[EKSKLUSIF] Kiyoshiro, Hourglass & Eden Hall Dimiliki Oleh Anak Muda 29 Tahun Ini, Faris Kaiser
Faris mula membuka kafe pertamanya, Kiyoshiro Brew, pada usia 25 tahun menggunakan modal yang dikumpul sendiri.
- Faris Kaiser, 29, memiliki tiga buah kafe di Ipoh: Kiyoshiro Brew, Hourglass Coffee dan Eden Hall.
- Bermula dengan berniaga di tepi jalan pada usia 18 tahun, Faris juga pernah bekerja sebagai barista sebelum membuka kafe pertama ketika berumur 25 tahun.
- Merupakan pemilik tunggal tanpa rakan kongsi, Faris bakal membuka sebuah kedai piza New York-style tidak lama lagi dan restoran berkonsep affordable fine-dining menjelang 2027.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Ipoh merupakan satu destinasi pelancongan yang menjadi pilihan pengembara di dalam mahupun luar negara.
Cukup sinonim dengan minuman kopi, banyak kafe telah dibuka di ibu negeri Perak itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini, memberi pilihan yang pelbagai buat orang ramai.
Di sebalik kesibukan pekan tua itu, seorang anak muda sedang mengembangkan empayar perniagaannya tersendiri berkat usaha dan kegigihan yang ditunjukkan lebih satu dekad.
Faris Kaiser Pemilik Kiyoshiro Brew, Hourglass Coffee & Eden Hall
Anak muda berusia 29 tahun, Faris Kamaruddin, atau lebih dikenali sebagai Kaiser kini memiliki dan mengendalikan tiga kafe di tengah pekan Ipoh.
Bermula dengan Kiyoshiro Brew pada tahun 2022, perniagaannya mula berkembang apabila Hourglass Coffee pula dibuka tidak berapa lama kemudian.
Lokasinya yang terletak berhampiran restoran Plan B berjaya menarik lebih ramai pelanggan khususnya dalam kalangan pelancong dari luar negara.
Perjalanannya tidak terhenti di situ. Setahun kemudian dia dimaklumkan mengenai sebuah ruang kosong di tingkat 4 bangunan yang menempatkan Hourglass Coffee.
Di situlah lahirnya Eden Hall pada Mac 2025, kini menjadi antara lokasi ‘wajib hadir’ bagi sesiapa yang berkunjung ke Ipoh.
Tidak lama lagi, Ipoh bakal menyaksikan satu lagi kafe yang dibuka oleh Faris dengan konsep yang berbeza dan lebih fresh.

Faris Bermula Dengan Berniaga Di Tepi Jalan, Pernah Jadi Barista Juga
Perjalanan Faris dalam dunia perniagaan tidaklah mudah dan dia terpaksa berdepan banyak kegagalan sebelum kafe-kafenya mula mendapat perhatian ramai.
Bercakap kepada TRPbm, Faris berkata dia mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan sejak berumur 18 tahun, iaitu dengan menjual coneydog di gerai tepi jalan yang disifatkan sebagai satu kegagalan.
Dia kemudiannya menggali pengalaman dengan menjadi barista di sebuah jenama kopi terkemuka kira-kira setahun lebih.
Kegagalan buat pertama kali tidak menjadi penghalang kepadanya untuk meneruskan perniagaan apabila Faris mula menjual oden sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pandemik COVID-19.
Hasil pendapatan yang dikumpul daripada perniagaan itu, Faris berjaya membuka kafe pertamanya, Kiyoshiro Brew pada Julai 2022, sewaktu baru sahaja berusia 25 tahun.
Pada tahun yang sama, Faris membuka Kiyoshiro 2.0, namun cawangan pertama terpaksa ditutup apabila tuan kedai menjual lokasi itu kepada perniagaan lain.

Anime Buka Mata Faris Terhadap Bidang F&B
Tanpa sebarang pendidikan formal dalam bidang masakan, Faris yang gilakan anime berkata minat memasaknya mula timbul apabila menonton Food Wars!: Shokugeki no Soma.
Kesemua menu makanan dan minuman yang dihidangkan di ketiga-tiga kafe itu telah dihasilkan sendiri oleh Faris, kecuali hidangan pasta yang berada di bawah kelolaan seorang cef lain.
Pengalaman Faris sebagai seorang barista juga semestinya banyak membantu dalam menghasilkan pelbagai jenis minuman di kafenya, sama ada kopi, matcha mahupun minuman lain.
Dia juga pernah mendapat pengalaman sebagai kitchen helper yang membentuk sebahagian besar kemahirannya dalam industri F&B.

Tidak Kekalkan Nama Kafe Sama Kerana Mahu Sesuaikan Dengan Konsep Berbeza
Mengulas tentang pemilihan nama berlainan bagi setiap kafe yang dibuka tanpa mengekalkan jenama sama, Faris berpendapat saiz Ipoh yang agak kecil tidak sesuai bagi sebuah jenama untuk membuka cawangan berbeza.
Setiap kafe yang dimiliki oleh anak muda ini bukan sahaja datang dengan nama yang berlainan, tetapi turut membawa konsep, persekitaran, makanan malah identiti kopi berbeza.

Anime juga sedikit sebanyak memberi inspirasi kepadanya untuk menamakan kafe Kiyoshiro dengan nama dan konsep ala-ala Jepun.
Nama Eden Hall pula diambil dari anime Glass of God yang mengisahkan tentang pelayan bar atau pembuat minuman.
Manakala nama Hourglass adalah berdasarkan kepada ‘jam pasir’ yang membawa maksud ‘tidak mahu membuang masa’, frasa yang amat sesuai dengan diri Faris sendiri.

Faris Bergerak Solo, Tiada Partner Atau Shareholder Sama Sekali
Walaupun tanpa sebarang latar belakang formal dalam industri F&B mahupun perniagaan, Faris tidak membiarkan ketakutan menjadi penghalang terhadap impiannya.
Jika kebanyakan pemilik syarikat mempunyai pengasas bersama atau rakan kongsi, namun tidak bagi Faris.
Katanya, dia lebih selesa mengendalikan perniagaannya dengan sendiri secara sole ownership tanpa melibatkan individu lain. Buatnya, kehadiran rakan kongsi boleh membuatkan sukar untuk seseorang pemilik syarikat membuat keputusan.
Setakat ini, setiap idea yang dijana dan keputusan perniagaan dibuat oleh Faris sendiri.
Empayar perniagaan yang dicipta oleh Faris bukan sahaja menjadi kejayaan peribadinya, tetapi turut membuka peluang pekerjaan buat anak-anak muda Ipoh, termasuk mereka tanpa sebarang pengalaman.
“Setiap kedai yang saya buka, saya akan hasilkan sistem dan SOP dahulu sebelum lepaskan kepada staf. Kalau ada orang dah kerja dengan saya dan berhenti, saya nak mereka boleh buka kafe sendiri berdasarkan sistem yang dah dipelajari,” katanya.

Bakal Buka Kedai Piza & Restoran Berkonsep Affordable Fine-Dining
Kini, Faris bakal membuka kedai keempat yang memberi fokus terhadap menu piza New York Style, menjadi satu lagi pesaing dalam industri piza di Ipoh.
Kedai keempat ini bukanlah yang terakhir. Faris berkata rancangan yang seterusnya dan mungkin terakhir adalah untuk membuka restoran dengan konsep fine-dining yang mampu dirasai oleh semua golongan masyarakat menjelang tahun 2027.
Ketika team TRPbm ke Eden Hall untuk berjumpa dengan Faris, usahawan itu juga sempat berkongsi sedikit nasihat buat anak muda yang ingin memulakan perniagaan F&B tetapi masih diselubungi kebimbangan.
“Kalau dah ada idea, teruskan sahaja. Jangan fikir sangat. Sudah tentu kena pastikan ada modal, tapi kalau tak cukup pun teruskan dulu. Jatuh 10 kali pun, bangun lagi. Semua akan jadi sebahagian daripada pengalaman,” katanya.

[Review] Eden Hall
Eden Hall boleh dikatakan merupakan perniagaan milik Faris yang paling berjaya antara ketiga-tiga kafe.
Terletak di bahagian rooftop, restoran itu menawarkan pelanggan pemandangan sekitar pekan Ipoh dengan latar belakang gunung-ganang yang mengelilingi lembah itu.
Pada waktu malam, melihat langit yang terbentang luas seolah-olah memberi pengalaman makan malam di bawah hamparan bintang.
Mungkin itulah yang menjadikan Eden Hall sebagai lokasi tumpuan buat pelanggan dari luar dan dalam Ipoh.
Malah layanan yang diberikan oleh Faris sendiri juga penuh kehangatan dan pelanggan tidak akan terasa seperti orang asing di Eden Hall.

Menu yang disediakan di Eden Hall juga pelbagai. Dari makanan ringan hinggalah ke hidangan berat. Antara menu yang sempat kami cuba ialah:
- Spicy Creamy Streaky Beef (RM26)
- Fish and Chips (RM25)
- Chicken Tenders (RM18)
- Matcha-Misu Latte (RM14)
- Asian Dolce Latte (RM12)
- Chocolate Cream Chip (RM12)
Dengan saiz hidangan yang boleh dikongsi dan harga yang ditawarkan, menu di Eden Hall boleh dikatakan mampu milik untuk orang ramai.

Eden Hall
- Lokasi: Tingkat 4, 89, Jalan Sultan Yusuf, 30000 Ipoh, Perak
- Waktu Operasi: Setiap hari, 11am-11pm
- Instagram: Eden Hall
Kiyoshiro Brew
- Lokasi: 190-B, Jalan Sultan Idris Shah, 30300 Ipoh, Perak
- Waktu Operasi: Setiap hari, 4pm-2am
- Instagram: Kiyoshiro Brew
Hourglass Coffee
- Lokasi: 89-91, Jalan Sultan Yusuf, 30000 Ipoh, Perak
- Waktu Operasi: Setiap hari, 11am-12am
- Instagram: Hourglass Coffee
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.