[Foto] Muzium Tekstil Merdeka Papar Koleksi Peribadi Tokoh Budayawan Negara Azah Aziz
Koleksi peribadi milik Allahyarhamah Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagoff itu merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional.
- Muzium Tekstil Merdeka (MTM) dibuka pada 21 Ogos di Menara Merdeka Maybank, meraikan warisan tekstil Alam Melayu.
- Koleksi peribadi Azah Aziz, merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional, menjadi teras utama MTM.
- MTM turut menjalankan pemeliharaan, pemuliharaan, penyelidikan dan pendokumentasian tekstil Alam Melayu untuk generasi akan datang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Muzium merupakan tempat penyimpanan objek yang bernilai baik dari segi sejarah mahupun budaya.
Bukan itu sahaja, ia turut menjadi lokasi untuk menjalankan usaha pemeliharaan dan pemuliharaan terhadap koleksi-koleksinya agar dapat dinikmati buat beberapa dekad ke hadapan.
Pada Ogos lalu, satu muzium baharu membuat kemunculan di tengah ibu kota yang diharap menjadi pemangkin kepada minat terhadap warisan tekstil Alam Melayu buat generasi akan datang.
Muzium Tekstil Merdeka, Ruang Budaya Bagi Raikan Warisan Tekstil Alam Melayu
Terletak di pekarangan Menara Merdeka Maybank, Muzium Tekstil Merdeka (MTM) yang dibuka oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd telah dilancarkan pada 21 Ogos lalu.
MTM berkata muzium tersebut merupakan ruang budaya yang didedikasikan untuk memelihara, memulihara dan meraikan warisan tekstil Alam Melayu.
Dengan tema ‘The Malay World in Threads and Tales’, MTM menampilkan lapan galeri serta pusat pengajian yang merangkumi makmal konservasi, perpustakaan fabrik dan pusat pengetahuan tekstil.
Memetik Awani, lapan galeri di MTM itu bertemakan motif Bunga Pecah Lapan yang meneroka evolusi tekstil Alam Melayu dari aspek budaya material, ketukangan, simbolisme, spiritualiti, politik, kesusasteraan serta masa depan tradisi tekstil.
Bukan sahaja memaparkan penceritaan menerusi koleksi artifaknya, MTM turut membawa pengalaman budaya interaktif dan elemen multisensori buat para pengunjung.

Koleksi Tokoh Budayawan Negara Azah Aziz Jadi Teras Utama MTM
Asas pameran di MTM ialah koleksi peribadi milik Allahyarhamah Sharifah Azah Syed Mohammed Alsagoff atau lebih dikenali sebagai Azah Aziz, iaitu isteri kepada Almarhum Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Abdul Hamid dan bonda bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Ungku Zeti Akhtar Aziz.
Koleksi yang disumbangkan kepada PNB itu merangkumi 240 helai busana dan 69 barangan perhiasan tradisional termasuk sarung songket, baju kurung limar dan tekat emas.
Di samping itu, MTM turut mengambil inspirasi daripada karya berprestij oleh Azah yang juga merupakan tokoh budayawan Melayu, ‘Rupa & Gaya: Busana Melayu’ yang mengetengahkan tekstil Melayu sebagai cerminan identiti, sejarah, budaya dan masyarakat.
“Melalui koleksi Azah Aziz, MTM mempersembahkan perspektif yang unik terhadap sejarah, seni pertukangan dan identiti budaya Alam Melayu, demi menginspirasikan generasi hari ini dan akan datang,” ujar MTM.
MTM Turut Lakukan Pemeliharaan & Pemuliharaan Koleksi Tekstil
Selain itu, Galeri 7 pula mempamerkan karya para pereka fesyen tersohor dari Malaysia dan serantau seperti Ruzzgahara, Tangsi dan TOTON.

Bukan sekadar menjadi tempat pameran bagi koleksi tekstil, busana dan perhiasan Alam Melayu milik Azah Aziz, MTM turut berfungsi dalam pemeliharaan dan pemuliharaannya.
Ini termasuklah dalam:
- Mempromosikan seni dan kehalusan pertukangan tekstil Alam Melayu.
- Menjalankan penyelidikan, pendokumentasian serta berkongsi ilmu mengenai tekstil Alam Melayu.
- Mengetengahkan kepentingan tekstil Alam Melayu sebagai legasi warisan budaya.
- Menghidupkan semula seni penghasilan tekstil serta budaya menggayakan dan mengenakan busana Alam Melayu dalam kalangan masyarakat.
Buat Tempahan Sebelum Berkunjung Ke MTM
MTM masih belum dibuka secara rasmi, namun orang ramai kini boleh menghadiri ke pratonton dengan membuat tempahan tarikh kunjungan terlebih dahulu [DI SINI].
Kemasukan sehingga 1 Oktober adalah percuma dan slot adalah terhad.
View on Threads
View on Threads
Baca Artikel Berkaitan: Tikar Anyaman Dari Sabah Ini Dipamerkan Di Muzium Seni Prestij Di New York
Baca Artikel Berkaitan: Ini 4 Karya Seni Terkait Skandal 1MDB Yang Bakal Diserahkan Ke Balai Seni Negara
Baca Artikel Berkaitan: Galeri Muara Arts Bakal Dibuka, Beri Tumpuan Pada Karya Seni Moden & Kontemporari Asia Tenggara
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.