Dari KL Ke Hangzhou Dengan Scoot: Apa Muslim Traveller Perlu Tahu Sebelum Melancong Ke Bandar Ini
- Makanan halal ada di Hangzhou, terutama di kawasan seperti Zhongshan Road, Hefang Street dan sekitar Phoenix Mosque, tapi kena research awal.
- Muslim travellers perlu rancang waktu solat lebih awal, kenal pasti lokasi masjid berdekatan dan bawa sejadah travel sepanjang perjalanan.
- Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Hangzhou boleh dilakukan melalui Scoot dengan transit di Singapura, menjadikan perjalanan lebih fleksibel dan mudah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bila nak travel, antara perkara pertama yang kita fikirkan sebagai Muslim ialah sama ada sesuatu destinasi itu mudah untuk kita jalani sepanjang trip.
Sebelum berangkat, boleh jadi berjam-jam kita Google lokasi makanan halal, tempat solat, restoran Muslim-friendly dan perkara asas lain yang perlu disediakan.
Satu lagi perkara yang sering buat kita teragak-agak ialah komunikasi. Risau susah nak berkomunikasi, susah nak bertanya atau takut tersalah faham.
Tapi sebenarnya, persepsi bahawa sesebuah destinasi itu “susah untuk Muslim” tak semestinya terpakai untuk semua aspek.
Hangzhou, Wilayah Zhejiang, China
Bandar di wilayah Zhejiang, China ini mungkin bukan destinasi pertama yang terlintas apabila merancang percutian, lebih-lebih lagi bagi Muslim travellers yang belum pernah ke China.

Namun, selepas melihat sendiri bagaimana kehidupan di bandar ini, Hangzhou sebenarnya tidaklah sesukar yang dibayangkan, cuma perjalanan ke sini memerlukan sedikit lebih banyak perancangan.
Makanan Halal Ada, Tapi Kena Buat Persediaan Jauh Lebih Awal
Antara perkara paling penting untuk Muslim travellers sudah tentu makanan.
Di Hangzhou, pilihan makanan halal memang ada, terutamanya di beberapa kawasan sekitar bandar. Kawasan seperti Zhongshan Road dan Hefang Street, misalnya, mempunyai pilihan restoran yang menyajikan makanan halal.


(Foto: Siti Murni/TRP)
Kawasan sekitar Phoenix Mosque juga boleh menjadi antara lokasi yang dimasukkan dalam itinerari sekiranya anda mahu mencari makanan halal sambil melihat sisi sejarah komuniti Muslim di Hangzhou.
Cuma, jangan datang dengan jangkaan bahawa setiap restoran akan mempunyai pilihan halal!
Masakan tempatan Hangzhou juga mempunyai hidangan yang menggunakan bahan seperti daging khinzir, jadi Muslim travellers perlu lebih berhati-hati ketika memilih makanan dan sebaiknya membuat sedikit research terlebih dahulu.
Daripada baru mencari restoran ketika sudah lapar, lebih baik simpan beberapa pilihan restoran halal dalam telefon sebelum keluar berjalan.
Solat Pun Perlukan Perancangan Awal!
Perkara sama terpakai untuk waktu solat.
Hangzhou mempunyai beberapa masjid, termasuk Phoenix Mosque, tetapi jangan mengharapkan setiap tarikan pelancongan menyediakan ruang solat khusus seperti yang mungkin biasa ditemui di sesetengah destinasi mesra Muslim.
Jadi, itinerari yang terlalu padat mungkin bukan pilihan terbaik.
Simpan waktu solat, kenal pasti lokasi masjid berdekatan dan bawa sejadah travel. Kalau mahu bergerak jauh dari kawasan bandar, lebih baik rancang terlebih dahulu di mana anda boleh berhenti untuk menunaikan solat.

Jalan, jalan juga. Solat jangan tinggal ya.
Apa Yang Menarik Di Hangzhou Ini?
Selepas selesai membuat persiapan, apa yang menanti ialah pengalaman travel yang agak berbeza daripada gambaran China yang sering kita lihat.
Hangzhou bukan sekadar bandar dengan bangunan tinggi dan kesibukan metropolitan.

(Foto: Siti Murni/TRP)
Ia terkenal dengan West Lake, kawasan tanaman teh Longjing, taman-taman hijau, terusan serta kawasan old town yang masih mempunyai sisi tradisionalnya.
Kalau anda jenis yang suka travel secara perlahan dan tidak terlalu mengejar banyak tempat dalam sehari, Hangzhou mungkin lebih sesuai daripada yang disangka.
Pagi boleh dimulakan dengan berjalan di sekitar West Lake, menikmati pemandangan tasik dan kehijauan yang mengelilinginya.
Kemudian, perjalanan boleh diteruskan ke kawasan Longjing untuk melihat ladang teh atau singgah ke kawasan old town bagi merasai suasana Hangzhou yang lebih tradisional.

(Foto: Siti Murni/TRP)
Daripada memenuhi itinerari dengan sebanyak mungkin tempat, Hangzhou lebih sesuai dinikmati dengan pace yang sedikit perlahan.
Fly Dari Kuala Lumpur – Singapura – Hangzhou Dalam Masa Beberapa Jam Sahaja
Bagi yang pertama kali ke Hangzhou, perjalanan dari Kuala Lumpur juga tidak semestinya terlalu rumit.
Salah satu pilihan ialah penerbangan Scoot dari Kuala Lumpur dengan transit di Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Hangzhou.
Transit ini juga memberi peluang untuk menyusun perjalanan dengan lebih fleksibel, terutama bagi mereka yang tidak kisah mengambil penerbangan dengan satu persinggahan.
Yang penting, sebelum berangkat, pastikan semak jadual penerbangan terkini dan tempoh transit supaya perjalanan lebih selesa.
Seperti kami yang pertama kali terbang ke Hangzhou baru-baru ini dengan membawa bayi berusia 8 bulan, waktu transit dari KL ke Singapura adalah lebih kurang tiga jam.
Jadi kami memanfaatkan masa yang ada ketika berada di Changi Airport untuk ke Baby Room bagi menukar lampin, membuat susu untuk bayi dan menenangkan keadaan sementara menunggu flight ke Hangzhou.
Happy baby, happy parents.
Jadi, Adakah Hangzhou Mudah Untuk Muslim?
Jawapannya bukanlah “semuanya mudah”.
Tetapi ia juga bukan destinasi yang perlu dielakkan hanya kerana anda risau tentang makanan halal, solat atau komunikasi.
Sebaliknya, Hangzhou mungkin mengajar kita satu perkara tentang travel iaitu tak semua destinasi perlu sempurna untuk kita nikmati. Kadang-kadang, kita cuma perlu datang dengan sedikit lebih persediaan.
Dan apabila semuanya sudah dirancang, kita boleh mula menikmati apa yang Hangzhou sebenarnya tawarkan seperti tasik yang tenang, kehijauan, budaya teh, kawasan bersejarah dan pengalaman melihat China daripada perspektif yang lebih perlahan.
Mungkin Hangzhou bukan destinasi paling mudah untuk Muslim travellers. Tapi mungkin, ia juga tidak sesukar yang kita bayangkan. Tapi tak salah untuk cuba pergi sendiri dan merasai pengalaman ini.
Perjalanan Yang Penuh Pengalaman Baharu Dengan ‘Spider-Man’
Sebut sahaja Spider-Man, memang ramai yang terus teruja. Jadi, bayangkan kalau perjalanan ke destinasi percutian pun bermula dengan pengalaman menaiki pesawat bertemakan superhero ikonik ini.
Itulah pengalaman yang ditawarkan Scoot menerusi kolaborasinya bersama Sony Pictures untuk Spider-Man: Brand New Day.
Baca Artikel Berkaitan: [Foto] Naik Pesawat Spider-Man? Scoot Tampil Dengan Kabin Tema Spider-Man: Brand New Day
Menerusi kerjasama ini, sebuah pesawat Scoot ditransformasikan dengan elemen bertemakan filem tersebut diikuti dengan headrest cover khas di dalam kabin.
Kami sendiri berpeluang merasai pengalaman ini menerusi perjalanan 4 hari 3 malam ke Hangzhou, China, dari 22 hingga 25 Julai 2026 lalu, dengan penerbangan Scoot yang membawa tema Spider-Man: Brand New Day.
Dan mungkin itu yang menjadikan perjalanan kali ini sedikit berbeza.
Sebelum sampai ke Hangzhou, pengalaman bercuti sudah pun bermula sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam pesawat.
Bagi peminat Spider-Man, melihat elemen ikonik watak tersebut menghiasi ruang kabin memang memberikan rasa teruja yang tersendiri.
Untuk beberapa jam, perjalanan yang biasanya sekadar menjadi “part of the trip” terasa seperti sebahagian daripada pengalaman itu sendiri.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.
Siti Murni Azman is a Malaysian journalist and editor currently serving as Head Writer and Assistant Editor for The Rakyat Post BM. Known for her relatable and distinctly local storytelling, she frequently covers lifestyle topics including food, café culture, entertainment, consumer trends, and viral social conversations, while also contributing across multiple editorial pillars. Before joining The Rakyat Post, she was involved in social media marketing for AirAsia BIG Rewards, where she worked on digital campaigns and audience engagement. Beyond editorial work, she also manages sponsored content and client collaborations, working closely with brands on digital storytelling tailored for Malaysian audiences.