Malaysian Aviation Group Tambah Lapisan Keselamatan Baharu Serta Perkukuh Keselamatan Operasi Berkerja
Juruterbang yang belum lulus saringan oleh Malaysia Aviation Group (MAG) tidak akan dibenarkan mengendalikan sebarang penerbangan.
- MAG memperkenalkan saringan dadah wajib melibatkan 1,260 juruterbang aktif Malaysia Airlines, melengkapi program ujian rawak sedia ada.
- Juruterbang yang gagal menyelesaikan saringan menjelang 15 Ogos tidak dibenarkan mengendalikan sebarang penerbangan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap kali kapal terbang berlepas, para penumpang akan menyerahkan tanggungjawab serta kepercayaan mereka kepada dua orang yang tidak pernah ditemui.
Kepercayaan itu bukan sesuatu yang diberikan secara percuma, sebaliknya dicipta melalui lapisan pemeriksaan yang jarang kita dapat lihat.
Malaysia Aviation Group (MAG) memutuskan untuk menambah satu lagi lapisan keselamatan dengan memastikan kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines akan menjalani saringan wajib.
Kesemua 1,260 Juruterbang Malaysia Airlines Perlu Selesai Ujian Saringan Menjelang 15 Ogos

MAG telah memulakan fasa pertama saringan dadah wajib yang melibatkan kesemua 1,260 juruterbang Malaysia Airlines.
Juruterbang yang belum menyelesaikan saringan menjelang tarikh berkenaan tidak akan mengendalikan sebarang penerbangan, sehingga disahkan lulus mengikut prosedur MAG serta keperluan pihak berkuasa.
Dalam erti kata lain, jadual penerbangan seseorang juruterbang bergantung kepada status saringannya.
Saringan Baharu Tidak Akan Menggantikan Ujian Rawak, Sebaliknya Menambah Satu Lagi Lapisan Baharu
Perlu difahamkan bahawa program ujian secara rawak yang sedia ada tidak akan dimansuhkan.
Sebaliknya, saringan wajib ini akan melengkapkan program tersebut merangkumi setiap juruterbang aktif, bukan sebahagian kumpulan dipilih secara rawak.
Pendekatan menyeluruh sebegini adalah sesuatu yang baharu dalam industri penerbangan.
Malah, program itu akan diperluaskan kepada krew kabin aktif selepas fasa juruterbang selesai.
Kapten Nasaruddin A. Bakar Tegaskan Kelayakan Bertugas Bukan Perkara Yang Boleh Dirunding
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Nasaruddin A. Bakar menjelaskan kedudukan kumpulan itu secara ringkas.
“Keselamatan operasi dan kelayakan bertugas krew adalah perkara yang tidak boleh dirunding di MAG.”
“Kami memandang serius sebarang pelanggaran piawaian keselamatan kami, dan telah bertindak pantas memperketat saringan dadah wajib ke atas juruterbang aktif kami,” tambahnya.
Beliau turut menegaskan bahawa insiden terpencil itu tidak mencerminkan profesionalisme majoriti besar kakitangan kumpulan tersebut.
“Kami akan terus mengukuhkan langkah perlindungan bagi mengekalkan keyakinan penumpang dan pihak berkepentingan kami.”
MAG Jelaskan Peranan Individu Terbabit Di Dalam Kokpit

Bercakap tentang insiden yang telah mencetuskan langkah ini, MAG mengesahkan individu terbabit merupakan seorang Pegawai Kedua.
Menurut MAG, individu tersebut berada di tempat duduk pemerhati kokpit (cockpit jump seat) dan bukannya juruterbang yang mengendalikan pesawat.
Tambahan pula, individu berkenaan juga dinyatakan tidak bertugas selama 2 hari sebelum insiden berlaku.
Dalam masa sama, MAG menegaskan pesawat tersebut dikendalikan dengan selamat pada setiap masa oleh dua juruterbang bertauliah.
MAG menyifatkan tindakan individu berkenaan tidak boleh diterima dan bertentangan dengan piawaian profesional yang diharapkan daripada kakitangannya.
7 Perkara Ini Perlu Disemak Juruterbang Sebelum Setiap Penerbangan Berlepas
Sebelum berlepas, kedua-dua juruterbang yang bertugas perlu melengkapkan penilaian IMSAFER bagi menilai kesediaan fizikal dan mental masing-masing.
IMSAFER merujuk kepada tujuh perkara, iaitu Illness (penyakit), Medication (ubat-ubatan), Stress (tekanan), Alcohol (alkohol), Fatigue (keletihan), Emotion (emosi) dan Recency (kekerapan terbang).
Penilaian ini bukan dibuat secara bersendirian, sebaliknya kedua-dua juruterbang saling menilai kesediaan satu sama lain.
Di samping itu, ia menyokong prinsip Threat and Error Management (TEM) yang digunakan bagi mengenal pasti serta menguruskan risiko operasi.
MAPS Beri Ruang Kepada Pekerja Untuk Tampil Lebih Awal
Selain aspek pemeriksaan, MAG turut menyediakan sokongan kesejahteraan menerusi Employee Assistance Programme (EAP).
Kumpulan itu juga mempunyai program Malaysia Aviation Group Peer Support (MAPS), iaitu inisiatif sulit yang dipimpin rakan sebaya.
Menerusi MAPS, tumpuan diberikan kepada campur tangan awal serta sokongan terhadap kesejahteraan pekerja.
Lapisan Pemeriksaan Sedia Ada Yang Perlu Dilalui Juruterbang Sebelum Layak Terbang

Saringan dadah wajib ini sebenarnya ditambah kepada rangka kerja kelayakan bertugas yang sudah pun digunakan oleh MAG selama ini.
Antara lapisan pemeriksaan yang terkandung dalam rangka kerja tersebut adalah saringan sebelum pengambilan pekerja dan pensijilan perubatan Kelas 1 bagi juruterbang.
Selain itu, terdapat latihan berulang sepanjang tempoh perkhidmatan serta ujian alkohol serta dadah secara berkala.
Tambahan pula, pemeriksaan pematuhan wajib dilakukan sebelum setiap penerbangan, melibatkan lesen, persijilan perubatan, latihan dan keperluan kekerapan terbang.
MAG turut berkata pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa penerbangan, penguatkuasaan dan kawal selia bagi melaksanakan saranan yang dikemukakan serta memperkukuh langkah pencegahan.
Juruterbang Malaysia Ditahan Di Jakarta Dengan 26kg Ekstasi Dan Bayaran Ganjaran Sebanyak RM50,000
Insiden yang berlaku minggu lepas menyebabkan langkah ini diambil susulan penahanan seorang juruterbang Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta pada minggu lalu.
Kastam Indonesia mengesahkan pada 31 Julai bahawa individu terbabit, lelaki berusia 39 tahun yang dikenal pasti sebagai Mohd Saufi Othman, ditahan sehari sebelum itu.
Berikut adalah butiran kes tersebut seperti yang dikemukakan pihak berkuasa Indonesia.
Beliau ditahan selepas pegawai kastam menarik beliau ke lorong krew, sebelum menemui 14 beg berisi pil ekstasi di dalam bagasinya.
Rampasan itu melibatkan 26kg MDMA (lebih 70,000 biji pil), serta 4g syabu di dalam bagasi tangannya.
Ujian air kencing turut dilaporkan menunjukkan bacaan positif kokain dan syabu.
Beliau didakwa memberitahu penyiasat bahawa beliau bertindak sebagai kurier, dan dijanjikan bayaran sebanyak RM50,000 untuk membawa masuk dadah tersebut.
Tambahan pula, individu itu turut memberitahu bahawa ini merupakan percubaan ketiganya, yang pertama di Malaysia dan kedua di Indonesia.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.