Berusia Lebih 100 Tahun, Mahkota Kesultanan Kelantan Pamer Kepakaran Kesenian Tukang Melayu
Selain daripada Mahkota Diraja, Alat-Alat Kebesaran Negeri merangkumi Gendek, Keris Kerajaan, Tepak, Cogan Alam dan Cogan Agama.
- Mahkota Kesultanan Kelantan yang berusia lebih 100 tahun dipamerkan buat pertama kalinya kepada umum di Festival Senjata Warisan Kelantan 2026.
- Mahkota unik ini dihasilkan oleh tukang Melayu tempatan, mengandungi 721 butir berlian dan 44 butir zamrud daripada penambahan sultan-sultan terdahulu.
- Selain Kelantan, empat Kesultanan Melayu lain iaitu Johor, Selangor, Terengganu dan Brunei turut memiliki mahkota kebesaran diraja tersendiri.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Suatu ketika dahulu, kebanyakan Kesultanan Melayu mendapatkan mahkota kebesaran mereka dari England.
Berbeza bagi negeri Kelantan apabila mahkota kebesarannya dihasilkan oleh tukang Melayu tempatan yang dipercayai berasal dari Kampung Kubang Pasu, memiliki keunikan tersendiri.
Mahkota berusia lebih 100 tahun itu buat pertama kalinya dipamerkan kepada umum sempena Festival Senjata Warisan Kelantan 2026 di Istana Balai Besar, Kota Bharu yang berlangsung dari 16 Ogos hingga Sabtu ini (5 September).
Mahkota Yang Mula Digunakan Sejak 28 April 1921

Menurut Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamed Safaruddin Ismail, mahkota itu diilhamkan oleh Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Muhammad IV yang memerintah negeri Kelantan dari tahun 1920 hingga 1944.
Mahkota tersebut mula digunakan sejak 28 April 1921 sempena istiadat pertabalan baginda.
Dalam istiadat berkenaan, mahkota itu dipakaikan kepada Sultan Ismail oleh Tengku Temenggung Abdul Ghaffar ibni Almarhum Sultan Muhammad II, menjadi sebahagian daripada sejarah pemerintahan Kesultanan Kelantan.
“Keunikan mahkota yang dihasilkan oleh Tukang Melayu memperlihatkan kemahiran pertukangan emas masyarakat tempatan pada ketika itu mampu menghasilkan alat kebesaran diraja dengan nilai seni begitu tinggi,” tambah beliau.
Mahkota Ini Mengandungi 721 Butir Berlian & 44 Butir Zamrud
Asalnya, mahkota ini dihasilkan daripada 16 bungkal emas sepuluh serta ukiran motif daun ‘dala’ muda.
Di bahagian atasnya pula terdapat lambang bulan sabit dan bintang pecah lima yang beralaskan baldu biru raja.
Menariknya, mahkota ini turut melalui proses penambahan oleh Sultan-sultan Kelantan yang lain selepas Sultan Muhammad IV.
Contohnya, sebanyak 470 butir berlian serta 52 butir zamrud dan delima ditambah ketika pemerintahan Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim.
“Mahkota ini satu-satunya mahkota bagi Kesultanan Kelantan dan biasanya hanya dibawa keluar untuk diletakkan di sebelah kanan singgahsana ketika sambutan Hari Keputeraan Sultan, jadi bukan semua orang berpeluang melihatnya secara dekat,” tambah Safaruddin.
Menjadi Tarikan Utama Festival Senjata Warisan Kelantan 2026

Pemilihan mahkota sebagai tarikan utama festival tahun ini turut mengambil kira minat orang ramai terhadap pameran alat kebesaran Kesultanan Kelantan sebelum ini.
Antaranya seperti pameran keris Tok Chu bersama Sampir Kuseriwa (2024) dan artifak ufti diraja Bunga Emas (2025).
Malah, pahar untuk meletakkan mahkota itu juga diperbuat daripada emas tulen 999 dan dianggarkan seberat hampir satu kilogram (kg).
“Sepanjang festival ini, kawalan keselamatan yang ketat dilaksanakan membabitkan anggota keselamatan awam,” kata Safaruddin.
Festival ini turut menampilkan pelbagai senjata tradisional, pitis serta khazanah warisan negeri Kelantan yang lain.
Ia juga berpotensi untuk menerima lebih ramai pelancong asing terutama dari Indonesia, susulan penerbangan terus Jakarta-Kota Bharu yang disokong melalui peningkatan kemudahan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,
Empat Lagi Kesultanan Melayu Turut Memiliki Mahkota Kebesaran Diraja

Selain Sultan Kelantan, terdapat empat lagi Kesultanan Melayu yang memiliki dan menggunakan mahkota sebagai alat kebesaran utama ketika majlis pertabalan.
Kesultanan Melayu tersebut ialah Johor Darul Ta’zim, Selangor Darul Ehsan, Terengganu Darul Iman serta Brunei Darussalam.
Bagi Kesultanan Johor, mahkotanya diilhamkan sendiri oleh Sultan Abu Bakar selepas negeri itu diiktiraf sebagai sebuah Kesultanan yang berdaulat menerusi Perjanjian 11 Disember 1885 dengan British.
Menariknya, mahkota Kerajaan Johor dan Mahkota Permaisuri Johor ditempah khas daripada syarikat tukang emas diraja J.W. Benson di London pada tahun 1886.
Johor turut mencatat sejarah sebagai negeri Melayu pertama yang mengadakan istiadat pertabalan menggunakan mahkota diraja moden, iaitu pada 29 Julai 1886.
Sementara itu, mahkota Kesultanan Selangor pula dihasilkan oleh dua orang tukang emas Melayu yang berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang, menggunakan emas dari Pahang serta permata dan batu delima.
Mahkota Diraja Kesultanan Terengganu pula mula digunakan sempena istiadat pertabalan Almarhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada tahun 1920, dan turut berusia lebih daripada 100 tahun.
Keunikan mahkota Kesultanan Terengganu adalah mempunyai reka bentuk menyerupai seperti songkok berbanding Raja-Raja Eropah.
Ia juga lengkap dengan lambang bulan sabit dan bintang pecah lima di bahagian hadapannya. Bahagian bahawa dihiasi baldu kuning diraja dan diperbuat daripada emas putih.
Manakala bagi Kesultanan Brunei pula, sejarah mahkotanya dikatakan lebih tua dan berkait rapat dengan evolusi alat kebesarannya sejak zaman sebelum negara itu capai kemerdekaan.
Diperbuat daripada emas dan batu permata turut mengandungi unsur bulan sabit melambangkan agama Islam sering digunakan semasa istiadat tertentu.
Malah, ia juga menjadi lambang pemerintahan Sultan Brunei sebagai Ketua Negara dan Ketua Agama Islam Brunei.
Baca Artikel Berkaitan: Angkat Sumpah Agong Ke-17, Ini Latar Belakang Mengenai Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Baca Artikel Berkaitan: Ini Empat Buku Karya Sultan Nazrin Shah Yang Mengupas Sejarah Ekonomi Dan Sosial Malaysia
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.