Now Reading
Dari TTDI Ke New York, Usahawan Malaysia Berjaya Cipta Platform Fesyen Raih RM12.3 Juta

Dari TTDI Ke New York, Usahawan Malaysia Berjaya Cipta Platform Fesyen Raih RM12.3 Juta

Menurut Yeng Tan, inspirasi menghasilkan Lekondo terhasil daripada kepelbagaian budaya di Malaysia.

In Brief
  • Usahawan Malaysia Yeng Tan mengasaskan Lekondo, platform teknologi fesyen berpusat di New York yang menghimpun lebih 100,000 pengguna di 50 negara.
  • Lekondo berjaya mengumpul dana sebanyak US$3 juta (RM12.3 juta) daripada pelabur terkemuka seperti Verdict Capital dan Andreessen Horowitz.
  • Membesar di TTDI, Kuala Lumpur, Yeng Tan mendapat ilham daripada kepelbagaian budaya Malaysia untuk mencipta platform fesyen unik ini.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Usahawan Malaysia, Yeng Tan sedang mencipta nama di pentas antarabangsa menerusi dunia teknologi fesyen.

Menerusi platform teknologi fesyennya, Lekondo, idea beliau semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat fesyen di seluruh dunia.

Menariknya, sejak dilancarkan pada Januari 2026, platform itu berkembang pesat sehingga menghimpunkan lebih 100,000 pengguna di lebih 50 buah negara.

Lekondo Berjaya Kumpul Dana Sebanyak US$3 Juta Untuk Kembangkan Platformnya

Yeng Tan (kanan) bersama Mitchell Overfield (kiri), pengasas Lekondo. (Foto: Speedrun)

Untuk info, Lekondo merupakan sebuah startup teknologi fesyen yang berpusat di New York.

Menurut The Star, mereka berjaya mengumpulkan kira-kira US$3 juta (RM12.3 juta) daripada pelabur seperti Verdict Capital, Andreessen Horowitz (a16z) SR serta DG Daiwa Ventures.

Melalui dana tersebut, Lekondo akan menyokong pembangunan dan pertumbuhan platformnya yang memberi fokus kepada fesyen.

Lekondo membolehkan pengguna memuat naik gaya pakaian harian, membina almari pakaian digital serta meneroka cara orang di seluruh dunia berpakaian.

Platform Fesyen Yang Memudahkan Anda Mencari Gaya Tersendiri

Menurut Yeng Tan yang merupakan salah seorang pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lekondo, platform itu memberi tumpuan kepada pakaian yang digayakan oleh orang ramai setiap hari.

Pendekatan ini berbeza daripada kebanyakan platform lain yang hanya bergantung pada tabiat pembelian dan carian pengguna sahaja.

“Kebanyakan teknologi memahami fesyen menerusi transaksi, iaitu apa yang anda beli, cari atau klik,” kata Tan.

Beliau meluahkan pendapat bahawa cara seseorang berpakaian setiap hari sebenarnya merupakan salah satu petunjuk kepada citarasa peribadi yang jauh lebih bermakna.

“Kami percaya apa yang pakaian gaya harian seseorang adalah petunjuk kepada citarasa peribadi terutamanya ketika teknologi menjadi perantara cara orang mengenali sesuatu produk,” tambahnya.

Suasana Toleransi & Kepelbagaian Budaya Di Malaysia Jadi Pencetus Idea

Membesar di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, Tan berkata persekitaran di Malaysia yang mempunyai kepelbagaian budaya mempengaruhi idea untuk tubuhkan Lekondo.

“Apa yang istimewa tentang membesar di Malaysia adalah anda tidak pernah jemu mencari inspirasi kerana terlalu banyak percampuran budaya di sini,” katanya.

Keindahan percampuran budaya itu jelas dapat dilihat menerusi makanan.

“Anda dapat melihatnya paling jelas menerusi makanan, apabila tradisi Melayu, Cina, India, Peranakan, kolonial dan orang asal saling meminjam antara satu sama lain selama beberapa generasi, dan fesyen juga berfungsi dengan cara yang sama.”

Seterusnya, Tan bukanlah orang baharu dalam dunia teknologi kerana sebelum ini beliau pernah membangunkan produk kecerdasan buatan (AI) di GoDaddy.

Dalam masa sama, rakan pengasasnya dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) syarikat itu, Mitchell Overfield pula pernah berkhidmat di Dropbox dan Microsoft.

Lekondo Dibina Sebagai Sebuah Ruang Ketiga Untuk Fesyen

Contoh gaya Amekaji. (Foto: Vogue)

Menurut Material Talk, Tan berkongsi bahawa Lekondo dibina sebagai sebuah ruang ketiga atau third space khusus untuk fesyen.

Tan dan pasukannya mula melakar beberapa kategori gaya bagi memahami fesyen lebih mendalam.

Antaranya seperti menghasilkan kategori gaya daripada formal kepada kasual, berani kepada halus, serta berwarna-warni kepada lembut.

“Kami menganggapnya sebagai satu roda atau flavour wheel untuk gaya, sama seperti yang digunakan oleh penggemar kopi.”

Tan turut mengaku bahawa perbandingan itu tidak begitu sempurna.

Menurutnya, kopi dinikmati oleh semua orang dengan cara yang lebih kurang sama, sedangkan pakaian sentiasa dipakai oleh individu dalam konteks tersendiri.

Walaupun begitu, kategori-kategori ini tetap berguna kerana ia membantu orang ramai meluahkan kenapa sesuatu gaya itu terasa cantik, menarik atau elegan.

“Selagi kita tidak mempunyai perkataan yang tepat, kita tidak dapat benar-benar dapat meluahkan sesuatu perkara melalui pakaian,” ujarnya.

Tambahan pula, reka bentuk Lekondo turut diilhamkan daripada karya falsafah terkenal, iaitu Tractatus Logico-Philosophicus oleh Ludwig Wittgenstein.

Ia membolehkan Lekondo meneroka bagaimana fesyen membentuk hubungan antara bahasa dan identiti seseorang.

Mereka juga berada di persimpangan antara teknologi dan seni. Malah, Lekondo mahu mencipta cara baharu orang ramai menilai diri sendiri dengan lebih jelas.

Menerusi platform itu, pengguna turut disajikan pelbagai terminologi, kamus serta ontologi yang memudahkan orang biasa memahami pelbagai genre fesyen.

Antara genre yang boleh diterokai termasuklah Amekaji, Athleisure, Bauhaus serta Brutalism.

Di samping itu, skopnya bukan sahaja terhad kepada dunia fesyen, ia juga merangkumi seni bina, seni halus, arca, subbudaya dan lain-lain.

Lekondo turut menghuraikan pelbagai jenama bagi membantu pengguna mencari dan membina gaya tersendiri.

Baca Artikel Berkaitan: Warna Hitam Bukan Lagi Pilihan Utama? Trend Fesyen Lelaki 2026 Kini Lebih Berani

Baca Artikel Berkaitan: Kenapa Baju-T Boxy Menjadi Kegilaan Ramai Lelaki Bergaya Tahun Ini?


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd