerja dari rumah.
Bagi sesetengah pasukan, ia mungkin bermaksud waktu kerja yang lebih fleksibel. Untuk pekerjaan yang memerlukan kehadiran fizikal pula, ia boleh berupa jadual yang lebih konsisten atau sistem pertukaran syif.
Yang penting ialah majikan menetapkan hasil kerja, tahap kualiti dan keperluan perkhidmatan yang jelas, kemudian memberi pekerja ruang untuk menentukan cara terbaik mencapai perkara tersebut.
Dengan kepercayaan dan jangkaan yang jelas, fleksibiliti tidak perlu datang dengan mengorbankan produktiviti.
5. AI Bukan Sekadar Soal Teknologi, Tapi Soal Pekerja
AI semakin menjadi sebahagian daripada dunia pekerjaan, tetapi bagaimana ia diperkenalkan kepada pekerja juga penting.
Bagi majikan, persoalannya bukan hanya “teknologi AI apa yang patut kita gunakan?”
Sebaliknya, apa yang teknologi itu boleh bantu pekerja lakukan dengan lebih baik?
TalentCorp melalui program Jelajah AI MyMahir pada 8 Ogos 2026, misalnya, menghimpunkan pesara, pelajar, pekerja dan usahawan untuk pembelajaran praktikal berkaitan AI.
Program terdahulu turut mencapai komuniti termasuk di Kota Kinabalu dan Batu Sapi, menunjukkan bahawa pembelajaran kemahiran baharu tidak semestinya terhad kepada golongan atau lokasi tertentu.

Lebih penting, pekerja perlu tahu bagaimana peranan mereka mungkin berubah dan kemahiran baharu apa yang diperlukan.
Bagi pekerja yang masih di peringkat awal kerjaya, bimbingan dan maklum balas yang konsisten juga boleh membantu mereka membina keyakinan bersama kemahiran.
Tempat Kerja Lebih Baik, Perniagaan Pun Boleh Berkembang
Hari Malaysia bukan sekadar tentang meraikan apa yang telah kita bina sebagai sebuah negara.
Ia juga boleh menjadi masa untuk melihat bagaimana kita mahu membina tempat kerja untuk masa depan.

Kesemua ini akhirnya kembali kepada satu perkara: orang yang membina sesebuah perniagaan.
Kerana apabila pekerja boleh melihat masa depan mereka dalam organisasi yang sama, majikan bukan sahaja mendapat pekerja yang lebih produktif.
Mereka membina pasukan yang mahu berkembang bersama.
Dan mungkin itulah antara cara paling praktikal untuk kita terus membina Malaysia iaitu dengan membina tempat kerja yang lebih baik untuk rakyat Malaysia.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.