Now Reading
5,600 Pemain Sertai BEYBLADE X Merdeka Cup 2026, Catat Sejarah Pertandingan Nasional Pertama

5,600 Pemain Sertai BEYBLADE X Merdeka Cup 2026, Catat Sejarah Pertandingan Nasional Pertama

Susulan kejayaan dan sambutan terhadap edisi 2026, Kelab Gasing Beyblade merancang untuk menjadikan BEYBLADE X MERDEKA CUP sebagai acara tahunan.

In Brief
  • Lebih 5,600 peserta dari seluruh Malaysia menyertai BEYBLADE X Merdeka Cup 2026 di Sunway Wangsa Mall, mencipta sejarah pertandingan nasional pertama.
  • Pertandingan selama sembilan hari itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 merangkumi wang tunai dan produk eksklusif BEYBLADE X.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Lebih 5,600 peserta dari seluruh Malaysia menyertai BEYBLADE X MERDEKA CUP 2026 yang melabuhkan tirainya pada 6 September lalu di Sunway Wangsa Mall.

Lebih menarik, pemain dari pelbagai negeri termasuk Perlis, Johor, Sabah dan Sarawak turut hadir bersama pemain muda, pemain berpengalaman serta keluarga masing-masing, sekali gus mencipta satu pencapaian penting dalam perkembangan BEYBLADE X sebagai sukan kompetitif yang tersusun di Malaysia.

Foto: Sunway Malls

Grand Final kategori Elite yang berlangsung pada Ahad, 6 September, telah dirasmikan oleh Azmi Abdullah, Timbalan Pengarah Kanan, Tourism Malaysia.

Turut hadir ialah Ochiai Kiyoshi, Managing Director TOMY ASIA, yang mewakili pasukan jenama BEYBLADE X di peringkat serantau.

Pertandingan tersebut menyaksikan penyampaian hadiah keseluruhan bernilai RM30,000, merangkumi hadiah wang tunai, produk eksklusif BEYBLADE X serta barangan rasmi BEYBLADE X daripada Kelab Gasing Beyblade Malaysia.

Ketika berucap pada majlis berkenaan, Azmi berkata acara berasaskan komuniti seperti Merdeka Cup mempunyai potensi besar dalam menyumbang kepada event tourism di Malaysia.

Menurutnya, kehadiran keluarga dari pelbagai negeri untuk menyertai pertandingan turut memberi peluang kepada mereka untuk menginap, menjamu selera dan berbelanja di kawasan sekitar sepanjang tempoh acara.

Katanya, perkara itu juga selari dengan kempen Visit Malaysia 2026-2027 dalam mengetengahkan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk acara sukan, percutian keluarga dan acara bertaraf antarabangsa.

“Saya melihat potensi besar untuk kita pergi lebih jauh. Mengapa tidak kita impikan Kejohanan Beyblade Open Antarabangsa pada masa akan datang?

“Sekiranya kita mampu menarik peserta dari negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, selain Jepun dan Australia, untuk bertanding di Malaysia, ia pastinya dapat merancakkan sektor pelancongan dan membawa nama negara ke pentas antarabangsa.”

Kehadiran TOMY ASIA pada Grand Final turut mencerminkan hubungan yang semakin berkembang antara komuniti BEYBLADE X di peringkat akar umbi Malaysia dengan komuniti BEYBLADE X di rantau ini.

Pertandingan yang berlangsung selama sembilan hari dari 29 Ogos hingga 6 September 2026 itu menghimpunkan pemain berusia antara tujuh hingga 60 tahun, selain keluarga dan peminat BEYBLADE X dari seluruh negara.

Foto: Sunway Malls

Dianjurkan oleh Kelab Gasing Beyblade, Merdeka Cup bertujuan menunjukkan bagaimana gerakan sukan berasaskan komuniti mampu menyediakan peluang kepada generasi muda Malaysia untuk bertanding, mengasah kemahiran, membina persahabatan serta menyertai aktiviti sukan yang lebih tersusun.

Pertandingan Nasional Dengan Hadiah RM30,000

Antara tarikan utama Merdeka Cup ialah pertandingan kompetitif peringkat kebangsaan yang menampilkan dua kategori utama:

  • BEYBLADE X Under 12 — menyediakan platform kompetitif kepada pemain muda untuk mengembangkan kemahiran serta mendapatkan pengalaman dalam pertandingan sukan yang tersusun.
  • BEYBLADE X Elite — menghimpunkan pemain berpengalaman dan kompetitif untuk berentap pada tahap lebih tinggi.

Pertandingan itu menawarkan jumlah hadiah keseluruhan bernilai RM30,000, sekali gus menambahkan lagi keterujaan serta nilai kompetitif acara.

Kejohanan tersebut kemudiannya menyaksikan pemain terbaik negara dinobatkan sebagai juara bagi kedua-dua kategori pertandingan.

Foto: Sunway Malls

Bagi kategori Under 12, gelaran juara dimenangi Aqif Nur Iman Bin Muhd Fakhrul Rabbani, lapan tahun, dari Pahang.

Kakaknya, Arissa Nur Addin Binti Muhd Fakhrul Rabbani, 10, turut membuktikan kehebatan apabila menamatkan saingan di tempat kedua.

Sementara itu, kategori Elite menyaksikan Tan Yi Xian, 24, dari Wilayah Persekutuan muncul juara kebangsaan menggunakan Wizard Rod 1-60 Hexa, Shark Scale 3-60 J dan Red Aero Pegasus 1-70 LR.

Tempat kedua pula menjadi milik Maverick Chiong, 32, dari Selangor yang beraksi menggunakan Wizard Rod 1-60 Hexa, Shark Scale 1-50 Rush dan Hellsnether Freeball.

Usaha Perkukuh BEYBLADE X Sebagai Sukan Di Malaysia

Kelab Gasing Beyblade turut memperluaskan KSGB School Programme bagi memperkenalkan BEYBLADE X menerusi aktiviti berstruktur di sekolah, latihan guru dan hakim serta laluan pertandingan dari peringkat daerah, negeri hingga kebangsaan.

Foto: Sunway Malls

Setiausaha Kehormat Kelab Gasing Beyblade, Shahril Ramli, berkata Merdeka Cup bukan sekadar penganjuran sebuah pertandingan BEYBLADE yang besar, sebaliknya menjadi sebahagian daripada komitmen jangka panjang untuk membangunkan BEYBLADE X sebagai satu sukan di Malaysia.

“Merdeka Cup bukan sekadar mengenai penganjuran satu kejohanan BEYBLADE yang besar. Ia mencerminkan komitmen jangka panjang kami untuk membangunkan BEYBLADE X sebagai sukan di Malaysia.

“Kami mahu membangunkan sukan ini bermula daripada komuniti, mewujudkan peluang untuk pemain muda mengembangkan potensi mereka serta membina laluan yang menghubungkan sekolah, keluarga, kelab dan pertandingan kompetitif.”

Komuniti Jadi Nadi Perkembangan BEYBLADE X

Foto: Sunway Malls

Sebahagian besar strategi pembangunan Kelab Gasing Beyblade berteraskan komuniti BEYBLADE X.

Menerusi kejohanan komuniti, bengkel, aktiviti pemain dan sukarelawan terlatih, pemain baharu berpeluang mengenali sukan tersebut, manakala pemain berpengalaman pula dapat terus mengasah kemahiran mereka.

Sepanjang sembilan hari penganjuran, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti termasuk jualan pop-up produk dan barangan BEYBLADE X, pembelian produk BEYBLADE edisi terhad, pertandingan mini dengan hadiah istimewa serta cabutan bertuah.

Pelbagai aktiviti tersebut direka supaya acara berkenaan bukan hanya tertumpu kepada pemain kompetitif, malah turut mesra keluarga, pemain baharu dan komuniti BEYBLADE X secara keseluruhannya.

Sebagai sebuah pusat beli-belah kejiranan, Sunway Wangsa Mall komited dalam menyediakan ruang dan pengalaman yang mampu menghimpunkan keluarga serta komuniti.

Kerjasamanya bersama Kelab Gasing Beyblade menerusi Merdeka Cup 2026 mencerminkan komitmen tersebut, selain menyediakan platform kepada komuniti BEYBLADE X yang semakin berkembang untuk berkumpul, bertanding dan memperkenalkan sukan berkenaan kepada lebih ramai keluarga di Lembah Klang dan seluruh Malaysia.

Menurut Ai Vee Tan, Head of Strategic Marketing and Tenants Relations, Sunway Malls, sambutan daripada pemain BEYBLADE dan keluarga amat menggalakkan apabila pengunjung dari seluruh Malaysia hadir ke pusat beli-belah berkenaan untuk menyertai pertandingan kebangsaan tersebut.

“Kami melihat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pemain dan keluarga di pusat beli-belah ini, dengan pengunjung dari seluruh Malaysia datang untuk menyertai kejohanan kebangsaan BEYBLADE X terbesar.

“Bagi Sunway Wangsa Mall, acara ini mencerminkan peranan kami sebagai hab komuniti yang menghimpunkan keluarga untuk berkumpul, berhubung dan berkongsi pengalaman.

“Kami berbangga dapat menyediakan ruang untuk kumpulan peminat yang begitu bersemangat berkumpul, selain membawa acara berskala nasional lebih dekat kepada keluarga yang menjadikan kawasan ini sebagai kediaman mereka.”

Kerjasama Strategik

BEYBLADE X MERDEKA CUP 2026 direalisasikan menerusi sokongan dan kerjasama rakan strategik daripada pelbagai sektor termasuk lokasi, media, produksi, hiburan dan ekosistem BEYBLADE X.

Sunway Wangsa Mall bertindak sebagai Official Venue Sponsor Partner, sekali gus menyediakan lokasi bagi penganjuran acara sukan dan komuniti berskala besar itu.

Acara tersebut turut mendapat sokongan menerusi kerjasama strategik bersama Media Prima, Astro, One Universal Production (OUP), Animasia Studio, Prestasi, TAKARA TOMY dan ADK.

Kerjasama berkenaan menghimpunkan kepakaran dalam aspek lokasi, media, produksi, hiburan, jenama dan komuniti, sekali gus membantu Kelab Gasing Beyblade memperkukuh serta mengembangkan Merdeka Cup sebagai platform penting untuk pembangunan BEYBLADE X di Malaysia.

KSGB School Programme Terus Dikembangkan

Antara fokus utama pembangunan jangka panjang Kelab Gasing Beyblade ialah memperluaskan Kelab Gasing Beyblade (KSGB) School Programme.

Program tersebut direka untuk memperkenalkan BEYBLADE X dalam persekitaran sekolah menerusi aktiviti berstruktur yang menggabungkan elemen sukan, strategi, kerja berpasukan dan pembangunan diri.

Menerusi program itu, pelajar boleh mempelajari asas BEYBLADE X, menyertai aktiviti di sekolah dan seterusnya berkembang ke pertandingan antara sekolah, daerah, negeri dan kebangsaan.

Kelab Gasing Beyblade turut menyasarkan untuk membantu pihak sekolah menerusi pembangunan latihan guru dan hakim, modul sukan, pakej peralatan serta peluang pertandingan, sekali gus mewujudkan rangka kerja yang mampan bagi sekolah membangunkan aktiviti BEYBLADE X masing-masing.

Bakal Jadi Acara Sukan Merdeka Tahunan

Susulan kejayaan dan sambutan terhadap edisi 2026, Kelab Gasing Beyblade merancang untuk menjadikan BEYBLADE X MERDEKA CUP sebagai acara tahunan.

Langkah itu bakal mewujudkan platform kebangsaan secara berkala untuk pemain dan komuniti berkumpul setiap tahun sempena musim Merdeka.

Acara tahunan tersebut juga akan menjadi peluang untuk mengukur perkembangan sukan dari semasa ke semasa, mengiktiraf pemain serta sekolah berprestasi tinggi, memperkukuh penyertaan komuniti dan memperkenalkan pelbagai program serta inisiatif baharu.

Bagi Kelab Gasing Beyblade, Merdeka Cup hanyalah sebahagian daripada visi yang lebih besar dalam membangunkan ekosistem BEYBLADE X di Malaysia.

Objektif jangka panjang organisasi tersebut adalah untuk membina ekosistem sukan BEYBLADE X yang lengkap menerusi laluan:

KOMUNITI → SEKOLAH → DAERAH → NEGERI → KEBANGSAAN → ANTARABANGSA

Menerusi pelaburan berterusan dalam aspek pemain, sekolah, guru, hakim, kejohanan, ranking dan program komuniti, Kelab Gasing Beyblade menyasarkan untuk mewujudkan laluan yang mampan buat generasi pemain BEYBLADE X seterusnya di Malaysia.

Dengan lebih 5,600 peserta mengambil bahagian dalam Merdeka Cup 2026, KSGB percaya asas bagi sebuah komuniti sukan BEYBLADE X yang kukuh dan semakin berkembang kini sudah mula terbentuk.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd