Nak Rambut Tebal & Sihat? Boleh Cuba Amalkan Pumpkin Seed Oil
Pumpkin seed oil boleh menghalang peningkatan 5-alpha reductase untuk mengurangkan masalah keguguran rambut.
- Pumpkin seed oil kaya dengan omega-3, omega-6, vitamin E, zink dan phytosterols yang menyokong kesihatan folikel rambut serta mengurangkan keguguran rambut.
- Kajian menunjukkan pengambilan pumpkin seed oil boleh meningkatkan jumlah rambut sehingga 40% dalam tempoh 24 minggu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pumpkin seed oil kini sering disebut sebagai bahan yang kaya dengan nutrien sihat dan mampu memberi manfaat kepada kulit kepala serta rambut.
Ini kerana memiliki rambut sihat, lebat dan panjang adalah salah satu impian ramai orang sehingga sanggup melakukan pelbagai terapi seperti menggunakan minyak rosemary, peptida dan cahaya merah untuk mendapatkannya.
Tambahan pula, minyak yang turut dikenali sebagai minyak biji labu dilihat sebagai salah satu bahan untuk mendapatkan rambut lebih sihat serta tebal.
Minyak Ini Kaya Dengan Nutrien Yang Menyokong Kesihatan Rambut

Menurut laporan Vogue, keistimewaan pumpkin seed oil terletak pada kandungan nutrien yang tinggi.
Pakar dermatologi dan dermatopatologi, Brendan Camp menjelaskan bahawa minyak ini kaya dengan asid lemak yang baik untuk sel-sel badan.
“Pumpkin seed oil mengandungi asid lemak penting, terutamanya omega-3 dan omega-6, yang membantu mengekalkan membran sel sihat serta menyokong fungsi sel dengan betul.”
“Ia juga mengandungi antioksidan seperti vitamin E, zink dan phytosterols yang boleh membantu melindungi folikel rambut daripada stres oxidative dan keradangan, iaitu dua faktor boleh menyumbang kepada masalah keguguran rambut,” tambahnya.
Gabungan nutrien ini mewujudkan persekitaran yang menyokong kesihatan kulit kepala, kesihatan folikel rambut serta penghasilan keratin sambil mengurangkan potensi kerosakan.
Kajian Menunjukkan Potensi Pumpkin Seed Oil Boleh Mencegah Keguguran Rambut
Dalam laporan sama yang memetik kajian terbitan Journal of Cosmetic Dermatology pada 2021 menyatakan bahawa keberkesanan pumpkin seed oil dalam merawat keguguran rambut pada wanita telah dikaji dan menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Menerusi kajian itu, pumpkin seed oil turut dibandingkan dengan rawatan penyuburan rambut dikenali sebagai minoxidil dalam tempoh 3 bulan.
Salah satu teori di sebalik keberkesanannya pula terletak pada kandungan phytosterols.
Phytosterols dipercayai boleh menghalang peningkatan 5-alpha reductase, enzim yang menukar testosteron kepada dihidrotestosteron (DHT).
DHT pula sering dikaitkan dengan masalah keguguran rambut baik lelaki mahupun wanita dan secara teorinya, menurunkan kadar DHT boleh mengurangkan masalah keguguran rambut.
Pumpkin Seed Oil Berpotensi Untuk Meningkatkan 40% Jumlah Rambut

Satu kajian pada tahun 2014 telah mengkaji kesan pumpkin seed oil sebanyak 400 miligram (mg) terhadap penyuburan rambut dalam kalangan lelaki yang mengalami masalah keguguran rambut, dalam tempoh 24 minggu.
Hasil kajian itu mendapati, purata jumlah rambut telah meningkat sebanyak 40% dalam kumpulan yang mengambil minyak tersebut, berbanding peningkatan 10% dalam kumpulan plasebo.
“Pumpkin seed oil dapat menyokong penyuburan rambut dengan membekalkan asid lemak penting dan nutrien yang menggalakkan kesihatan folikel serta mengurangkan keradangan,” kata Dr Camp.
“Persekitaran kulit kepala yang sihat amat penting untuk penyuburan rambut dan aktiviti antioksidan dalam minyak ini boleh melindungi folikel daripada mengalami kerosakan.”
Kebaikan antioksidan dan nutrien dalam pumpkin seed oil boleh meningkatkan kualiti serta ketebalan rambut baharu dari semasa ke semasa.
Pumpkin Seed Oil Boleh Diminum Atau Dijadikan Minyak Sapu

Menariknya, pumpkin seed oil boleh didapati dalam bentuk kapsul atau minyak.
“Sekiranya fokus utama adalah untuk mengurangkan rambut gugur atau menggalakkan pertumbuhan baharu, saya mengesyorkan suplemen cecair atau kapsul sebagai langkah utama. Penggunaan produk sapuan kulit kepala pula bertindak sebagai pelengkap,” kata Dr. Camp.
Sementara itu, pakar rambut Shab Caspara pula lebih gemar mengesyorkan kaedah sapu dengan penggunaan derma roller.
“Derma roller membantu meningkatkan kadar penyerapan, sekali gus membolehkan sebatian aktif dalam pumpkin seed oil meresap ke dalam folikel rambut.”
Kedua-dua pakar ini bersetuju bahawa pumpkin seed oil paling berkesan apabila dijadikan sebahagian daripada rutin anda.
Selain itu, anda boleh gandingkannya dengan tabiat pemakanan sihat, penjagaan kulit kepala baik, mengekalkan penjagaan rambut serta menggunakan rawatan yang terbukti secara klinikal dapat bantu mengurangkan masalah keguguran rambut.
Baca Artikel Berkaitan: Rambut Gugur Secara Mendadak? Ini Tips Dari Dr Malar
Baca Artikel Berkaitan: Mungkin Ramai Tak Tahu, Kafein Dalam Kopi Boleh Mengurangkan Masalah Keguguran Rambut
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.