Now Reading
16 Lokasi Seluruh Negara Catat IPU Tidak Sihat, Ambil Langkah Berjaga-Jaga

16 Lokasi Seluruh Negara Catat IPU Tidak Sihat, Ambil Langkah Berjaga-Jaga

Setakat 10 pagi tadi (26 Ogos), IPU tertinggi dicatatkan di Sri Aman, Sarawak (166), diikuti IPD Serian (164) dan Nilai, Negeri Sembilan (162).

In Brief
  • Sebanyak 16 kawasan mencatatkan IPU tidak sihat setakat jam 10 pagi pada 26 Ogos, dengan Sarawak dan Lembah Klang antara yang tertinggi.
  • Orang ramai dinasihatkan mengurangkan aktiviti luar rumah, memakai pelitup muka N95 dan minum air secukupnya semasa jerebu berterusan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Situasi jerebu di seluruh negara dilihat semakin teruk apabila semakin banyak lokasi mula menunjukkan kualiti udara yang tercemar.

Bukan hanya disebabkan oleh cuaca panas dan kering sahaja, jerebu juga boleh berpunca daripada pembakaran terbuka.

Memandangkan jerebu membawa bersama partikel halus yang berbahaya, orang ramai dinasihati agar mengurangkan aktiviti di luar rumah agar tidak terdedah kepada udara kotor.

16 Kawasan Catat IPU Tidak Sihat

Setakat jam 10 pagi hari ini (26 Ogos), sebanyak 16 kawasan mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu antara 101 ke 200.

Sarawak dan Lembah Klang mencatatkan antara IPU tertinggi, seperti berikut:

  1. Sri Aman, Sarawak (166)
  2. IPD Serian, Sarawak (164)
  3. Nilai, Negeri Sembilan (162)
  4. Samarahan, Sarawak (162)
  5. Cheras, Kuala Lumpur (159)
  6. Putrajaya (158)
  7. Shah Alam, Selangor (157)
  8. Seremban, Negeri Sembilan (157)
  9. Johan Setia, Selangor (157)
  10. Tangkak, Johor (153)
  11. Batu Muda, Kuala Lumpur (152)
  12. Banting, Selangor (137)
  13. Klang, Selangor (123)
  14. Bukit Rambai, Melaka (123)
  15. Alor Gajah, Melaka (110)
  16. Petaling Jaya, Selangor (109)

Jumlah ini menunjukkan penurunan berbanding semalam (25 Ogos), dengan 32 lokasi mencatatkan IPU tidak sihat.

Dalam masa sama, 50 kawasan mencatatkan tahap IPU Sederhana (51-100), manakala dua lagi berada pada tahap sihat.

Pun begitu, episod jerebu di Malaysia dijangkakan berpanjangan selagi negara masih berada dalam fasa Monsun Barat Daya (MBD).

Orang ramai di media sosial turut berkongsi keadaan jerebu yang teruk di ibu negara, sehingga mengganggu penglihatan dan menghasilkan bau asap.

View on Threads

Jerebu Dipercayai Akibat Pembakaran Terbuka & Asap Dari Negara Jiran

Menurut laporan MalayMail, jerebu yang berterusan boleh dikaitkan dengan musim kemarau berpanjangan terkait fenomena El Niño, ketiadaan hujan dan pembakaran terbuka yang berleluasa di negara dan di peringkat serantau berdasarkan kepada penilaian oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Di Sarawak di mana beberapa lokasi hampir mencapai IPU Sangat Tidak Sihat (lebih 200), pihak berkuasa mengenal pasti asap dari negara jiran dan pembakaran hutan serta tanah gambut sebagai punca utama jerebu.

Memetik CNA, ASEAN Specialised Meteorological Centre sebelum ini mengenal pasti 287 hotspot jerebu di Kalimantan dan 65 di Sumatera, Indonesia.

Manakala Malaysia mempunyai 11 kawasan hotspot termasuk Sarawak (8), Johor (2) dan Selangor (1).

Apa Perlu Buat Ketika Jerebu?

Dalam pada itu, orang ramai dinasihati agar mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang tempoh jerebu teruk di dalam negara.

Ini termasuklah mengelakkan atau mengurangkan pergerakan dan aktiviti di luar rumah agar tidak terdedah kepada udara tercemar.

Jika perlu ke kawasan luar bangunan, gunakan pelitup muka yang bersesuaian seperti jenis N95, N99 atau KN95 bagi menapis partikel halus berbahaya yang dibawa jerebu.

Elakkan juga bahagian dalam rumah daripada tercemar dengan menutup tingkap dan pintu, serta kurangkan aktiviti yang meningkatkan pencemaran udara dalaman seperti merokok.

Ketika menaiki kereta, tetapkan penyaman udara kepada mod kitaran udara dalaman (recirculation).

Jangan lupa untuk minum air yang secukupnya juga bagi mengelakkan masalah kesihatan seperti sakit tekak, batuk dan dehidrasi.

Gunakan face mask yang dan minum banyak air betul ketika musim jerebu.

Simptom Kesihatan Akibat Jerebu

Dalam masa sama, perhatikan gejala kesihatan yang boleh dialami akibat pendedahan berterusan kepada jerebu, termasuk:

  • Kerongkong atau tekak terasa gatal dan kerap batuk
  • Hidung berair dan kerap bersin
  • Rasa sukar bernafas atau sesak nafas
  • Mata rasa pedih dan berair
  • Kulit badan terasa gatal
  • Rasa sakit dada

Segera dapatkan rawatan sekiranya simptom di atas semakin teruk, terutamanya jika mengalami sesak nafas atau batuk berpanjangan.

Batuk dan pedih mata antara simptom akibat terdedah kepada jerebu.

Baca Artikel Berkaitan: Semakin Banyak Kawasan Catat IPU Tidak Sihat, Ini Tips Hadapi Jerebu


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd