Now Reading
Riyadh Air Bawa Keajaiban Disney Ke Udara, Kanak-Kanak Terima Kit Eksklusif Mickey & Friends

Riyadh Air Bawa Keajaiban Disney Ke Udara, Kanak-Kanak Terima Kit Eksklusif Mickey & Friends

CUTE!

In Brief
  • Riyadh Air bekerjasama dengan Disney untuk menawarkan kit eksklusif Mickey & Friends kepada kanak-kanak berusia 0 hingga 11 tahun.
  • Kit kemudahan berbeza disediakan mengikut kumpulan umur dan jenis penerbangan, merangkumi pelbagai item menarik dan kreatif.
  • Pengalaman Disney turut diperluas kepada hiburan dalam pesawat dan waktu makan bertemakan watak Disney kegemaran kanak-kanak.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Perjalanan bersama anak-anak mungkin bakal menjadi lebih menyeronokkan apabila Riyadh Air, syarikat penerbangan nasional baharu Arab Saudi, bekerjasama dengan The Walt Disney Company untuk membawa pengalaman Disney ke dalam pesawat.

Menerusi kerjasama tersebut, penumpang kanak-kanak berusia 0 hingga 11 tahun yang menaiki penerbangan Riyadh Air akan menerima salah satu daripada tiga kit kemudahan bertemakan Mickey & Friends, bergantung kepada kumpulan umur mereka.

Kit berkenaan tersedia untuk penerbangan jarak dekat dan jarak jauh, dengan setiap reka bentuk serta kandungan disesuaikan mengikut keperluan kanak-kanak pada peringkat umur berbeza.

Menurut Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Korporat Riyadh Air, Osamah AlNuaiser, syarikat penerbangan itu mahu memberikan pengalaman luar biasa kepada tetamu daripada semua peringkat umur.

“Kami mahu membawa kegembiraan kepada tetamu yang masih muda dan mereka yang masih muda di hati dengan berkongsi keajaiban penceritaan Disney sepanjang pengalaman mereka di dalam pesawat,” katanya.

Kit Disney Mengikut Kumpulan Umur

Untuk bayi berusia 0 hingga 2 tahun, kit yang disediakan direka dengan mengutamakan keselesaan dan kepraktisan ibu bapa ketika dalam penerbangan.

Kit bayi ini hadir bersama beg kalis percikan dan berpenebat yang sesuai digunakan untuk menyimpan botol atau barangan keperluan bayi, bib lembut, kad imbasan sensori, patung Mickey Mouse serta tisu basah.

Bagi kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun, Riyadh Air menawarkan kit berbeza untuk penerbangan jarak dekat dan jarak jauh.

Penumpang bagi penerbangan jarak dekat akan menerima kit yang mengandungi skrol seni, pensel dan permainan teka-teki.

Sementara itu, mereka yang menaiki penerbangan jarak jauh boleh menikmati beg galas mewah berbentuk patung, bekas teka-teki magnetik, set mewarna pop-up serta tag beg Disney yang boleh dikumpul.

Bagi kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun, kit pula direka untuk memberikan pengalaman perjalanan yang lebih bebas sambil menggalakkan kreativiti dan interaksi.

Kit penerbangan jarak dekat mengandungi skrol seni, pensel warna dan permainan atas meja yang boleh dimainkan sendiri atau bersama keluarga.

Untuk penerbangan jarak jauh, mereka akan menerima beg silang dengan pemegang fon telinga boleh klip, permainan interaktif ‘Spin & Play’, buku nota, pen gel mini serta koleksi charm Disney.

Filem Dan Siri Disney+ Turut Tersedia Dalam Pesawat

Bukan hanya kit kemudahan, penumpang Riyadh Air juga boleh menikmati pelbagai filem popular, siri pemenang anugerah serta kandungan eksklusif daripada Disney+ menerusi sistem hiburan dalam pesawat.

Sebagai perkhidmatan penstriman milik The Walt Disney Company, Disney+ menawarkan pelbagai kandungan untuk penonton daripada semua peringkat umur, termasuk karya daripada Disney, Pixar, Marvel dan National Geographic, selain kandungan hiburan umum daripada Hulu.

Waktu Makan Bertemakan Disney

Pengalaman Disney turut dibawa ke waktu makan kanak-kanak di dalam pesawat.

Setiap hidangan kanak-kanak akan disajikan dengan pelapik dulang berwarna-warni yang menampilkan watak Disney kegemaran mereka.

Pelapik tersebut turut mempunyai salutan tidak licin, manakala set kutleri yang disediakan direka khas dalam saiz sesuai untuk tangan kanak-kanak.

Menerusi kerjasama ini, Riyadh Air mahu menjadikan perjalanan udara bukan sekadar satu cara untuk sampai ke destinasi, tetapi sebahagian daripada pengalaman yang menyeronokkan buat seluruh keluarga.

Pendekatan itu selari dengan komitmen Riyadh Air terhadap layanan hospitaliti dan perhatian terhadap setiap perincian pengalaman penumpang, sekali gus mencerminkan aspirasi Arab Saudi menerusi Vision 2030.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd