Ini Kisah Bagaimana Sebiji Pisang Boleh Dijual Sehingga RM24 Juta
Selain daripada karya Comedian, Cattelan juga pernah menghasilkan sebuah tandas emas bertajuk America.
- Sebiji pisang yang dilekatkan pada dinding oleh Maurizio Cattelan berjaya dijual sehingga US$6.24 juta (RM25 juta) melalui lelongan Sotheby's.
- Pembeli Justin Sun, usahawan mata wang kripto, melihat pembelian itu sebagai fenomena budaya menghubungkan dunia seni, meme dan kripto.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sebuah karya seni sering dilihat dijual pada harga begitu mahal sehingga ramai orang bertanya dengan nada penuh persoalan.
Harga sebuah karya seni bukan sesuatu yang tidak masuk akal. Ia mengikut sebuah sistem berbeza daripada kebanyakan barang lain dalam kehidupan hari ini.
Contohnya seperti Comedian, sebiji pisang yang dilekatkan pada dinding menggunakan pita pelekat dihasilkan oleh artis Maurizio Cattelan, berjaya dijual pada harga mengejutkan iaitu US$6 juta (RM24 juta).
‘Comedian’ Muncul Pertama Kali Di Art Basel Miami Beach

Comedian mula-mula diperkenalkan kepada orang ramai ketika majlis pembukaan VIP Art Basel Miami Beach pada 4 Disember 2019 lalu.
Majlis itu turut dihadiri oleh beberapa selebriti terkenal seperti Leonardo DiCaprio, Michael Bay dan Travis Scott.
Selain itu, pelbagai karya seni yang bernilai tinggi turut dipamerkan dan memenuhi ruang seperti lukisan Helen Frankenthaler dan Willem de Kooning.
Namun, tarikan utamanya menjadi buah mulut semua orang adalah sebiji pisang yang dilekatkan pada dinding menggunakan pita pelekat.
Menurut seorang wartawan Artnet News, Sarah Cascone, karya itu dengan pantas tular selepas ia diperkenalkan.
“Dalam masa beberapa hari, Comedian telah viral menerima pelbagai reaksi daripada cemuhan, kagum, gelak tawa serta meme tiruan melibatkan pita pelekat dan pisang,” katanya.
Comedian Laku Dijual Dalam Sekelip Mata
Pada hari sama ia dipamerkan dua karya dihasilkan telah dijual pada harga US$120,000 (RM485,000) setiap satu.
Beberapa hari kemudian, edisi ketiga karya Comedian dibeli pada harga US$150,000 (RM600,000).
Setiap pembelian turut menerima sijil serta arahan cara mempamerkannya, termasuk keperluan untuk menggantikan pisang selepas ia basi.
Selepas itu, Comedian terus menjadi bualan hangat apabila segelintir orang mengagumi karya tersebut dan ada juga mengejek serta menjadikannya bahan jenaka.
Sebuah Karya Ringkas Yang Menjadi Terkenal Di Seluruh Dunia
Karya ini berjaya mencapai populariti yang melangkaui dunia seni sehingga ia dikenali di seluruh dunia dalam masa singkat.
Populariti itu turut membantu menaikkan lagi nilainya dalam pasaran jual beli karya seni.
Pada tahun 2024, edisi kedua karya Comedian telah dijual semula menerusi lelongan pada harga US$6.24 juta (RM25 juta).
Pembeli dikenali sebagai Justin Sun merupakan seorang usahawan dalam industri mata wang kripto.
Baginya, pembelian itu merupakan satu fenomena budaya yang menghubungkan dunia seni, meme serta komuniti mata wang kripto.
“Saya percaya karya ini akan mencetuskan lebih banyak pemikiran dan perbincangan pada masa hadapan serta akan menjadi sebahagian daripada sejarah,” ujarnya.
Justin turut menyatakan hasrat untuk makan karya tersebut sebagai satu pengalaman unik yang ramai tidak berpeluang untuk menikmatinya.
Tindakan tersebut dilihat menghormati kedudukan karya Comedian dalam sejarah seni serta budaya popular.
Ketua Seni Kontemporari Sotheby’s Amerika, David Galperin turut menyifatkan pembelian itu sebagai usaha untuk menjawab persoalan terbesar dalam dunia seni.
“Bagaimana anda hendak menilai sesuatu yang saya merupakan salah satu idea paling bijak dalam sejarah industri seni,” tambahnya.
Bukan Kali Pertama Cattelan Mencetus Kontroversi

Menerusi satu temu bual bersama The Guardian, Cattelan menegaskan bahawa karyanya sentiasa mempunyai maksud yang mendalam.
“Karya saya sentiasa serius.”
Untuk info, Cattelan sebelum ini turut menghasilkan sebuah tandas emas bertajuk America yang dipamerkan di Guggenheim, New York pada tahun 2016.
Menurut Pengarah Neue Nationalgalerie (NNG) di Berlin, Klaus Biesenbach, Cattelan sebenarnya merupakan seorang artist yang mempunyai fikiran mendalam.
“Cattelan mencapai satu tahap yang mudah didekati menerusi idea-idea yang mudah disampaikan serta difahami oleh orang ramai.”
Kontroversi Comedian Terus Menjadi Perbualan Sehingga Kini

Karya yang dilelong di Sotheby’s itu masih menjadi bahan perbincangan, sama ada ia sekadar gurauan ataupun kritikan terhadap keadaan dunia seni.
Pisang itu pernah ditanggalkan dan dimakan oleh seorang artis lain sebelum digantikan semula.
Malah, orang ramai turut berpusu-pusu datang untuk melihatnya sendiri sehingga karya Comedian terpaksa ditarik daripada pameran buat sementara waktu.
Di sebalik segala kontroversi itu, Sotheby’s tetap menyifatkan Cattelan sebagai “Antara artist paling bijak dalam Seni Kontemporari.”
“Beliau secara berterusan telah mengganggu status quo dunia seni dengan cara yang bermakna, tidak konvensional dan sering kali kontroversi,” tambah Sotheby’s.
Apa yang dilakukan oleh Cattelan adalah menjadikan karyanya sebagai cermin kepada dunia seni kontemporari.
“Ia mencetuskan pemikiran tentang bagaimana kita memberikan nilai kepada sesuatu karya seni, dan apa sebenarnya yang kita takrifkan sebagai karya seni,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 4 Karya Seni Terkait Skandal 1MDB Yang Bakal Diserahkan Ke Balai Seni Negara
Baca Artikel Berkaitan: Tikar Anyaman Dari Sabah Ini Dipamerkan Di Muzium Seni Prestij Di New York
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.