Now Reading
Bintang Fast & Furious, Sung Kang Bakal Ke Malaysia Oktober Ini

Bintang Fast & Furious, Sung Kang Bakal Ke Malaysia Oktober Ini

Sung Kang dijadualkan akan ke Malaysia sebagai tetamu khas bagi Tokyo Auto Salon Malaysia (TASM) 2026 yang berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober ini.

In Brief
  • Sung Kang, yang terkenal sebagai Han Lue dalam Fast & Furious, dijangka hadir sebagai tetamu khas di TASM 2026.
  • Tokyo Auto Salon Malaysia 2026 akan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober di MAEPS, Selangor, dengan konsep automotif Jepun.
  • Tiket TASM 2026 akan mula dijual hujung bulan ini, bermula pada harga RM48 dengan pelbagai kategori tersedia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


‘Fast & Furious’ merupakan antara francais filem terbesar oleh Universal Picture yang telah meraih lebih USD 7 bilion (RM28.28 bilion) di peringkat global.

Peminat kenderaan automotif pastinya tidak mahu melepaskan peluang ini apabila bintang Fast & Furious, Sung Kang, dilaporkan bakal ke Malaysia pada bulan Oktober ini.

Kang yang memainkan watak ikonik Han Lue dijangka akan membuat penampilan sebagai tetamu khas di Tokyo Auto Salon Malaysia (TASM) 2026.

Sung Kang Mula Terkenal Dengan Watak Han Lue

Sung Kang merupakan pelakon Amerika Syarikat-Korea yang dikenali bagi lakonannya sebagai Han Lue dalam francais Fast & Furious, bermula dengan ‘The Fast and the Furious: Tokyo Drift (2006)’.

Kang pada mulanya memainkan Han di dalam ‘Better Luck Tomorrow’ (2002), yang merupakan watak utama dalam filem kanon francais Fast & Furious dan mengisahkan latar belakang Han sebelum itu.

Dia juga dikenali kerana memegang watak Sam Kim dalam filem ‘The Motel’ dan Doran dalam ‘Forbidden Warrior’.

Kang turut terlibat dalam parodi drama Korea ‘Tae Do (Attitudes and Feelings, Both Desirable and Sometimes Secretive)’ di MADtv.

Pada tahun 2022, Kang membawa watak Fifth Brother dalam siri ‘Obi-Wan Kenobi’ yang ditayangkan di platform penstriman Disney+.

Bukan sahaja dalam bidang lakonan, Kang juga telah membuat pengarahan pertamanya dalam komedi seram ‘Shaky Shivers’.

TASM 2026 Bawa Konsep Jepun Sebagai Bandar Automotif

TASM pada tahun ini akan berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober 2026 di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Selangor.

Dengan konsep “Step Into Japan’s Ultimate Ignition City”, TASM 2026 membawa suasana budaya automotif Jepun buat para pengunjung.

Memetik Mekanika, antara segmen utama yang dijadualkan di acara tersebut termasuk pameran kereta ubah suai, perhimpunan komuniti JDM, aktiviti sukan permotoran, penyertaan tuner terkenal dan demonstrasi drift secara langsung.

Bukan itu sahaja, malah TASM 2026 juga bakal menjadi platform bagi menghimpunkan komuniti automatif dalam kalangan rantau Asia Tenggara, termasuk pemilik kenderaan, pengubah suai profesional, jenama automotif, pencipta kandungan serta peminat kenderaan.

TASM 2026 disasarkan sebagai destinasi gaya hidup automotif yang melangkaui pameran kenderaan semata-mata, sebaliknya turut meraikan kreativiti, teknologi, budaya dan semangat komuniti dalam dunia automotif moden.

Sung Kang Dijemput Sebagai Tetamu Istimewa TASM 2026

Dalam pada itu, kehadiran Kang sebagai tetamu khas di TASM 2026 dijangka menjadi antara tarikan utama bukan sahaja buat peminat automotif, tetapi juga penggemar filem aksi Fast & Furious.

Namun info lanjut mengenai kedatangannya ke Malaysia masih belum dimaklumkan.

Menurut Mekanika, tiket bagi TASM 2026 akan mula dijual pada hujung bulan ini dengan harga bermula RM48.

Antara kategori tiket yang disediakan termasuk Early Bird, Student Pass, Family Pass, Early Entry Pass, Collector Fast Lane, 3-Day Access Combo serta pakej VIP Experience.

TASM sebelum ini dikenali sebagai Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur yang telah dianjurkan selama tiga tahun dari 2023 hingga 2025.

Baca Artikel Berkaitan: Automechanika KL 2026 Buka Peluang Baharu Industri Automotif & EV Malaysia


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd