Kluang RailCoffee Sambut Ulang Tahun Ke-88, Belanja Sarapan Pagi & Beri Sumbangan Kepada NCSM
Kluang RailCoffee kini mempunyai 12 cawangan di seluruh negara menghidangkan pelbagai makanan kegemaran seperti Nasi Lemak, Mee Wantan dan Laksa Johor.
- Kluang RailCoffee celebrated its 88th anniversary by donating RM88,000 to NCSM, raised through the Laksa Johor fundraising campaign.
- Hundreds of members of the public enjoyed free breakfast at the original Kluang Railway Station outlet, where it all began in 1938.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dalam dunia yang bergerak pantas, tidak banyak perniagaan hari ini mampu bertahan sehingga hampir sembilan dekad lamanya.
Kluang RailCoffee membuktikan sebaliknya apabila masih berdiri teguh sejak pertama kali membuka pintunya pada tahun 1938.
Kopitiam ini meraikan Ulang Tahun Ke-88 dengan cara yang paling bermakna, iaitu dengan memberi kembali kepada masyarakat.
Sambutan Diadakan Di Stesen Kereta Api Kluang, Tempat Segalanya Bermula

Sempena sambutan istimewa ini, Kluang RailCoffee menganjurkan Sarapan Penghargaan Komuniti, meraikan hampir sembilan dekad warisan bersama komuniti serta usaha berterusan memberi kembali kepada masyarakat.
Menariknya, sambutan itu diadakan di Stesen Kereta Api Kluang yang bersejarah, iaitu lokasi asal Kluang RailCoffee membuka pintunya kepada para pelanggan.
Tambahan pula, sambutan ini turut menjadi penghargaan kepada pelanggan, tenaga kerja, rakan niaga serta komuniti yang setia menyokong Kluang RailCoffee sepanjang 88 tahun ini.
Sumbangan RM88,000 Disampaikan Kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM)

Antara acara utama sambutan itu ialah penyampaian sumbangan RM88,000 kepada NCSM, mencerminkan kepercayaan Kluang RailCoffee bahawa setiap pencapaian bermakna perlu membawa impak kepada masyarakat.
Sumbangan itu berjaya dikumpulkan menerusi Kempen Pengumpulan Dana Laksa Johor, sebuah inisiatif yang mempunyai nilai sentimental dan makna istimewa buat jenama tersebut.
Di sebalik kempen itu, seorang pekerja Kluang RailCoffee yang disayangi dan memperkenalkan hidangan Laksa Johor telah meninggal dunia selepas berjuang melawan kanser.
Sebagai tanda penghormatan, Kluang RailCoffee menyalurkan sokongan kempen berkenaan kepada NCSM, sekali gus mengabadikan salah satu sajian popular mereka sebagai simbol harapan buat pesakit kanser di Malaysia.
Cek sumbangan tersebut telah disampaikan oleh pemilik generasi ketiga syarikat, Lim Jit Tong (Barney) dan Lim Jit Chen (Jack), kepada pihak NCSM.
Ratusan Orang Awam Dapat Menikmati Sarapan Percuma

Dari jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi, ratusan orang awam berkumpul di cawangan asal Kluang RailCoffee untuk menikmati sarapan percuma.
Menerusi Sarapan Penghargaan Komuniti itu, jenama tersebut menyampaikan penghargaan tulus kepada pelanggan dan penduduk tempatan yang menjadikannya sebahagian daripada sejarah Kluang.
Dalam masa sama, ia turut mengukuhkan kedudukannya sebagai antara jenama kopitiam warisan yang paling disayangi di Johor.
Selain itu, sambutan tersebut turut menghimpunkan wakil daripada agensi kerajaan, Ahli Parlimen, organisasi pelancongan, pemimpin masyarakat, rakan niaga dan wakil media bagi bersama-sama memperingati pencapaian penting ini.
Bagi Kluang RailCoffee, 88 Tahun Bukan Sekadar Angka
Mengimbau perjalanan sepanjang 88 tahun, Kluang RailCoffee berkata ulang tahun ini merupakan sebuah penghargaan kepada insan dan komuniti yang menyokong jenama itu sepanjang perjalanannya.
“Bagi kami, 88 tahun bukan sekadar angka. Ia melambangkan begitu ramai insan yang pernah melangkah masuk ke premis kami, menikmati hidangan bersama keluarga dan menjadikan Kluang RailCoffee sebahagian daripada kehidupan mereka.
Kembali ke stesen kereta api ini, tempat segalanya bermula pada tahun 1938, merupakan cara kami mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan kami,” kata Barney, pemilik generasi ketiga Kluang RailCoffee.
Setiap Mangkuk Laksa Johor Menjadi Legasi
Sambutan ulang tahun ini memberi peluang untuk mengimbau kembali perkara yang penting seperti dikatakan oleh Jack, pemilik generasi ketiga Kluang RailCoffee.
“Ulang Tahun Ke-88 memberi kami peluang untuk mengimbau kembali perkara yang penting. Di sebalik warisan kami, hubungan yang telah dibina sepanjang hampir sembilan dekad inilah menentukan siapa kami sebenarnya.”
“Sokongan kepada NCSM dekat di hati kami kerana kanser telah memberi kesan kepada keluarga Kluang RailCoffee. Rakan sekerja kami yang memperkenalkan Laksa Johor dalam menu kami telah meninggal dunia akibat kanser, dan kami mahu mengenang jasanya dengan cara yang bermakna,” tambah Jack.
Kluang RailCoffee Akan Berusaha Untuk Pelihara Warisannya

Melangkah ke masa hadapan, Kluang RailCoffee tekad untuk memelihara warisan kopitiam di stesen kereta api tersebut.
Malah, jenama ini ingin terus berinovasi, memberikan perkhidmatan terbaik serta menyumbang kembali kepada komuniti yang menyokongnya sejak turun-temurun.
Kluang RailCoffee kini mempunyai 12 cawangan di seluruh negara, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati cita-rasa autentik dan warisan yang bermula di Stesen Kereta Api Kluang pada tahun 1938.
Seiring dengan perkembangan syarikat, jenama itu kekal berdedikasi untuk membawa tradisi, kualiti serta layanan mesra yang sama kepada setiap pelanggan.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.