Now Reading
Ikea Kuching Bakal Dibuka Disember Ini, Bawa Konsep Gedung Berskala Kecil Pertama Di Malaysia

Ikea Kuching Bakal Dibuka Disember Ini, Bawa Konsep Gedung Berskala Kecil Pertama Di Malaysia

IKEA Kuching akan menjadi cawangan kelima IKEA Malaysia di dalam negara.

In Brief
  • IKEA Kuching akan menjadi cawangan pertama di Malaysia Timur dan gedung berskala kecil pertama di Malaysia, dijangka dibuka Disember 2026.
  • IKEA Kuching menawarkan penyelesaian kelengkapan rumah yang relevan dengan keperluan komuniti tempatan serta peluang pekerjaan buat rakyat Sarawak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


IKEA merupakan salah satu destinasi membeli-belah pilihan khususnya buat mereka yang mahu mendapatkan perabot dan peralatan rumah.

Merupakan sebuah jenama dari Sweden, produk yang ditawarkan oleh IKEA juga sering menjadi pilihan kerana kualiti yang bagus dengan harga berpatutan.

Setakat ini, terdapat empat cawangan IKEA di seluruh Malaysia iaitu:

  • IKEA Damansara, Selangor
  • IKEA Cheras, Kuala Lumpur
  • IKEA Tebrau, Johor Bahru
  • IKEA Batu Kawan, Pulau Pinang

IKEA Akan Buka Cawangan Pertama Di Malaysia Timur

Terbaharu, satu lagi cawangan IKEA akan dibuka di Kuching, Sarawak sekali gus menjadi gedung pertama jenama itu di Malaysia Timur.

Menurut Pengarah IKEA Malaysia, Malcolm Pruys, pembukaan itu akan membawa pengalaman membeli-belah IKEA semakin dekat dengan masyarakat Sarawak serta akses yang lebih mudah dan relevan dengan kehidupan mereka.

“Kami telah mendengar maklum balas pelanggan di Sarawak dan teruja kerana IKEA Kuching tidak lama lagi bersedia untuk menerima kehadiran mereka.

“Hasrat kami adalah untuk mewujudkan kehidupan seharian yang lebih baik kepada orang ramai. IKEA Kuching membawa kami selangkah lebih dekat untuk mencapainya,” katanya dipetik TVS.

IKEA Kuching Bawa Konsep Gedung Berskala Kecil

Membawa sedikit perbezaan berbanding cawangan-cawangan sedia ada, IKEA Kuching juga akan menjadi gedung pertama di dalam negara dengan konsep berskala kecil.

Walaupun hadir dengan konsep skala kecil, namun IKEA Kuching turut memberi peluang kepada para pelanggan untuk meneroka ruang pameran seolah-olah di kediaman sebenar.

Pembukaan cawangan baharu itu menawarkan penyelesaian kelengkapan rumah dan pilihan produk yang boleh terus dibawa pulang pada hari sama.

Pelanggan juga akan menerima akses kepada rangkaian produk IKEA yang lebih pelbagai, sama ada bagi melakukan penambahbaikan kecil, merancang sesebuah ruang atau melengkapkan keseluruhan kediaman.

IKEA Kuching Mahu Sediakan Penyelesaian Bagi Komuniti Setempat Di Sarawak

Sebelum IKEA Kuching dibuka kepada orang ramai, syarikat itu telah mengadakan kunjungan ke kediaman penduduk tempatan bagi memahami keperluan, cabaran dan aspirasi masyarakat tempatan.

Tinjauan mendapati bahawa rata-rata kediaman di Kuching dipengaruhi oleh nilai kekeluargaan, kebersamaan dan budaya meraikan tetamu, dengan ruang tamu dan ruang makan digunakan untuk pelbagai aktiviti.

Dalam masa sama, penduduk setempat turut berdepan cabaran dari aspek penyusunan dan penyimpanan tidak kira bagi kediaman bertanah mahupun bertingkat.

Pruys berkata, pihaknya mahu pelanggan yang mengunjungi IKEA Kuching dapat melihat penyelesaian kelengkapan rumah yang mencerminkan kehidupan mereka sendiri.

“Sama ada menyediakan ruang untuk keluarga berkumpul, mencari kaedah lebih baik untuk menyusun barangan harian atau memanfaatkan sepenuhnya sesuatu ruang, kami mahu menawarkan penyelesaian yang berguna, mampu dilaksanakan dan relevan,” katanya.

Ikea Kuching Sedia Peluang Pekerjaan Buat Rakyat Tempatan

Dalam masa sama, pembukaan IKEA Kuching sekali gus menawarkan peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Menerusi pembentukan pasukan tenaga kerja baharu, bakat tempatan diberi peluang untuk berkembang bersama syarikat itu.

Setakat ini, tarikh pembukaan rasmi IKEA Kuching masih belum diumumkan, namun cawangan kelima itu dijangkakan akan dibuka menjelang Disember 2026.

Maklumat lanjut mengenai cawangan itu juga akan dimaklumkan kemudian.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd