Istana Sepachendera: Kisah Cinta Sultan Kedah Kepada Isterinya Dibina Guna Telur Putih & Madu Lebah
Istana ini turut menyaksikan empat anak Sultan Kedah diputerakan, iaitu Tunku Sulung, Tunku Rokiah, Tunku Zam Zam dan Tunku Laksamana.
- Istana Sepachendera dibina pada 1882 oleh Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai tanda cinta kepada permaisuri baginda, Che Sepachendera.
- Dakwaan istana ini dibina menggunakan telur putih dan madu lebah masih mitos, belum terbukti kesahihannya oleh para sejarawan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Di bumi Jelapang Padi, Kedah berdiri sebuah istana lama bernama Sepachendera yang menyimpan kisah cinta agung seorang sultan kepada permaisurinya.
Istana itu dibina pada tahun 1882 oleh Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai tanda kasih buat isteri pertama baginda, Che Sepachendera.
Kisah cinta di sebalik pembinaannya sering dibandingkan dengan Taj Mahal di India, iaitu monumen cinta Shah Jahan buat isterinya Mumtaz Mahal.
Istana Yang Dibina Sebagai Tanda Cinta Sultan Kedah Kepada Permaisurinya

Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah yang memayungi Kedah dari tahun 1881 hingga 1943 merasakan cintanya kepada permaisuri tidak cukup melalui lafaz kata-kata sahaja.
Oleh itu, baginda telah membina sebuah istana sebagai hadiah buat Che Sepachendera hanya setahun selepas menaiki takhta, sebagai bukti cinta yang lebih bermakna.
Menurut sejarah, Che Sepachendera dipercayai merupakan seorang bangsawan yang berasal dari Siam.
Di istana itu jugalah empat orang anakanda baginda diputerakan, iaitu Tunku Ibrahim bergelar Tunku Sulong, Tunku Rokiah, Tunku Zam Zam serta Tunku Kasim.
Keempat-empat mereka membesar dengan penuh bahagia bersama ayahanda dan bonda di dalam istana tersebut.
Istana Sepachendera Pernah Dikenali Sebagai Istana Kampung Baru
Istana Sepachendera dahulunya dikenali sebagai Istana Kampung Baru, sempena nama lokasinya yang sudah hilang dari peta negeri akibat era arus pemodenan.
Selain itu, istana ini mempunyai keunikan tersendiri yang menggabungkan seni bina Siam dan Melayu Lama.
Bangunan istana tiga tingkat ini direka dalam bentuk simetri, lengkap dengan dinding melengkung di kedua-dua sisinya.
Gerbang di bahagian teres istana pula disokong oleh tiang kukuh, manakala tangga yang berliku turun ke kiri dan kanan seolah ingin membawa anda ke zaman dahulu.
Tambahan pula, lidah batu menjulur dari anjung istana dilihat seolah menyimpan rahsia yang hanya dinding ini sahaja mengetahuinya.
Walaupun istana ini sudah tua dan usang sehingga beberapa elemen seni binanya hilang, ia masih mengekalkan gaya klasik.
Namun, wajah istana mewah ini mula berubah selepas kemangkatan Che Sepachendera yang pernah menjadi permaisuri kepada Sultan Kedah ke-26.
Kisah Mitos Istana Sepachendera: Telur Putih Dan Madu Lebah

Seperti mana-mana bangunan purba yang menyimpan sejarah, Istana Sepachendera juga tidak terlepas daripada cerita mitos serta kisahnya.
Antaranya seperti dakwaan menggunakan telur putih dan madu lebah ketika proses pembinaannya yang dipercayai mampu menguatkan struktur istana tersebut.
Namun, menurut sejarawan Dr. Ibrahim, dakwaan tersebut tidak dapat dipastikan kesahihannya.
“Sebenarnya, kami tidak dapat pasti adakah benar istana ini menggunakan telur putih dan madu lebah. Namun sekitar tahun 1882, teknologi simen sudah pun berkembang. Mungkin gambaran penggunaan telur putih dan madu lebah itu sekadar mitos atau kepercayaan orang lama.”
Dr. Mohd. Kasri turut berpendapat bahawa sejauh mana kebenaran penggunaan bahan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu oleh pakar bangunan.
Susur galur Che Sepachendera sendiri juga agak kabur kerana permaisuri itu dikatakan bukan berdarah raja sebaliknya berasal daripada keluarga bangsawan.
“Che Sepachendera, permaisuri pertama baginda, dikatakan menerima istana ini sebagai lambang cinta dan darjat, meskipun berasal daripada keluarga bangsawan dan bukan berdarah raja.”
Istana Sepachendera Berdiri Di Atas Tanah Warisan Yang Bernilai Tinggi
Di sebalik keunikannya, kedua-dua sejarawan ini bersependapat bahawa istana tersebut mampu menyumbang kepada pembangunan negeri Kedah, terutamanya dalam sektor pelancongan.
Menurut Dr. Ibrahim, istana itu wajar dibaik pulih dan dikekalkan kerana ia bakal membawa banyak manfaat, meskipun terdapat beberapa kekangan.
“Wajar istana ini dibaik pulih dan dikekalkan sebab ada banyak manfaat. Cuma mungkin ada kekangan, contohnya istana ini berada di atas tanah kerajaan negeri dan ia diwartakan sebagai tanah warisan,” tambahnya.
Sekiranya sebuah bangunan dan tanah diisytiharkan sebagai warisan, setiap bangunan lain di sekelilingnya perlu mempunyai jarak tertentu selaras dengan enakmen warisan.
Walaupun begitu, beliau berkata jika istana lama itu berjaya dibangunkan, ia mampu membawa banyak manfaat dari sudut ekonomi pelancongan memandangkan kedudukannya yang strategik di tengah bandar raya, Alor Setar.
Bagi Dr. Mohd. Kasri pula, kesedaran masyarakat tentang kepentingan warisan inilah yang mampu menjadi langkah awal untuk melindunginya, sekiranya kekangan kewangan menjadi faktor utama.
“Istana ini berada dalam zon segi tiga emas bandar raya ini. Perkara itu menjadikannya sangat unik dan berharga. Semangat cinta terhadap sejarah dalam kalangan masyarakat inilah mampu pelihara kewujudan istana itu.”
Baca Artikel Berkaitan: Istana Raja Muda Bakal Lenyap? Netizen Bantah & Minta Kaji Semula Keputusan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.